Kisah Penuh Kecewa, Dua Jiwa, Satu Nada Luka Menyentuh Dua Negara

Dua figura vokal dari dua tanah air Ernie Zakri (Malaysia) dan Anggi Marito (Indonesia) bersatu dalam sebuah kolaborasi yang menyentuh hati menerusi single terbaharu berjudul “Kisah Penuh Kecewa”, sebuah karya balada penuh emosi yang menyulam kisah cinta yang tidak kesampaian.

Lagu ini dicipta hasil sentuhan kreatif Clara Riva, Ernie Zakri, Anggi Marito, dan S/EEK, membawa elemen power ballad dengan melodi yang mendalam dan lirik yang jujur. Ia bukan sekadar menggambarkan kekecewaan dalam percintaan, malah menyuntik kekuatan dan harapan untuk terus melangkah selepas patah hati.

Memanfaatkan kekuatan vokal dan ekspresi mendalam dari dua bintang Asia Tenggara ini, “Kisah Penuh Kecewa” menyasarkan untuk menyentuh jiwa pendengar bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, malah seluruh rantau yang menghargai muzik yang menyentuh rasa.

Menurut Ernie Zakri, pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-39, lagu ini menceritakan perpisahan yang berlaku bukan kerana tiada cinta, tetapi kerana ada yang memilih untuk tidak lagi meneruskan hubungan. “Lagu ini membawa perasaan sedih, tetapi di akhirnya memberi kekuatan. Ia tentang menerima realiti dan bangkit semula,” ujar Ernie.

Pengalaman rakaman juga cukup istimewa buat Ernie yang terbang ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama Anggi dan pasukan produksi. Walaupun berdepan cabaran seperti berpuasa di bulan Ramadan, semangat dan keserasian mereka menjadikan proses tersebut lancar dan bermakna.

“Saya rasa sangat bertuah dapat bekerja dengan pasukan yang begitu berbakat Clara Riva sebagai penulis lagu, S/EEK sebagai penerbit muzik, dan IRVNAT sebagai pengarah vokal. Dan pastinya, Anggi Marito salah seorang penyanyi muda terbaik dari Indonesia yang saya kagumi,” tambah Ernie.

Bagi Anggi Marito, finalis tempat ketiga Indonesian Idol musim ke-11, peluang berduet dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan besar. “Saya sudah lama meminati Ernie. Vokalnya kuat, tetapi penuh emosi. Setiap bait lagu yang dinyanyikan terasa begitu tulus. Ia satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya dengan teruja.

Proses penulisan lagu ini turut berjalan lancar, dengan inspirasi hadir secara semula jadi sewaktu sesi kreatif mereka bersama Clara. “Kami mula dengan mencari arah dan tema, akhirnya sepakat untuk menjadikan lagu ini sebuah balada emosi yang sesuai dengan warna suara kami berdua. Hasilnya sangat istimewa,” kongsi Anggi.

Dengan mesej yang tulus, melodi menyayat hati dan susunan muzik yang kuat, Ernie dan Anggi berharap agar “Kisah Penuh Kecewa” dapat menjadi lagu pengubat dan peneman buat mereka yang sedang menghadapi episod luka dalam percintaan.

“Kami harap pendengar dapat benar-benar menyelami lagu ini. Kalau pernah melalui rasa yang sama, semoga lagu ini memberi sedikit kekuatan dan pengertian,” kata Ernie mewakili harapan mereka bersama.

Lagu ini bukan sekadar duet biasa. Ia adalah refleksi kejujuran, kepedihan dan ketabahan sebuah kisah yang dibalut dengan melodi dan lirik yang penuh makna. Dengan gandingan dua jiwa seni yang unik, lagu ini dijangka mencuri hati peminat muzik dari pelbagai latar.

Sebagai pelengkap perjalanan kolaborasi ini, Anggi Marito turut akan membuat penampilan istimewa di konsert “Aura: Ernie Zakri Live in Concert” yang bakal berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura malam yang bakal menyatukan dua bintang hebat Asia Tenggara dalam satu pentas penuh emosi.

“Kisah Penuh Kecewa” kini boleh distrim di semua platform digital bermula 23 Mei 2025. Saksikan juga video muzik rasmi yang membawa naratif visual seiring dengan kekuatan vokal dan emosi dua penyanyi hebat ini.