Program uji bakat Calpis Soda One In A Million (OIAM) telah mencipta satu fenomena luar biasa di Kuala Lumpur, apabila sejumlah besar nama besar dalam industri seni tanah air turut tampil untuk mencuba nasib bagi meraih gelaran suara bernilai 1 juta.
Acara uji bakat yang berlangsung pada hujung minggu lalu di AEON Mall Shah Alam dan Universiti Malaya mendapat sambutan yang sangat luar biasa, dengan lebih daripada 2,000 orang hadir bagi mencuba peluang mereka dalam acara yang mengujakan ini. Kehadiran selebriti-selebriti terkenal seperti Idayu, Salmah Asis, Zainal Alam Kadir, Raes Ariffin, Firman Hyper Act, Zaki Yamani, Ameerais, Kyra Bahar, Hariz Fayahet, Fareez Fauzi Mento, dan ramai lagi benar-benar memeriahkan suasana, sekali gus membuktikan bahawa pentas ikonik ini masih menjadi rebutan bagi mereka yang ingin bersinar dalam dunia seni muzik tanah air.
Calpis Soda One in a Million terus membuka peluang besar kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlah. Pada 16 dan 17 November 2024, sesi uji bakat di Kuala Lumpur menerima sambutan hebat yang menggalakkan. Tidak hanya peserta dari pelbagai latar belakang, tetapi juga orang ramai yang berkumpul di kedua-dua lokasi untuk menyaksikan bakat-bakat ini beraksi, menjadikan acara dua hari itu benar-benar sebuah pesta bagi mereka yang ingin mencuba nasib. Program ini sekali lagi membuktikan bahawa muzik adalah platform yang mampu menyatukan pelbagai bakat dari seluruh pelusuk negara.

Satu kejutan besar berlaku apabila Alina Hassan, legenda seni suara berusia 56 tahun, membuat kemunculan semula yang sangat mengejutkan! Juara Passport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai, Alina Hassan telah mempersembahkan vokalnya yang luar biasa di AEON Mall Shah Alam pada sesi uji bakat. Setelah sekian lama menyepi, kemunculan beliau membawa aura yang luar biasa, mengingatkan orang ramai akan bakat dan karisma yang tiada tandingan. Vokal Alina Hassan yang penuh penghayatan tidak hanya mengejutkan para juri, tetapi juga menginspirasi peserta lain untuk mengejar impian mereka tanpa mengenal batas usia. Penampilan beliau telah memberikan semangat baru kepada pertandingan ini, menjadikannya lebih bermakna bagi semua yang terlibat.
Namun, tidak hanya bakat senior yang menjadi perhatian. Duo istimewa, DNA, yang terdiri daripada Firdaus dan Adam Zikri, dua individu luar biasa dari golongan orang kurang upaya (OKU), turut mencuri tumpuan ramai di Universiti Malaya. Mereka mempersembahkan karya seni yang penuh makna dan unik kepada juri, mendapat pujian tinggi dari Shaffiq Erwin dan AG Coco, yang begitu terpesona dengan karya mereka. Malah, AG Coco menawarkan peluang kepada duo ini untuk merakamkan lagu-lagu mereka di studionya. Tawaran ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada bakat mereka, tetapi juga sebagai bukti bahawa keupayaan untuk mencipta karya asli tidak terbatas oleh kekurangan fizikal. Karya mereka yang mendalam dan penuh emosi menjadi salah satu momen paling mengagumkan dalam sesi uji bakat kali ini.
Selain itu, uji bakat Calpis Soda One In A Million turut meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia apabila menyaksikan kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang etnik, termasuk Melayu, Cina dan India. Suasana di kedua-dua lokasi uji bakat begitu meriah dan penuh semangat perpaduan. Peserta Khaw Zhen Xuan, seorang remaja berusia 16 tahun dari Pulau Pinang, menjadi perhatian apabila beliau sanggup merentasi perjalanan jauh demi mengejar impiannya. Dengan sokongan penuh ibu bapanya, Zhen Xuan bertekad untuk terus mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik yang diminatinya sejak kecil. Kisahnya bukan sahaja menginspirasi, tetapi juga membuktikan bahawa impian boleh dicapai tanpa mengira latar belakang.

Selain daripada sesi uji bakat, acara ini turut dihiasi dengan kemunculan istimewa bintang-bintang Famili Duo, seperti Sharul Kamal, Zahid, Naqiu, dan Shiha Zikir, yang menghiburkan pengunjung dengan sesi ramah mesra. Persembahan menarik daripada Khai Bahar turut mencuri perhatian, sementara di Universiti Malaya, peminat berpeluang menikmati persembahan bertenaga daripada Amir Masdi dan kumpulan The Dukes. Tidak ketinggalan, pengunjung yang hadir pada hari Sabtu juga berpeluang bertemu dengan selebriti terkenal seperti Rita Nadira, Chacha Maembong, Imran Aqil, dan Shah Iskandar.
Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir secara langsung, uji bakat dalam talian juga dibuka melalui platform TikTok, di mana peserta boleh memuat naik video nyanyian berdurasi 1 minit dengan menggunakan hashtag rasmi #CalpisOIAMTV3 dan #SegarRasaSodapSuara sehingga 24 November ini. Bagi pengunjung di Pahang dan Sarawak, uji bakat akan diteruskan pada 23 dan 24 November 2024, masing-masing di Kuantan City Mall dan Plaza Merdeka, Kuching. Mereka juga berpeluang untuk menikmati persembahan daripada Haqiem Rusli di Kuantan dan Sufian Suhaimi di Kuching, selain sesi penjurian yang menarik.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyertai pencarian suara bernilai sejuta ringgit dalam Calpis Soda One In A Million bersama TV3! Ikuti @TV3Malaysia di semua platform sosial untuk maklumat terkini, dan nikmati pengalaman istimewa ini bersama Calpis Soda, minuman soda yang telah menjadi sebahagian daripada budaya muzik tanah air.