SHAH ALAM – Lebih 500,000 penonton mengikuti siaran My #QuranTime 2.0: Quran, Solat, Infak (MQT2.0) secara hibrid sejak pelancaran program berkenaan pada 14 Disember 2023 sehingga kini.
Program tersebut menjadi pembuka bagi 2,111 episod yang bersiaran di semua platform digital seperti YouTube dan Facebook My #QuranTime Official, Sinar Harian, Karya Bestari dan Ideaktiv pada jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.
Pada musim baharu ini, program di bawah anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu memberi peluang kepada 100 peserta menyertai secara langsung penggambaran tersebut di studio sementara di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, peserta secara individu mahupun berkumpulan dari dekat dan jauh teruja menyertai MQT 2.0 kerana berpeluang untuk belajar secara bersemuka dengan pentadabbur dan qari.
“My #QuranTime 2.0 memfokuskan bacaan al-Quran secara tartil, tajwid dan tadabbur lebih mendalam serta hafazan. Ia diharapkan dapat membentuk kerangka fikir dan karakter diri yang mempunyai nilai-nilai al-Quran dan sunah. Sehingga 16 Januari lalu, sebanyak 34 episod telah bersiaran.
“Alhamdulillah, sehingga kini penggambaran MQT berjalan dengan lancar. Kita menyasarkan sesi MQT 2.0 yang akan datang ada soalan daripada penonton. Untuk peringkat awal, kita masih menggunakan format tadabbur dan kelebihan penonton untuk membaca dan menghafaz.
“Kita menggalakkan lebih banyak organisasi, masjid dan surau menghantar kumpulan mereka untuk sertai MQT. Ada kalangan peserta yang datang secara rombongan seperti Rumah Ngaji Perak, Kedah dan Johor ke studio. Mereka menunjukkan semangat yang bagus untuk mendekati al-Quran.
“Doakan dalam masa terdekat agar MQT 2.0 segera disiarkan oleh beberapa stesen televisyen. Pada masa sama, anak-anak dan rakan boleh membantu penonton untuk mengikuti di platform digital My #QuranTime Official,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif kumpulan penunggang motosikal yang menjadi peserta MQT baru-baru ini.
“Mereka mengisi masa program sosial bersama al-Quran. Kumpulan yang ada hobi lain juga boleh memanfaatkan program MQT tersebut.
Sebahagian peserta yang mengikuti penggambaran program My #QuranTime 2.0 di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
“Orang ramai dialu-alukan untuk merebut peluang ikuti MQT 2.0 dalam memperbaiki bacaan dan hafalan, walaupun sedikit. Apa yang penting, kita dapat memahami mesej ALLAH untuk kita hidup dengan hidayah-NYA. Kita jangan mengabaikan hidayah yang kita minta setiap hari,” katanya.
Ditanya mengenai tugas besar sebagai pentadabbur MQT, Fazrul berkata, beliau menjaga kesihatan dari segi pemakanan, cukup rehat dan tidur.
“Alhamdulillah, sebenarnya barakah daripada al-Quran semakin dibaca semakin memberi syifa’. Biarpun ada rasa penat, tapi al-Quran menjadi sumber barakah untuk lebih bersemangat ke hadapan. Berbanding dengan kursus atau ceramah biasa, ia membuatkan kita semakin penat.
“Al-Quran memberi kehidupan pada hati. Apabila hati hidup, kita menjadi semakin memahami kalam ALLAH dan menjadikan kita lebih bersemangat,” katanya.
Jom sertai My #QuranTime sebanyak 2,111 episod setiap hari secara langsung dan siaran ulangan di https://www.youtube.com/@MyQuranTime.
Untuk menjadi penonton My #QuranTime di studio Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, sila daftar di https://bit.ly/MQTDUA.
Pendaftaran berkumpulan, sila daftar di link berikut: http://www.wasap.my/60133331502/MQTHadir.