HANYA 14 peratus daripada kepimpinan eksekutif di negara ini, mempunyai portfolio yang kukuh dan kemahiran untuk bertindak balas terhadap permintaan pasaran yang sering berubah-ubah.
Kajian Self Disruptive Lead oleh Korn Ferry menunjukkan, 67 peratus pelabur percaya, kepimpinan eksekutif negara ini, tidak mempunyai kemahiran diperlukan untuk memacu organisasi dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
Manakala 77 peratus pelabur percaya, cabaran perniagaan menjadikan kepimpinan lebih baik dalam meningkatkan prestasi syarikat dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Bagi aspek kepentingan kepimpinan korporat, 80 peratus pelabur melihat bahawa ketua pegawai eksekutif (CEO) sesebuah syarikat berada dalam keadaan kritikal untuk mencari pelabur.
Bagaimanapun, pelabur percaya CEO luar biasa amat penting untuk menentukan kejayaan sesebuah organisasi, terutama dalam keadaan semasa yang mencabar.
Menurut kajian itu, kepimpinan berdepan cabaran perniagaan dalam bidang teknologi, globalisasi, demografi dan tingkah laku pengguna.
Penasihat Kanan Rakan Pelanggan, Korn Ferry, Shahrizal Mohd Suffian berkata, hasil kajian itu juga menunjukkan kebanyakan pemimpin memilih kekal pada situasi ditetapkan dan berhati-hati dalam membuat sebarang perubahan kerana takut gagal.
“Kerana itu, ramai pemimpin syarikat tidak membuat keputusan dan tindakan cepat dalam memotivasikan pelanggan dan pengguna secara efektif.
“Atau membina kepercayaan yang diperlukan untuk memastikan kelangsungan organisasi pada masa depan,” katanya.
Model kepimpinan yang baik kebiasaannya didasari ciri-ciri dan keupayaan yang telah berjaya pada masa lalu.
Walaupun kualiti ini penting, namun sering kali kepimpinan mengabaikan cabaran masa depan yang tidak diketahui dan ini tidak sepatutnya berlaku.
“Justeru, untuk menutup jurang peralihan kepimpinan, perniagaan perlu merevolusikan program latihan, menaikkan tahap pengurusan dan diperkuatkan dengan sokongan kakitangan semua peringkat dalam menghadapi cabaran,” katanya.
Kajian itu turut mendapati 69 peratus daripada pelabur meningkatkan kepentingan mereka dalam syarikat yang berorientasikan ke arah masa depan.