Lagu ini merupakan single kedua Killa Driz bersama Def Jam Asia Tenggara, dihasilkan bersama penerbit dan penyusun lagu, Meorey. Setelah mencipta impak menerusi single pertamanya, Rap$tar di bawah label Def Jam Asia Tenggara, Killa Driz kini kembali dengan buah tangan terbaru berjudul Cuci Mata. Nama Killa Driz semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat muzik hip hop dan rap tempatan.
Menurut Killa Driz, idea untuk Cuci Mata muncul secara spontan daripada satu gurauan bersama rakan wanitanya. “Inspirasinya datang sewaktu saya bergurau dengan seorang kawan perempuan. Ketika itu, saya sedar bahawa bukan lelaki sahaja yang suka ‘cuci mata’, tetapi perempuan pun sama,” katanya berseloroh. Sejurus selepas itu, beliau terus ke studio untuk mencipta lagu berdasarkan tema tersebut.
“Lagu ini bersifat ceria dan santai. Saya mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza dan sesuai dengan suasana semasa. Saya rasa, belum ada lagi lagu di Malaysia yang mengetengahkan konsep sebegini,” jelas Killa Driz.
Killa Driz turut berkongsi bahawa proses pembikinan Cuci Mata berjalan lancar dan lebih mudah berbanding lagu-lagu sebelumnya. “Proses pembuatan lagu ini sangat pantas. Saya masuk studio dengan melodi yang sudah ada dalam kepala. Kebetulan, melodi itu telah lama terngiang-ngiang di fikiran saya. Saya cuma freestyling dan rakam secara spontan,” katanya.
Tambahnya lagi, proses rakaman kali ini membolehkannya menemui sisi muzik yang lebih segar. “Saya suka bercerita melalui lagu, jadi kali ini saya sampaikan kisah dari sudut pandangan seorang wanita. Saya anggap tema ini cukup menarik dan relevan dengan gaya hidup sekarang,” ujarnya.
Killa Driz turut mendedahkan bahawa pihak A&R dari Def Jam Asia Tenggara memberikan sokongan besar dalam penghasilan lagu ini. “Mereka memberi pandangan dan nasihat yang menjadikan Cuci Mata lagu paling cepat pernah saya siapkan,” katanya dengan penuh semangat.
Untuk menambah tarikan Cuci Mata, Killa Driz turut melancarkan video muzik rasmi yang telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube Killa Driz pada 4 Disember 2024. Video tersebut diarahkan oleh pengarah berbakat, Irfan, dan menjalani penggambaran di lokasi mewah, Hotel Majestic Kuala Lumpur.

Konsep video muzik ini menampilkan sisi “classy” Killa Driz, diilhamkan daripada watak ikonik filem seperti James Bond dan Bruce Wayne dari filem Batman lakonan Christian Bale. “Killa Driz ada dua sisi. Sisi ‘Killa’ yang agak ganas dan nakal, manakala sisi ‘Driz’ lebih sopan dan penuh kelas. Untuk video ini, kami memilih untuk menonjolkan sisi Driz,” katanya.
Menurut Killa Driz, penggambaran berjalan lancar tanpa masalah besar. “Irfan seorang yang sangat terbuka dan fleksibel, jadi proses rakaman jadi lebih mudah. Kami memilih Hotel Majestic kerana ia bersesuaian dengan konsep mewah dan berkelas tinggi. Siti Harisa, yang merupakan teman rapat saya, turut memainkan peranan penting sebagai salah satu watak utama dalam video muzik ini. Dia sangat berbakat dan lakonannya nampak natural, yang memberikan impak besar kepada visual muzik video ini,” tambahnya lagi.
Selain mempromosikan Cuci Mata, Killa Driz turut berkongsi perancangan masa hadapannya. Menurutnya, beliau sedang bersiap sedia untuk melancarkan album pertamanya di bawah Def Jam Asia Tenggara. “Saya menerima banyak sokongan dari Joe Flizzow, SonaOne dan Alyph. Mereka memberikan banyak input dan nasihat dalam pembikinan album ini,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat sekitar 50 hingga 60 lagu dalam koleksi simpanannya yang belum dirakam secara rasmi. “Tahun ini, saya agak senyap kerana fokus kepada lagu pertama saya, Rap$tar. Tetapi tahun depan, saya berazam untuk mengeluarkan lebih banyak lagu. Saya mahu peminat melihat sisi lain Killa Driz yang mereka mungkin belum kenal sebelum ini,” jelasnya.
Beliau berharap peminat akan terus menyokong karya-karyanya dan memberi maklum balas yang positif terhadap lagu-lagu baharunya. “Saya mahu mereka merasai dan memahami cerita yang ingin saya sampaikan melalui muzik. Semoga Cuci Mata dapat menceriakan pendengar dan terus memberi inspirasi kepada mereka,” tambahnya.
Bagi peminat yang ingin menikmati lagu Cuci Mata, ia boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 29 November 2024. Video muzik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Killa Driz sejak 4 Disember 2024.