Pelakon, pelawak dan penyanyi berbakat besar, Joey Daud kini kembali memeriahkan industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul ‘Wamwamsam’, yang dilancarkan secara rasmi pada 20 Mei 2025. Setelah mencuri perhatian ramai menerusi watak ikonik Daud M dalam filem terakhir arahan Allahyarham Mamat Khalid, kemunculan Joey kali ini tampil dalam bentuk yang lebih eksperimental dan sarat mesej bermakna.
‘Wamwamsam’ bukan sekadar sebuah karya muzik biasa ia adalah sebuah naskhah komedi pop rock eksperimental yang berani, unik dan penuh warna. Di sebalik melodi rancak dan lirik bersifat sinikal, lagu ini mengetengahkan tema pendidikan dan wawasan sebagai asas pembentukan jati diri serta masa depan, disasarkan kepada semua daripada pelajar sekolah hingga ke pembuat dasar negara.
Joey Daud juga merupakan artis rakaman pertama yang pernah ditandatangani oleh Dato’ M. Nasir pada tahun 1994 di bawah label Luncai Emas Sdn. Bhd. Maka apabila peluang kolaborasi kembali terjalin pada tahun 2025, Luncai Emas tanpa ragu terus menyokong dan merealisasikan projek istimewa ini.
Single ini merupakan hasil cetusan idea Joey sendiri dan diperkaya dengan kerjasama bersama dua komposer muda berbakat dari Luncai Emas Ilham Nasir dan Hidayat Nasir yang berjaya membawa sentuhan kontemporari, susunan muzik yang berani dan nuansa baharu dalam produksi ini.
“Lagu ini saya cipta berdasarkan pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan nostalgia lama. Wawasan bukan sekadar slogan ia adalah panduan hidup. Walaupun tajuk ‘Wamwamsam’ kedengaran lucu, mesejnya sangat mendalam,” jelas Joey ketika ditemui.
Menambahkan lagi kekuatan lagu ini, ‘Wamwamsam’ turut menampilkan segmen rap oleh A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah Isohbatos. Penampilan A.D menyuntik elemen segar dengan gaya rap berbahasa Melayu Borneo, sekali gus memperluaskan jangkauan lagu ini dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
“Ini bukan lagu untuk satu kawasan saja ini lagu untuk seluruh Malaysia,” kata Joey. “Bila A.D masuk studio dan bawakan gaya uniknya, kami tahu ‘Wamwamsam’ akan jadi sesuatu yang luar biasa.”
Untuk melengkapkan pelancaran ini, sebuah video muzik rasmi turut diterbitkan dalam konsep sinematik ala filem pendek, yang juga bertindak sebagai teaser eksklusif kepada filem ‘Daud M’ kesinambungan kisah watak ikonik lakonan Joey Daud.
Lebih istimewa, video muzik ini diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada Allahyarham Mamat Khalid, yang meneruskan legasi ayahandanya dalam menyampaikan naratif rakyat dengan cara yang sinikal, lucu dan penuh nilai.
Video ini membawa penonton menghayati kisah seorang pelajar kampung berwawasan tinggi yang berjuang menentang mentaliti masyarakat yang beku dan cabaran sistem pendidikan demi mengejar impian. Dengan visual retro sekolah, watak guru eksentrik dan sindiran sosial yang tajam, ‘Wamwamsam’ bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mencetus renungan.