KETIKA mula diperkenalkan di pasaran, Dron atau pesawat udara tanpa juruterbang dianggap barang mewah kerana harganya yang agak mahal, apatah lagi ia pada asalnya dicipta untuk kegunaan ketenteraan.
Namun perkembangan pantas teknologi menjadikan dron semakin murah dan mampu milik. Harga dron semurah RM50 hingga RM1,000 untuk Toys grade dan RM1,500 hingga RM60,000 untuk Hobby grade, bergantung kepada spesifikasi yang dipasang di dalam dron itu sendiri.
Keupayaan dron merakam panorama indah dari sudut tinggi menimbulkan minat dan menjadi kegilaan pengguna, malah sebagai hobi rekreasi dan komersial, terutamanya dalam kalangan jurugambar dan juruvideo.
Berkongsi ‘kegilaan’ ini, Oh Lelaki menemui tiga anak muda – Muhammad Khairi Hanawi, 31; Mohd Ashraf Adanan, 33, dan Zahrul Idham, 28, yang begitu obses dengan permainan dron. Tanpa perlu berfikir panjang atau cuba mengingat, nama-nama DJI Phantom 4 Pro, DJI Mavic Pro, Parrot Bebop, GoPro Karma, Yuneec Q500, 3DR Solo, Syma X5C; meluncur laju dari mulut mereka.
Dari hobi kepada kerjaya
Bagi Khairi, dia kini terlibat sepenuh masa dengan penggunaan dron. Melalui syarikatnya Keen Haytham Production, dia menawarkan perkhidmatan membuat video untuk drama-drama televisyen, dokumentari, acara pentas, majlis perkahwinan dan sewaan.
“Semasa di sekolah rendah saya minat kereta kawalan jauh. Bila dah kenal dron, saya belajar sikit-sikit. Saya bermula dengan Toys grade dulu.
“Lama-kelamaan saya jadi minat dan sedikit demi sedikit kumpul duit dan sekarang dah ada koleksi dron sendiri untuk kerja dan rekreasi,” katanya yang mula serius dengan kerjaya ini sejak 2015.
Menurut Khairi, sebelum menubuhkan syarikat sendiri dia membuat kerja sambilan membuat video menggunakan dron.
Ashraf pula walaupun tidak terlibat sepenuhnya dalam kerja-kerja komersial menggunakan dron, namun hobinya mengambil sudut-sudut menarik dan tidak terjangkau oleh kamera biasa, mahupun penggunaan helikopter komersial, turut memberi pendapatan sampingan kepadanya.
“Saya tak ambil apa-apa kelas, hanya belajar melalui Youtube, Fb dan daripada kawan-kawan. Selalunya saya jual gambar-gambar yang saya ambil di Shutterstock,” kata Ashraf yang memiliki empat set dron untuk hobi rekreasinya.
Pelajaran kehidupan
Bagi Zahrul pula, walaupun mempunyai pekerjaan tetap, namun demi hobi ini, dia rela mengumpul duit demi mendapatkan seunit dron yang dibelinya pada 2017 berharga RM5,500.
“Saya tak adalah buat bisnes, tapi sangat obses dengan dron. Mengambil panorama atau sudut-sudut menarik dari udara adalah satu kepuasan bagi saya. Saya suka dron saiz kecil sebab senang nak bawa ke mana-mana. Jika travel sekali pun bila nampak suatu yang menarik saya akan berhenti dan terbangkan dron,” kata Zahrul yang menyifatkan keindahan alam amat rugi jika tidak dirakamkan.
Bersetuju dengan Zahrul, Khairi dan Ashraf mengakui mereka berkenalan juga melalui pertemuan dengan komuniti dron. Setiap hujung minggu komuniti dron ini akan berkumpul di kawasan lapang, di padang-padang. Ia suatu pelajaran hidup yang amat bermakna kerana dari situ mereka saling bertukar pendapat dan menambah kenalan. Bagi yang dah berkeluarga, membawa anak dan isteri mengeratkan ikatan kekeluargaan.
“Satu lagi, mengendalikan dron ini mengajar kita sabar, perlu cekap, teliti dan fokus. Jika tak fokus, tak sabar dan tak cekap, dron boleh terbabas dan kalau terjatuh boleh mencederakan orang yang ada berhampiran. Sebab itu, sekarang untuk mengendalikan dron perlu ikut SOP,” kata Khairi.
Info:
1. Menurut Financial Times, statistik penjualan dron global pada tahun 2017 meningkat hingga tujuh juta unit
2. Penerbangan dron telah termaktub di bawah Civil Aviation Regulation 2016 (CAR 2016) atau Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 di bawah Kaedah 140 hingga 144.
3. Bagi pengendali dron yang melanggar undang-undang ini, tindakan boleh dikenakan hukuman di bawah Peraturan 206(3)(a) atau 206(3)(b) CAR 2016 iaitu individu boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.