KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang 3.0 peratus tahun ke tahun bagi suku keempat 2021 berbanding penguncupan 4.5 peratus pada suku sebelumnya, menurut Moody’s Analytics.
Firma tersebut turut menjangkakan kekukuhan eksport yang berterusan dan peningkatan semula penggunaan swasta menyokong prestasi ekonomi suku akhir Malaysia.
“Kenaikan kembali kes Covid-19 secara ketara telah membebankan ekonomi ini bagi sebahagian besar tempoh tahun lepas, mengakibatkan penguncupan suku tahun berturut-turut apabila isi rumah dan pelaburan swasta menjadi kurang aktif.
“Kelemahan permintaan domestik adalah lebih daripada mengimbangi peningkatan yang dicatatkan daripada kedudukan dagangan yang agak kukuh sepanjang tempoh ini namun, keadaan domestik bertambah baik pada suku terakhir,” menurutnya dalam Ulasan Ekonomi Asia Pasifik untuk minggu 7 hingga 11 Februari, 2022 yang dikeluarkan pada Isnin.
Menurut Moody’s Analytics, kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan pelonggaran sekatan pergerakan mendorong kepada pemulihan ketara perbelanjaan runcit sejak Oktober 2021.- Bernama