Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, malah merupakan medan terbaik untuk memperkukuh keimanan, memperbanyakkan amal ibadah serta menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan sesama insan. Menyedari keistimewaan ini, HS Event & Ent Sdn Bhd sekali lagi tampil menganjurkan Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0, sebuah acara yang menggabungkan elemen hiburan, dakwah dan kebajikan dalam satu platform yang harmoni.
Bakal berlangsung pada 14 Mac 2026 di Saloma, Kuala Lumpur, konsert ini menghimpunkan 10 artis terkenal era 80an dan 90an yang telah mencorakkan industri seni tanah air. Penganjuran ini bukan sahaja bertujuan mengubat kerinduan peminat terhadap figura-figura seni legenda, malah menjadi medium untuk menyampaikan mesej ketuhanan dan nilai spiritual yang selari dengan roh Ramadan.

Lebih istimewa, setiap pembelian tiket konsert ini turut membuka peluang kepada penonton untuk beramal. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan kepada sekurang-kurangnya 25 orang anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan. Selain itu, pemberian duit raya turut diagihkan kepada anak-anak yatim yang diraikan, sekali gus membawa kegembiraan kepada golongan yang memerlukan menjelang Aidilfitri.
Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 membuktikan bahawa hiburan boleh disampaikan secara berhemah dan berteraskan nilai murni. Dengan gabungan persembahan artis berpengalaman, pengisian ibadah serta misi kebajikan, acara ini dijangka sekali lagi mendapat sambutan hangat dan menjadi antara program Ramadan yang paling dinanti oleh peminat seni dan pencinta hiburan berunsur dakwah.