Kreativiti dan Kekal Abadi: NONA Rai 41 Tahun Bersama TV3

Program ikonik NONA meraikan ulang tahunnya yang ke-41 bersama TV3 menerusi sebuah episod istimewa yang bakal disiarkan secara eksklusif pada 29 Jun 2025, hari Ahad jam 2:00 petang. Episod khas ini mengetengahkan bukan sekadar kenangan tetapi juga semangat kewanitaan, ketabahan serta suara-suara inspirasi yang selama lebih empat dekad telah membentuk NONA sebagai sebuah platform yang dekat di hati rakyat Malaysia.

Untuk meraikan detik istimewa ini, NONA berkolaborasi dengan Cake Piknik dalam sebuah acara bertemakan alam semula jadi, bertempat di Villa Rimba Flora, Sungai Buloh. Acara yang ceria dan santai ini dimeriahkan dengan kehadiran pengacara NONA, Amyra Rosli, bersama para selebriti, usahawan bakeri tempatan serta peminat-peminat setia. Setiap tetamu membawa kek istimewa masing-masing, menjadikan sambutan ini satu momen penuh simbolik dan kenangan indah. Tema ulang tahun ke-41 turut diterjemah melalui hiasan kek kreatif seperti kek “Bersamamu”, “Drama Sangat”, “NONA” dan pelbagai lagi rekaan unik yang diinspirasikan daripada elemen TV3.

Acara dibuka dengan persembahan bertenaga oleh Nabila Razali sebelum diteruskan dengan aktiviti-aktiviti interaktif. Para tetamu berpeluang menikmati kek secara berkelompok dalam tiga sesi, membolehkan mereka berinteraksi sambil berkongsi pengalaman dalam suasana santai dan penuh mesra. Salah satu momen paling menginspirasikan ialah sesi Dramatic Success, di mana dua tokoh usahawan jemputan Chef Kecik dan Nor Arieni Adriena dari Gula Cakery berkongsi perjalanan jatuh bangun mereka dalam dunia kulinari secara jujur dan menyentuh hati.

Dalam masa yang sama, berlangsung juga sesi Air Tangan bersama baker terkenal, Jessica Ting dari @missshortcakes yang mempersembahkan kreativiti menghias Mille Feuille ulang tahun TV3 ke-41. Reka bentuk kek berbentuk angka 41 menjadi simbol perjalanan dan pencapaian TV3 selama lebih empat dekad, sekaligus mengangkat tema kreativiti, inspirasi dan pemerkasaan wanita yang menjadi tunjang utama NONA selama ini.

Kemuncak acara menyaksikan penyampaian anugerah Most Dramatic Cake Award kepada pembuat kek paling menyerlah, iaitu Sangeeitha A/P Arivalakan dengan konsep kek yang mencuri perhatian juri dan penonton. Penilaian dibuat berdasarkan elemen emosi, rekaan dan kreativiti oleh panel juri profesional serta wakil TV3. Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, aktiviti vendor serta pelbagai booth interaktif sepanjang hari, menjadikan sambutan ini bukan sekadar perayaan, malah satu penghormatan buat komuniti kreatif wanita di Malaysia.

Secara keseluruhannya, ulang tahun ke-41 NONA dan TV3 bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap legasi yang telah dibina, tetapi juga satu manifestasi tentang kekuatan dan keindahan penceritaan yang mampu menghubungkan generasi demi generasi. Gabungan kek, kreativiti dan cerita menjadikan sambutan ini satu pengalaman bermakna yang akan terus dikenang.

Untuk maklumat terkini mengenai program kesayangan anda, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta akaun Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.