ICFW 2024: Peluang Emas Pereka Muda Malaysia Tampilkan Kreativiti

FM Group, melalui Precious Of Malaysia, memberi peluang kepada pereka fesyen muda untuk menunjukkan kreativiti mereka dalam International Cultural Fashion Week (ICFW), yang akan berlangsung dari 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur. Acara ini sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Jonathan dan Farel Mikhail, pereka fesyen dan penganjur acara, menyatakan bahawa ramai pereka muda di Malaysia mempunyai impian besar untuk menjadi pereka fesyen terkenal. Mereka sentiasa mencari peluang untuk mencipta pakaian yang mencerminkan kreativiti dan inovasi mereka.

FM Group menekankan bahawa walaupun berkarya adalah penting, ia perlu mematuhi batasan yang sesuai. Mereka mengingatkan para pereka untuk tidak ‘melacurkan’ budaya kita dengan mencipta fesyen yang boleh memberi persepsi negatif.

Contohnya, rekaan yang menggunakan baju Melayu dengan kain yang jarang atau menjadikan tanjak sebagai aksesori seksi untuk menutup bahagian dada, yang boleh mencemarkan identiti budaya Melayu.

Menurut mereka, rekaan seperti ini boleh dianggap merendahkan budaya Melayu apabila dipersembahkan di pentas peragaan, sehingga menghilangkan identiti asal busana tersebut.

Farel Mikhail berpendapat bahawa masalah ini mungkin timbul kerana kurangnya kesedaran pereka fesyen terhadap adat istiadat budaya. Oleh itu, pereka fesyen perlu memahami dan menghormati identiti pakaian setiap kaum, menjaga nilai estetika budaya dan memastikan mereka tahu asal usul setiap rekaan tanpa mengubah atau merosakkannya.

ICFW juga menjadi platform penting untuk pereka fesyen muda dari Malaysia dan negara serantau. Jonathan dan Farel menegaskan bahawa pertandingan ini memberi peluang kepada pereka fesyen baru atau yang sedang mencipta nama untuk menunjukkan bakat mereka.

Mereka berharap ini akan menjadi peluang bagi para pereka untuk membuktikan kemampuan mereka, terutama bagi pelajar fesyen yang tiada platform untuk mempamerkan karya mereka dan mengembangkan kerjaya dalam bidang fesyen.

Tahun 2024 menandakan kelainan bagi ICFW, dengan penyertaan dari negara-negara serantau seperti Indonesia, Filipina, Thailand, dan India, selain pereka fesyen tempatan.

“Dua tahun berturut-turut kami libatkan pereka fesyen tempatan sahaja. Kelainan untuk tahun ini kami turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.

“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia dan negara luar.

“Untuk Malaysia, kami nak ketengahkan elemen Malaysia seperti batik, songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional danmoden pun dibenarkan.

“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana melibatkan pereka fesyen dalam dan luar negara,” tambahnya.

Pertandingan ini melibatkan melibatkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.

Antara penaja yang turut serta dalam Precious Of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar dan banyak lagi.

Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1000 orang hadir memakai tanjak pada hari tersebut. Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos.