Kehebatan Ubai bin Ka’ab fasih membaca al-Quran

UBAI BIN KA’AB merupakan antara tokoh yang terawal memeluk agama Islam.

Dikenali dengan nama Abu al-Munzir dan Abu al-Tufail, figura ini begitu terkenal sebagai orang yang mencatat dan menyusun al-Quran pada zaman Rasulullah SAW.

Daripada Qatadah, beliau berkata: Aku bertanya kepada Anas bin Malik: “Siapa yang mengumpulkan al-Quran pada zaman Nabi?” Anas menjawab: “Ada empat orang. Semuanya dalam kalangan Ansar; Ubai bin Ka’ab, Muaz bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid RA.” (Riwayat al-Bukhari)

Malah, kehebatan Ubai dalam bacaan al-Quran turut diperakui oleh Rasulullah SAW.

Baginda menyatakan bahawa Ubai RA adalah orang yang paling fasih dalam bacaan al-Quran berbanding individu-individu lain.

Selain itu, nama Ubai bin Ka’ab turut disebut oleh ALLAH SWT sebagaimana dalam hadis:

Anas berkata, Nabi SAW berkata kepada Ubai: “Sesungguhnya ALLAH memerintahkan kepadaku untuk mengajarimu al-Quran.”

Ubai bertanya: “Apakah ALLAH menyebut namaku kepadamu?” Nabi SAW menjawab: “Ya.”

Ubai bertanya kembali: “Dan aku disebut di sisi ALLAH Pencipta alam semesta?” Nabi SAW menjawab: “Ya.” Mendengar hal itu, mata Ubai mengalirkan air mata, menangis. (Riwayat al-Bukhari)

Menurut pendapat yang masyhur, Ubai bin Ka’ab wafat pada zamah Khalifah Umar al-Khattab RA iaitu tahun 20 Hijriah di Madinah.

(Sumber: Mustafar Mohd Suki)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *