“Jeda Derita” Hidupkan Emosi Mendalam Liza Hanim dan Tomok dalam OST Sumpah Ibuku

Penyanyi tersohor negara, Liza Hanim, kembali dengan sebuah balada sarat penghayatan berjudul “Jeda Derita”, single kedua beliau bersama Alternate Records selepas “Sejuta Maaf”. Lagu ini turut memperlihatkan gandingan kreatif bersama Tomok selaku komposer dan Fedtri Yahya sebagai penulis lirik. Mengangkat tema kesetiaan dalam penderitaan, kekuatan jiwa serta pergolakan emosi seorang wanita yang dikhianati, karya ini hadir dengan melodi mendalam dan lirik puitis.

Fedtri Yahya menjelaskan bahawa lirik lagu ini dihasilkan dengan sepenuh penghayatan terhadap perjalanan watak dalam drama tersebut agar setiap bait memberi impak yang selari dengan jalan cerita. Tomok pula menyifatkan kekuatan lagu ini terletak pada keseimbangan antara melodi meruntun hati, lirik puitis dan vokal bertenaga Liza Hanim, malah mengakui penyanyi itu benar-benar menghayati setiap lirik sehingga menitiskan air mata ketika sesi rakaman.

Bagi Liza Hanim, diberi kepercayaan menyampaikan OST “Sumpah Ibuku” adalah satu penghormatan besar, apatah lagi dapat bergandingan dengan Tomok yang disifatkannya sebagai detik penting dalam perjalanan seni beliau. Proses rakaman vokal mengambil masa kira-kira dua jam setengah selepas beberapa kali tertunda atas faktor kesihatan, namun pengalaman tersebut menjadi antara sesi paling emosional buat Liza.

Beliau mengakui memerlukan suasana yang betul untuk mendapatkan mood yang diperlukan sehingga meminta lampu studio dipadamkan. Walaupun jarang menangis, Liza tidak dapat menahan air mata ketika merakamkan “Jeda Derita” kerana lagu ini sendiri membawa rasa kecewa dan kelelahan yang mendalam. Walaupun proses rakaman tidak panjang, aspek kreatifnya menuntut penghayatan terhadap kisah drama bagi memastikan setiap emosi disampaikan secara jujur dan berkesan.

Liza turut meluahkan keterujaannya untuk terus bekerjasama dengan Tomok pada masa akan datang, memuji perkembangan kerjaya beliau daripada penyanyi kepada ahli perniagaan, komposer dan penerbit yang mempunyai visi jelas serta memahami keperluan penyanyi. Baginya, kelainan utama lagu ini terletak pada kekuatan penyampaian rasa yang bukan sahaja berpaksikan jalan cerita drama, tetapi turut mengangkat perjalanan peribadi dan sejarah kerjasama antara beliau dan Tomok sejak era mereka berada di syarikat rakaman yang sama.

Liza yakin pendengar akan merasai tangisan, kelelahan dan jeda dalam penderitaan yang ingin disampaikan kerana Tomok telah mencurahkan sepenuh jiwa dalam penciptaan karya ini. Dengan kekuatan vokal Liza Hanim serta puitisnya sentuhan Fedtri Yahya, “Jeda Derita” dijangka menjadi antara balada paling emosional yang dipersembahkan beliau dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Jeda Derita” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.