Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) peringkat Lotus’s Malaysia telah dirasmikan, dengan pasar raya ini menjadi salah satu daripada 16 syarikat peruncitan utama dan tiga pengendali platform dalam talian yang terlibat. Pada tahun 2023, Lotus’s Malaysia mencatatkan peningkatan nilai jualan barangan tempatan sebanyak RM40.60 juta, berbanding RM40.16 juta pada tahun 2022 dan RM34.63 juta pada tahun 2021. Bilangan Stock Keeping Unit (SKU) barangan tempatan juga meningkat kepada 2,009 pada tahun 2023, berbanding 1,687 pada tahun 2022 dan 1,633 pada tahun 2021.
Untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menghasilkan barangan tempatan melalui KBBM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyediakan pelbagai program pembangunan. Antaranya termasuk Program Latihan Pembangunan Perniagaan, Program Padanan Perniagaan, dan Penandaan Logo Barangan Malaysia, yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran dan pertumbuhan perniagaan PMKS tempatan.
Pada masa yang sama, KPDN menggalakkan pengusaha tempatan untuk menggunakan platform dalam talian bagi mempromosi, memasarkan, dan meningkatkan nilai jualan produk mereka, selaras dengan trend kepenggunaan global yang menunjukkan peningkatan pembelian secara dalam talian. Sebagai contoh, Kajian Voice of Consumer 2024: Asia Pacific mendapati bahawa pengguna kini lebih cenderung menggunakan platform pembelian dalam talian berbanding kaedah konvensional di kedai fizikal. Kajian tersebut menunjukkan 36 peratus responden menggunakan telefon pintar, 16 peratus menggunakan komputer, dan 13 peratus menggunakan tablet untuk membeli-belah.
Selain itu, usaha untuk melonjakkan nilai jualan barangan tempatan melalui KBBM juga akan menumpukan pada penembusan produk buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa. Pada tahun 2024, KPDN akan memperkukuh kerjasama dengan beberapa rangkaian pasar raya besar untuk mengantarabangsakan barangan Malaysia ke pasaran luar negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Jepun, dan China.