Kanser pembunuh kedua terbesar – Sinar Harian

Kanser pembunuh kedua terbesar – Sinar Harian

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Soalan 1:

DOKTOR, apakah jenis kanser paling berisiko, namun sering dikesan hanya pada peringkat kritikal?

Adakah penyakit kanser boleh dicegah? Untuk makluman doktor, sahabat saya baharu sahaja disahkan menghidap kanser hati tahap empat ketika umurnya kini 34 tahun.

– INGIN TAHU, SOFIA ANNA WAHID, 32, KUALA LUMPUR

Jawapan:

PUAN, suka untuk saya kongsikan, kanser merupakan pembunuh kedua terbesar selepas penyakit kardiovaskular. Kes kanser semakin meningkat setiap tahun. Peningkatan itu dikaitkan dengan pelbagai faktor, antaranya disebabkan oleh perubahan gaya hidup dan makan makanan diproses.

Di Malaysia, 60 peratus pesakit kanser didiagnosis pada tahap tiga dan empat. Kanser tahap empat biasanya amat sukar diubati dan lazimnya membawa maut. Kanser payudara dan kanser usus merupakan jenis yang paling kerap didiagnosis, tetapi simptomnya sudah boleh dikenal pasti di peringkat awal.

Antara tandanya adalah ketulan dan kesukaran membuang air besar. Namun, kanser paru-paru, kanser hati, kanser ovari dan kanser pankreas adalah antara kanser yang biasa dikesan pada peringkat akhir. Puan, ketika kanser masih kecil dan pada tahap awal tiada tanda-tanda yang dapat memberitahu bahawa pesakit berkenaan menghidap kanser.

Pesakit berasa dan kelihatan sihat. Tanda-tanda kanser hanya akan dapat dirasakan apabila kanser sudah membesar.

Simptom

Antara simptom kanser tahap empat ialah perut yang membesar, kulit dan mata kekuningan. Sakit perut atau sakit belakang yang berlanjutan, pendarahan dan sesak nafas.

Dari segi kesedaran awal masyarakat terhadap kanser, masih lagi kurang. Perkara berkenaan juga merupakan faktor yang menyebabkan kanser hanya dikesan pada peringkat lanjut. Nasihat saya, orang ramai digalakkan menjalankan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Segeralah bertemu doktor untuk mendapatkan ujian saringan yang sesuai.

Apa itu KANSER?

Kanser adalah nama umum yang diberikan kepada hampir 210 jenis penyakit. Kanser merupakan penyebab kedua utama kematian di Malaysia. Kanser boleh menyerang sebarang organ di dalam tubuh manusia. Secara amnya, sel kanser adalah sel luar biasa dalam tubuh badan yang membahagi secara berterusan tanpa terkawal mahupun berturutan. Kelompok sel berlebihan itu digelar sebagai ketumbuhan atau pembentukan tumor.

Kanser tumor atau tumor malignan boleh merebak sehingga menyerang dan merosakkan tisu serta organ-organ yang terletak berhampiran dengan sel kanser.

Lama-kelamaan, ia akan merebak dan membentuk tumor baharu di bahagian anggota badan lain.

Sumber: myhealth.gov.my

Soalan 2:

Doktor, saya seringkali mendengar tentang rawatan tradisional atau berubat kampung. Ia dikatakan kaedah alternatif yang boleh melegakan dan seterusnya mengubati kanser.

Apakah benar dakwaan sedemikian? Mohon perkongsian doktor.

– INSAN MUSYKIL, ROZAID HISHAM, 41, SUNGAI BESAR, SELANGOR

Jawapan:

Kesan ubat kampung, tradisional hanya dengan testimoni

Lazimnya keberkesanan rawatan tradisional atau berubat kampung yang diterima hanya semata-mata daripada testimoni peribadi penggunanya.

PENGGUNAAN ubat-ubatan tradisional daripada ekstrak herba juga harus mendapat nasihat doktor.

PENGGUNAAN ubat-ubatan tradisional daripada ekstrak herba juga harus mendapat nasihat doktor.

Tuan, rawatan untuk kanser kebanyakannya dikaitkan dengan kesan sampingan yang sangat tinggi. Sungguhpun demikian, terapi kanser di hospital telah dikaji dengan teliti sehingga beberapa peringkat sebelum dikenal pasti sama ada ia benar-benar bermanfaat atau sebaliknya. Kajian-kajian biasanya melibatkan beribu-ribu pesakit di peringkat antarabangsa dan dipantau ketat oleh badan antarabangsa.

Oleh sebab perkembangan perubatan yang pesat, terapi-terapi kanser masa kini lebih selamat. Kesan sampingannya pula boleh dikurangkan dengan ubat-ubat baharu yang sangat berkesan. Ubat-ubat tradisional pula jarang mempunyai rekod kajian terperinci. Kebanyakan keberkesanan ubatan berkenaan datang daripada testimoni peribadi yang tidak diketahui kesahihannya.

Bagaimanapun, jika ubatan tradisional itu adalah herba semula jadi daripada tumbuhan, biasanya doktor pakar tidak mempunyai masalah jika pesakit ingin mencuba seiring dengan perubatan hospital. Begitu pun, jika ubatan tradisional itu telah diproses dengan pelbagai bahan lain, seeloknya pesakit meminta nasihat doktor pakar kanser terlebih dahulu sebelum mencubanya.

DR NATASHA MOHD HASHIM

DR NATASHA MOHD HASHIM

PROFIL

Dr Natasha Mohd Hashim

Pakar Onkologi Klinikal Hospital Pakar KPJ Johor

Sumber