Konsert Exists X Orkestra Bakal Berlangsung Pada 22 Disember 2023

Konsert Exists X Orkestra Bakal Berlangsung Pada 22 Disember 2023

Selepas 32 tahun mengejar karier seni mereka sebagai band muzik rakaman profesional, Exists akhirnya akan mengukir sejarah dengan satu persembahan luar biasa – Konsert Exists X Orkestra. Dalam konsert ini, mereka akan bersatu dengan simfoni orkestra untuk mencipta pengalaman yang mengasyikkan dan mengagumkan.

Dianjurkan Persatuan Global Malaysia, konsert tersebut bakal diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember 2023 ini, bermula jam 8.30 malam.

Exists yang dianggotaiA jai, Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad mengakui bahawa konsert tersebut bakal menjadi satu sejarah peribadi buat diri dan kerjaya muzik mereka.

“Bergabung  dengan para pemuzik orkestra yang hebat memang sudah menjadi impian sekian lama. Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian mereka pasti mahu  melakukan persembahan konsert atau bergabung dengan orkestra.

“Kami fikir dengan sudah banyak melakukan persembahan daripada skala kecil kepada skala besar, dengan usia 32 tahun Exists, ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkolaborasi dengan orkestra.

“Selama ini kami hanya  menunggu waktu yang sesuai untuk menjayakan sebuah persembahan kolaborasi seperti ini. Akhirnya, impian itu tercapai jua.  Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah ini.

“Apapun terima kasih yang sebesarnya mahu kami sampaikan kepada peminat kerana jika tanpa sokongan dan kepercayaan bahawa Exists masih relevan dan perlu terus hidup dalam industri ini, mungkin Exists tidak akan wujud lagi,” kata  Along.

Sejak  beberapa tahun kebelakangan ini, Exists memang dilihat cukup aktif mengadakan konsert di dalam dan di luar negara khususnya di Singapura dan Indonesia.  Bahkan, mereka juga turut mempamerkan kredibiliti mereka sebagai pemuzik profesional di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas.

Untuk Konsert Exists X Orkestra, tiket dijual pada harga Tiket-tiket berharga bermula RM 568, RM 468, RM 368, RM 268 dan RM 168 dan boleh dibeli menerusi laman sesawang Www.MyTicket.Asia.