Dr. Ahmad Shamsuri (tiga, kiri) dan Tuan Mohd Shukri (tiga, kanan) ketika hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU antara KMI Healthcare dan PKENPs, semalam.
KUALA LUMPUR – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan di bawah TDM Berhad dan Pembangunan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan di Perlis.
Majlis menandatangani perjanjian itu telah diadakan di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, semalam turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli.
MoU tersebut adalah bagi meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan hospital swasta atau fasiliti kesihatan di Perlis yang akan ditentukan perinciannya selepas penyelidikan yang lebih rapi dilakukan oleh kedua-dua pihak.
Dr. Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata dengan kepakaran dan kualiti perkhidmatan daripada pihak KMI Healthcare dan TDM Berhad, ia bukan sahaja dapat memenuhi permintaan dan menambah pilihan perkhidmatan perubatan dalam negeri, bahkan ia juga berupaya menjadikan satu mercu tanda baharu di Utara tanahair.
“Usahasama dengan pihak PKENP ini bakal menjadi tanda aras kepada kerjasama yang berterusan antara dua kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Tuan Mohd Shukri, Menteri Besar Perlis pula dalam ucapannya turut menyebut mengenai hospital yang mesra ibadah ini mampu menarik ramai rakyat Perlis untuk mendapatkan rawatan di sini.
“Selain daripada memberi manfaat dari sudut kesihatan, saya juga mengharapkan peluang pekerjaan dapat disediakan khususnya buat warga Perlis. MoU yang termeterai pagi ini dapat menatijahkan hubungan yang erat di antara kedua negeri ini.
“Seterusnya paling penting menjadi antara pilihan utama rakyat Perlis dan penduduk sekitarnya dalam menerima penjagaan kesihatan.”
Manakala Ketua Pengarah Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, Perlis menjadi pilihan atas dasar permintaan masyarakat setempat dan juga saranan kerajaan negeri.
Di tambah lagi ianya adalah sebahagian dari pelan pembangunan strategik 5 Tahun KMI Healthcare untuk memperkembangkan perniagaan kesihatan kami supaya lebih berdaya saing” ujar Ketua dalam ucapan pembukaannya.
Dalam masa yang sama, KMI juga ingin mengimbangkan kedudukan hospital di jaluran Pantai Timur Malaysia, khususnya bandar-bandar utama seperti di Kuala Terengganu, Kuantan dan di Kemaman serta Kelantan.