Ernie Zakri Meriahkan Aidilfitri Dengan Lagu Raya Baru ‘HAHAHAHARI Raya’

Ernie Zakri Meriahkan Aidilfitri Dengan Lagu Raya Baru ‘HAHAHAHARI Raya’

Seperti ramai penyanyi lain di Malaysia, Ernie Zakri, bintang bersuara gemilang, turut meriahkan suasana Aidilfitri yang akan datang tidak lama lagi. Dengan semangat itu, Ernie muncul dengan sebuah lagu raya baru bertajuk ‘HAHAHAHARI Raya’.

Lagu ini merupakan ciptaan serta tulisan Ernie Zakri sendiri bersama beberapa orang komposer dan penulis lirik lain iaitu Mage, Glowrush, dan Ajay Amai. Disusun dan diterbitkan oleh Adib Hussin serta Glowrush, lagu ini mempunyai gaya yang tersendiri.

“Seperti lagu-lagu seniwati Saloma, ia ada nuansa era tahun 1950-an. Unsur ini ditampilkan supaya ada sedikit kelainan dari segi bunyi jika dibandingkan dengan lagu-lagu Raya saya sebelum ini,” ujar Ernie membuka bicara.

Ernie juga memberitahu bahawa proses rakaman lagu ini sangat mudah. “Pada awalnya sudah ada versi yang pendek sekitar dua minit. Kemudian kami mengambil keputusan untuk memanjangkan sedikit lagu ini. Di situ saya tambahkan melodi, khasnya di rangkap bridge kerana ingin menyerlahkan sedikit gaya baharu pada karya ini. Jadi, ada unsur moden juga dan tidaklah seperti lagu Saloma dari era 50-an sepenuhnya.

Malah, semasa bekerja dengan rakan-rakan penulis di Faithful Music, saya selalu dapat pengalaman baharu selain mempelajari teknik-teknik lain dalam mencipta lagu baharu. Saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka sambil merungkai bunyian baru dalam muzik,” tambah Ernie lagi.

Lagu ini turut ditampilkan dengan sebuah video muzik yang dirakam semasa bulan puasa. “Jalan cerita video muzik lagu ini sangat mudah. Ia berkisar tiga orang adik-beradik menjelang hari raya dan saya memainkan watak kakak sulung atau Kak Long yang cuba menyatu-padukan dua orang adik saya yang suka bergaduh. Konsepnya seronok, ceria dan sangat santai,” jelasnya lagi.

Video Muzik HAHAHAHAHari Raya turut menampilkan jenama tudung Ernie sendiri iaitu Ayuwan. Sepanjang bulan Ramadhan ini, tudung Ayuwan miliknya sudah muncul di aneka acara termasuk di Star Vendor, KL Convention Centre pada 30 Mac lalu. Ernie juga sempat mempromosikan tudung Ayuwan pada 31 Mac 2024 di Sogo KL semasa mempersembahkan lagu HAHAHAHAHari Raya di lokasi tersebut. Ini telah diikuti dengan sesi ramah mesra bersama peminat dan media di penghujung acara.

Saat ditanya tentang harapan, Ernie hanya mahukan yang terbaik untuk lagu raya ini. “Kalau boleh semua orang mahu lagu raya mereka menjadi malar segar dan berkekalan, namun yang paling penting, saya ingin lagu ini membuat pendengar tertawa dan gembira. Saya mahu mereka menikmatinya, sesuai dengan konsep lagu ini sebagai sebuah lagu musim perayaan Aidilfitri. Semoga para pendengar akan mendapat kebahagiaan dan kegembiraan berhari raya saat mendengar lagu ini,” ulas Ernie lagi.

HAHAHAHAHari Raya boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 22 Mac 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ernie Zakri pada 27 Mac 2024.