Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 tarik 8,000 peserta

Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 tarik 8,000 peserta

PUTRAJAYA – Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang julung kali diadakan tahun ini mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan seramai 8,000 peserta.

Lebih menarik lagi, acara khatam tadabbur yang bertemakan ‘Kerinduan dan Kenangan Terindah Bersama Al-Quran turut mengumpulkan bukan sahaja peserta dari seluruh Malaysia tetapi turut disertai oleh rakyat Brunei, Singapura dan Thailand.

‘Kerinduan dan Kenangan Terindah bersama al-Quran’ diangkat sebagai tema program ini serta merupakan kesinambungan Malaysia #QuranTime yang mula diperkenalkan pada 20 Mac 2020 di platform TV Alhijrah.

Antara pengisian lain dalam majlis khatam tadabbur itu adalah bacaan sinopsis 114 surah dalam al-Quran, berselawat dan mendengar tadabbur secara beramai-ramai antaranya surah al-Asr dan al-Nas.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff ketika ditemui berkata, pihaknya begitu terharu dengan penyertaan luar jangka dalam program yang julung kali diadakan itu.

Katanya, penyertaan luar jangka itu didorong oleh peranan yang sangat positif Sahabat Al-Quran dan Rumah Ngaji, di samping ‘kejayaan’ My #QuranTime yang bersiaran di TV Alhijrah sejak Jun 2020 itu sendiri.

“Khatam al-Quran mungkin biasa tetapi khatam tadabbur halaman demi halaman merupakan pendekatan My #QuranTime untuk baca, faham dan amal.

“Inilah menjadi misi kita. Kita melihat keterujaan pengikut di TV dan digital ikuti kelas sejam bersama al-Quran. Ini merupakan sesuatu yang luar biasa.

“Sasaran kita untuk tadabbur tahap permulaan bagi orang ramai yang terdiri daripada suri rumah, eksekutif, warga emas dan pesara yang sebelum ini tiada pengalaman.

“Ini merupakan pengalaman pertama bagi mereka yang tekun mengikuti sejak awal hingga khatam 30 juzuk al-Quran,” katanya ketika ditemui sebaik selesai Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengasas WUIF merangkap Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Program itu juga diketuai lima pentadabbur dan 16 qari antaranya Dr Ahmad Sanusi Azmi (pentadabbur); Fazrul Fahmee Ismail (pentadabbur); Ahmad Tarmizi Abdul Rahman (qari); Ahmad Tirmizi Ali (qari) dan Dr Anuar Hasin (qari).

Dalam pada itu, Marhaini berkata, My #QuranTime merupakan program baca dan tadabbur al-Quran tahap asas agar mudah difahami oleh masyarakat umum.

Selain itu katanya, ia menjadi pemangkin masyarakat untuk mendekati al-Quran pada tahap lebih tinggi.

“My #QuranTime merupakan program berinteraksi dengan al-Quran melalui tadabbur 114 surah/604 halaman yang bersiaran di TV Alhijrah dan di platform Facebook My #Quran Time dan YouTube My #QuranTime pada pukul 12 hingga 1 tengah hari setiap hari bermula 8 Jun 2020 hingga 7 Oktober 2022 lalu,” katanya.

Program sejam bersama al-Quran (Baca, Faham & Amal) setiap hari amat penting dalam memupuk kerangka fikir dan sistem operasi diri berlandaskan al-Quran dan Hadis. Ini selari dengan misi WUIF, ‘MengQurankan bangsa mengikhlaskan ummah’ katanya.

Tambahnya, 7 Oktober 2022 merupakan hari dan surah terakhir ditadabbur pada My #QuranTime yang bersiaran sebanyak 838 episod.

Sumber