INDEKS Harga Pengeluar (IHP) bagi pengeluaran tempatan, yang mengukur harga barangan di pintu kilang, merosot lagi kepada – 2.9 peratus pada Mac 2023 berbanding – 0.8 peratus yang direkodkan pada Februari 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, trend penurunan itu disebabkan oleh penyusutan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan serta perlombongan yang terus mencatatkan perubahan negatif selama tiga bulan berturut-turut pada 2023.
Indeks tandan buah segar terus mencatatkan – 43.5 peratus pada Mac 2023 daripada – 40.5 peratus yang disaksikan semasa bulan sebelumnya, yang menyumbang kepada penurunan dua digit – 28.7 peratus dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan berbanding Februari 2023 (-26.1 peratus).
Indeks perlombongan berkurangan kepada -11.5 peratus (Februari 2023: -6.5 peratus) dengan pengekstrakan indeks petroleum mentah merosot sebanyak – 21.2 peratus menjelang Mac 2023.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, indeks pembuatan meningkat sebanyak 1.4 peratus pada Mac 2023 (Februari 2023: 3.0 peratus), disumbangkan oleh kenaikan dalam pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (8.9 peratus) serta indeks pembuatan peralatan elektrik (5.3 peratus).
Manakala bagi sektor utiliti, indeks bekalan air, elektrik dan gas masing-masing menokok 3.3 peratus dan 1.4 peratus.
Secara bulanan, beliau berkata IHP pengeluaran tempatan bertambah 0.3 peratus pada Mac 2023 berbanding penurunan 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan naik 4.8 peratus seiring dengan pertumbuhan indeks tanaman saka yang melonjak 6.5 peratus. Sektor bekalan elektrik dan gas turut mencatatkan kenaikan sebanyak 0.5 peratus pada Mac,” katanya.
Sebaliknya, sektor perlombongan menyusut sejumlah 0.6 peratus, terjejas oleh penurunan dalam pengekstrakan gas asli (-1.0 peratus) serta pengekstrakan indeks petroleum mentah (-0.5 peratus), katanya.
Bagi indeks pembuatan, ia mencatatkan kejatuhan sebanyak 0.1 peratus disebabkan oleh penurunan dalam pembuatan produk petroleum kok dan bertapis (-1.6 peratus), pembuatan kimia serta produk kimia (-0.2 peratus) dan pembuatan produk makanan (-0.1 peratus).
Sama seperti bulan sebelumnya, indeks bekalan air berkurangan sebanyak 0.3 peratus, katanya.
Mohd Uzir ketika mengulas mengenai pengeluaran tempatan IHP mengikut peringkat pemprosesan berkata indeks bahan mentah bagi pemprosesan selanjutnya susut lagi kepada -21.0 peratus pada Mac 2023 (Februari 2023: -16.9 peratus) disebabkan penurunan -25.2 peratus dalam bahan bukan makanan.
Bagaimanapun, bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 1.5 peratus pada Mac 2023 (Februari 2023: 3.3 peratus) berikutan pertambahan bekalan (10.6 peratus), bahan api diproses dan pelincir (6.0 peratus) serta indeks bahan dan komponen bagi pembinaan (3.8 peratus).
Barangan siap meningkat sebanyak 3.9 peratus (Februari 2023: 4.0 peratus) dengan indeks peralatan modal dan barangan pengguna siap masing-masing menokok 5.0 peratus dan 2.6 peratus.
Daripada segi perbandingan bulanan, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen kekal tidak berubah pada Mac 2023, manakala indeks bahan mentah bagi pemprosesan selanjutnya serta barangan siap masing-masing mencatatkan kenaikan 1.5 peratus dan 0.2 peratus.
Ketua Perangkawan itu berkata, menjelang suku pertama 2023, IHP pengeluaran tempatan mencatatkan kelemahan sebanyak 0.8 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku keempat 2022.
Penurunan itu disebabkan oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (-25.4 peratus) serta perlombongan (-6.8 peratus).
Sebaliknya, beliau berkata, kenaikan dicatatkan bagi indeks pembuatan (2.9 peratus), bekalan elektrik dan gas (1.2 peratus) serta bekalan air (3.6 peratus), manakala, perbandingan dari suku ke suku menunjukkan IHP pengeluaran tempatan merosot 0.8 peratus (suku keempat 2022: -0.7 peratus).
Mengulas mengenai inflasi di peringkat pengeluar negara-negara tertentu, Mohd Uzir berkata, kebanyakan negara mencatatkan indeks yang sederhana pada bulan ini di tengah-tengah kelembapan harga komoditi dan makanan.
“Pasaran komoditi global menghadapi ketidaktentuan harga pada tahun-tahun akan datang yang bukan sahaja disebabkan oleh kebimbangan geopolitik yang berlarutan tetapi juga sebahagian besarnya tertumpu kepada China dan perubahan iklim.
“Economist Intelligent Unit (EIU) mengunjurkan harga minyak akan kekal tinggi pada 2023,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah beberapa minggu kebelakangan ini telah mencetuskan penyusutan mendadak harga minyak disebabkan kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank di Amerika Syarikat selain daripada isu kecairan yang dihadapi oleh Credit Suisse. – Bernama