IzzelisLuxe, sebuah jenama fesyen yang ditubuhkan dengan misi memberi pilihan pakaian berkualiti untuk wanita bersaiz besar (plus size), semakin mendapat perhatian di pasaran. Dalam dunia fesyen yang sering kali terhad kepada pilihan untuk saiz tertentu, IzzelisLuxe berusaha memenuhi keperluan wanita bersaiz besar dengan reka bentuk yang bergaya dan selesa. Bukan hanya menawarkan pakaian yang bergaya, IzzelisLuxe juga menekankan prinsip syariah dalam setiap rekaan, menjadikan jenama ini bukan sekadar pilihan fesyen, tetapi juga pilihan yang menghormati nilai-nilai agama.
Izzati Rozeli, atau lebih dikenali sebagai IzzRoz, adalah pemilik dan pengasas IzzelisLuxe yang berusia 28 tahun. Sebelum menceburi dunia fesyen, Izzati berkhidmat sebagai Pengurus Kewangan selama tujuh tahun. Namun, beliau mengambil langkah berani untuk meninggalkan kerjaya stabilnya demi mengejar impian menjadi seorang usahawan fesyen. Perubahan ini datang dari pengalaman peribadinya sebagai wanita bersaiz besar yang sering kali menghadapi kesukaran dalam mencari pakaian yang sesuai, selesa, berkualiti, dan memenuhi prinsip syariah.
“Sebagai seorang wanita bersaiz besar, saya tahu bagaimana rasanya menghadapi kekurangan pilihan pakaian yang boleh memberikan keyakinan. Dulu, saya pernah merasa rendah diri, tidak yakin berjumpa orang, dan takut dibandingkan dengan mereka yang bersaiz kecil. Itulah sebabnya saya mahu membantu wanita bersaiz besar agar mereka juga boleh berfesyen dengan penuh keyakinan,” kata Izzati.
IzzelisLuxe memulakan operasi pada 11 November 2024 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengguna. Selain menawarkan pelbagai rekaan pakaian bersaiz besar, jenama ini juga memperkenalkan koleksi eksklusif dengan reka bentuk khas hasil tangan Izzati sendiri.
Mulai Januari 2025, IzzelisLuxe mengambil inisiatif sosial dengan menyumbang kepada pusat-pusat dialisis bagi membantu pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Sebanyak RM5 dari setiap pembelian produk IzzelisLuxe akan disalurkan untuk menambahbaik perkhidmatan di pusat dialisis, membantu membeli keperluan, serta meringankan beban pesakit dengan kos rawatan yang tinggi. Izzati turut berkongsi bahawa ibunya sendiri adalah seorang pesakit dialisis, dan beliau merasakan tanggungjawab untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan.
“Saya percaya bahawa rezeki yang kita peroleh bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk mereka yang memerlukan. Saya ingin pembeli-pembeli IzzelisLuxe berkongsi rezeki mereka dengan cara yang memberi impak positif kepada orang lain, terutama pesakit-pesakit dialisis yang memerlukan bantuan,” ujarnya.
IzzelisLuxe bercita-cita tinggi untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap wanita bersaiz besar. Izzati berharap agar wanita bersaiz besar tidak lagi dilihat sebagai golongan yang terpinggir dalam dunia fesyen, sebaliknya mereka juga berhak untuk bergaya dan tampil yakin. Dengan komitmen untuk memberikan yang terbaik, IzzelisLuxe berharap untuk terus berkembang dan menguasai pasaran fesyen tanah air.