Jangan sesekali kita sisihkan golongan OKU

Jangan sesekali kita sisihkan golongan OKU

  • March 5, 2019
  • 0 comments

ISLAM sebagai agama yang bersifat rahmah tidak membezakan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna ataupun memiliki kelainan upaya dan kekurangan.

Malah orang kurang upaya (OKU) juga berhak untuk mendapatkan peluang mempelajari agama serta mengikuti program-program dakwah seperti orang lain.

Ia penting agar golongan istimewa ini juga dapat menjadi muslim yang mengamalkan ajaran agamanya dengan sempurna.

Dalam hal ini, masyarakat Islam harus berperanan membantu dengan memberikan tunjuk ajar dan membimbing golongan istimewa ini ke jalan yang diredai agar mereka merasa dihargai dan tidak tersisih dari masyarakat.

Dalam konteks ini, Abu Zarr al-Ghifari pernah mengadu kepada Rasulullah SAW berkaitan kewajipan setiap insan untuk mengeluarkan sedekah bagi dirinya dan ke atas dirinya termasuk layanan ke atas mereka yang kurang upaya.

“Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu bersedekah sedangkan kami tidak memiliki harta? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya sebahagian daripada pintu-pintu sedekah itu ialah takbir, zikir, kamu menyuruh dengan perkara kebaikan, kamu mencegah daripada kemungkaran, kamu membuang duri, tulang dan batu dari laluan orang ramai, kamu memimpin orang buta, kamu memperdengarkan orang pekak dan bisu sehingga mereka memahami agama.” (Riwayat Imam al-Baihaqi)

Hadis ini turut memberi mesej bahawa sebagai umat Nabi Muhammad SAW, mencari ilmu dan memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan ialah asas kepada kemanisan hidup bersyariat.

DITEGUR

Bagaimana perspektif Islam dalam memuliakan golongan OKU? Kenapa kita digalakkan menyantuni mereka?

Islam menggalakkan umatnya agar menyantuni golongan OKU. -GAMBAR HIASAN.

Islam menggalakkan umatnya agar menyantuni golongan OKU. -GAMBAR HIASAN.

Bukti Islam menyantuni golongan OKU dapat dilihat berdasarkan teguran ALLAH kepada Rasulullah SAW di dalam al-Quran iaitu Surah Abasa.

Peristiwa tersebut berlaku apabila seorang cacat penglihatan iaitu Abdullah Ibn Umm Maktum datang kepada Rasulullah SAW ketika baginda dikelilingi oleh pembesar Quraisy.

Mereka sedang mengikuti ceramah dan penjelasan mengenai Islam. Nabi pula ingin menggunakan peluang tersebut untuk menarik mereka menganut ajaran Islam.

Ketika itulah datangnya Abdullah Ibn Umm Maktum meminta Nabi SAW membaca dan menyampaikan kepadanya ajaran Islam.

Beliau mengulangi permintaan tersebut kepada Nabi beberapa kali, sedang dia sendiri tidak tahu keadaan Nabi yang sedang sibuk melayani orang kenamaan tersebut.

Nabi sendiri tidak mahu menangguhkan perbincangannya dengan para kenamaan Makkah berkenaan dan berpaling ke arah lain.

Kemudian turunlah ayat tersebut.

Selepas peristiwa itu, Rasulullah SAW sentiasa memberikan layanan baik jika melihat beliau datang dengan menyebut ucapan “Marhaban (selamat datang) wahai saudara yang telah menyebabkan daku ditegur oleh ALLAH”.

Rasulullah SAW akan bertanya beliau, “Adakah apa-apa perkara yang memerlukan pertolongan daku?”

BELA

Di dalam usaha menyantuni golongan OKU ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 2018 misalnya telah menganugerahkan seorang pendakwah istimewa yang merupakan OKU kategori pendengaran sebagai salah seorang daripada penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori individu bersempena majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2018.

Pengiktirafan ini diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada penerima untuk terus mengembangkan dakwah Islam dalam kalangan komuniti OKU pendengaran.

Selain itu, JAWI juga berusaha membantu penyebaran dakwah dalam kalangan komuniti OKU pendengaran dengan mengadakan kelas agama dan kelas pengajian al-Quran.

JAWI dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan turut menganjurkan latihan kemahiran menggunakan bahasa isyarat untuk membantu melancarkan penyebaran dakwah Islam dalam kalangan komuniti ini.

Baru-baru ini bersempena program Ceramah Perdana Ustaz Abdul Somad, pendakwah selebriti yang diundang khas dari Indonesia yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JAWI turut melibatkan penyertaan golongan OKU pendengaran bersama jurubahasa isyarat bagi membantu penyampaian pada majlis ilmu tersebut.

Pendekatan ini secara tidak langsung membuktikan keprihatinan JAWI terhadap golongan istimewa ini dan berharap agar mereka juga turut diberi peluang untuk menimba ilmu semasa sesi ceramah tersebut.

Tuntutan menegakkan syiar Islam khususnya melalui aspek penyantunan kepada golongan OKU ini pada akhirnya akan memperlihatkan kepada kita bahawa Islam adalah agama yang sangat indah dan syariatnya merupakan anugerah rahmat yang syumul.

(Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge