Eyka Farhana: Cikgu Diva yang Memimpin Rumah Sukan Tercorot Menuju Kemenangan!

Dunia sekolah yang penuh warna-warni kini kembali menerjah skrin TV dengan kemunculan Cikgu Diva, sebuah drama terbaru di slot Lestary TV3. Dengan gabungan komedi, drama, dan nilai kekeluargaan, Cikgu Diva bakal memikat penonton seisi keluarga bermula hari ini, 31 Januari 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, pukul 9.00 malam.

Diarahkan oleh Kyoll Hamzah, Cikgu Diva menampilkan lakonan mantap pelakon muda berbakat seperti Eyka Farhana, Fitri Farok, Syad Mutalib, Kana Fly, Duerra Mitilda, Syed Irfan, Danish Hazriq, dan ramai lagi. Drama ini tidak hanya menghiburkan, tetapi turut memberi sorotan terhadap kehidupan seorang guru yang menjalankan tugas berat menguruskan pelajar dan rumah sukan, sambil meniti cabaran cinta dan muslihat di tempat kerja.

Eyka Farhana membawa watak Cikgu Ros, seorang guru Bahasa Melayu yang mempesona dengan kecantikan dan karisma yang luar biasa. Walaupun baru dilantik sebagai guru penasihat rumah sukan biru – sebuah rumah sukan yang sentiasa tercorot dalam Hari Sukan Sekolah – Cikgu Ros berusaha keras untuk mengubah nasib rumah sukan tersebut. Namun, cabaran muncul apabila dia harus bekerjasama dengan pelajar yang bermasalah, termasuk Haikal yang menolak untuk terlibat kerana masalah keluarga.

Dalam menghadapi tugasnya, Cikgu Ros juga terpaksa berhadapan dengan ketegangan hubungan profesionalnya dengan Cikgu Adam (Fitri Farok), guru penasihat rumah sukan kuning yang sering menjadi juara. Tidak hanya itu, Cikgu Sofea (Syad Mutalib) dan Cikgu Kana (Kana Fly) juga turut menjadi bahagian penting dalam drama ini, mencipta pergolakan perasaan cinta dan persaingan yang bakal memeriahkan setiap episod.

Bukan sekadar cabaran dalam dunia pendidikan, Cikgu Diva juga menceritakan kisah persaingan sengit di kalangan guru dan ketegangan hubungan peribadi yang melibatkan Cikgu Ros, Cikgu Adam, Cikgu Sofea, dan Cikgu Kana. Dapatkah Cikgu Ros menangkis muslihat Cikgu Sofea yang ingin merosakkan reputasinya? Mampukah Cikgu Ros membawa rumah sukan biru keluar dari kancah kegagalan?

Drama ini turut menampilkan penampilan sulung Kana Fly dalam dunia lakonan. Dikenali sebagai pempengaruh media sosial dengan kandungan jenaka dan gaya santai, Kana Fly sangat teruja dengan pengalaman pertama beliau berlakon dalam drama. “Ini adalah pengalaman yang benar-benar baru dan berharga. Saya sangat bersyukur dapat bekerja dengan pelakon-pelakon hebat dan berharap penonton dapat menghayati watak saya dan setiap karakter dalam drama ini,” ujar Kana Fly.

Untuk menyaksikan Cikgu Diva yang penuh dengan drama, komedi, dan pengajaran hidup, pastikan anda menonton setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam di slot Lestary TV3. Bagi yang tidak mahu terlepas, anda boleh strim episod-episod awal 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk info terkini, ikuti TV3 di laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram di @TV3Malaysia, serta Drama Sangat di Instagram @dramasangat.