Dalam dunia yang serba pantas hari ini, ramai antara kita sering terperangkap dalam kesibukan hingga lupa bahawa kesejahteraan sebenar bermula daripada dalam — daripada sistem pencernaan yang sihat. Menurut Dr. Vipada Sae-Lao, Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan – Asia Pasifik, Herbalife, kesihatan yang baik tidak semestinya datang daripada perubahan besar. Sebaliknya, ia bermula daripada langkah kecil yang konsisten dan praktikal dalam kehidupan seharian.
Makanan tradisional Asia suatu ketika dahulu memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan tubuh. Namun, gaya hidup moden menyebabkan ramai menggantikan nasi dengan makanan segera, sayur dengan snek terproses, dan minuman herba dengan minuman bergula. Corak pemakanan ini menyumbang kepada peningkatan masalah seperti kembung perut, refluks asid dan gangguan pencernaan lain. Malah, data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa penyakit berkaitan sistem pencernaan termasuk dalam sepuluh punca utama kemasukan dan kematian di hospital pada tahun 2023.

Usus sering digelar sebagai ‘otak kedua’ kerana peranannya yang penting dalam mengawal proses pencernaan, imuniti, tenaga dan juga kesihatan mental. Di dalamnya, terdapat berjuta-juta bakteria baik yang membantu memecahkan makanan, menghasilkan vitamin penting, serta melindungi tubuh daripada bakteria berbahaya. Namun, pemakanan moden yang tinggi gula, lemak tidak sihat dan makanan diproses boleh merosakkan keseimbangan bakteria baik ini dan mencetuskan keradangan dalam tubuh.
Untuk mencapai keseimbangan semula, langkah terbaik ialah kembali kepada asas — memilih makanan yang kaya serat, bijirin penuh, sayur-sayuran, kekacang dan makanan diperam seperti kimchi, yogurt, jeruk dan kombucha. Kaedah memasak seperti mengukus, merebus dan memanggang juga membantu mengekalkan khasiat sambil mengurangkan penggunaan minyak. Rempah ratus seperti halia, kunyit, bawang putih dan jintan bukan sahaja menambah aroma, malah turut membantu pencernaan dan mengurangkan keradangan.

Selain itu, pengambilan serat yang mencukupi amat penting untuk kesihatan sistem pencernaan. Bagi mereka yang kekurangan buah dan sayur dalam diet harian, pengambilan suplemen seperti Minuman Serbuk Campuran Serat dengan Inulin Herbalife boleh menjadi pilihan mudah untuk membantu mengekalkan fungsi usus yang sihat. Serat membantu menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan menstabilkan sistem pencernaan agar tubuh berfungsi dengan lebih baik.
Amalan pemakanan berhemah seperti makan perlahan, menikmati setiap suapan, mengunyah dengan baik dan makan tanpa gangguan juga menyokong pencernaan. Ia membantu tubuh mengeluarkan enzim pencernaan secara semula jadi, meningkatkan penyerapan nutrien dan mengawal rasa lapar. Dengan memahami bagaimana tubuh memberi tindak balas terhadap makanan, seseorang dapat menyesuaikan diet mengikut keperluan unik tubuh masing-masing.

Akhirnya, kesihatan pencernaan tidak hanya bergantung kepada makanan, tetapi juga kepada gaya hidup keseluruhan. Minum air secukupnya, bersenam secara berkala dan mendapatkan tidur yang mencukupi membantu tubuh berfungsi secara optimum. Perubahan kecil seperti menggantikan satu hidangan tidak sihat dengan pilihan lebih sihat setiap hari boleh menjadi langkah pertama ke arah kesejahteraan jangka panjang. Usus yang sihat adalah asas kepada kehidupan yang seimbang dan bertenaga — mulakan hari ini, satu hidangan pada satu masa.