Penyanyi pop lelaki Indonesia, Fabio Asher kembali mewarnai industri muzik dengan pelancaran single terbaharu berjudul “NIKMATI SAKITNYA”, sekaligus menjadi karya pertama beliau pada tahun 2026. Dikenali dengan kekuatan vokal yang emosional serta lirik yang sarat kisah perasaan, Fabio sekali lagi tampil dengan lagu yang mengangkat tema cinta yang menyakitkan namun sukar dilepaskan.
NIKMATI SAKITNYA mengisahkan tentang seseorang yang memilih untuk terus bertahan dalam hubungan yang tidak seimbang, walaupun sedar dirinya sering diabaikan dan hanya dicari ketika diperlukan. Lagu ini menggambarkan realiti hubungan yang berat sebelah, di mana cinta yang terlalu besar membuatkan seseorang sukar untuk melepaskan walaupun hati terus dilukai. Ia menjadi cerminan kepada dilema emosi antara cinta dan kesakitan yang berjalan seiring.
Dari sudut produksi, Fabio Asher bekerjasama dengan beberapa nama penting dalam industri muzik seperti S/EEK sebagai music arranger, Trakast dan Yafi Aria sebagai komposer, serta Plato Ginting sebagai pengarah vokal. Sentuhan akhir lagu ini turut diperhalusi oleh Yafi Aria sebagai vocal editor dan Tito P Soenardi yang mengendalikan proses mixing serta mastering, menjadikan karya ini lebih matang dan tersusun dari segi bunyi.
Pelancaran ini turut disertai dengan sebuah muzik video yang menampilkan Fabio sendiri sebagai watak utama, menggambarkan perjalanan emosi seseorang yang terus bertahan walaupun berulang kali disakiti dalam hubungan. Visual tersebut memperkuatkan lagi mesej lagu yang penuh konflik dalaman dan kejujuran emosi.
NIKMATI SAKITNYA juga menjadi kesinambungan kepada perjalanan seni Fabio Asher selepas kejayaan album debut EVERLAST serta beberapa lagu popular seperti “Bertahan Terluka”, “Rumah Singgah”, “Tanpa Rasa Bersalah” dan “Berharap Kau Kembali” yang pernah mencatat kejayaan di pelbagai carta muzik. Single ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital di Indonesia.
