Eksport Lapan Negeri Menunjukkan Peningkatan Positif Berjumlah RM71.6 Bilion pada Februari 2025

Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan berjumlah RM223.9 bilion pada Februari 2025, dengan nilai eksport mencapai RM118.3 bilion dan import sebanyak RM105.6 bilion, seperti yang dilaporkan dalam STATISTIK EKSPORT IMPORT MENGIKUT NEGERI FEBRUARI 2025.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, prestasi eksport pada Februari 2025 meningkat sebanyak RM6.9 bilion (+6.2%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dengan jumlah keseluruhan eksport bernilai RM118.3 bilion. Kenaikan ini didorong oleh peningkatan nilai eksport di kebanyakan negeri, antaranya Pulau Pinang (+RM9.3 bilion), Selangor (+RM1.3 bilion), Melaka (+RM656.2 juta), Sabah (+RM623.1 juta), Perak (+RM411.1 juta), Kelantan (+RM165.5 juta), Perlis (+RM29.3 juta), dan W.P. Labuan (+RM21.5 juta). Namun, beberapa negeri mencatatkan penurunan dalam nilai eksport, termasuk Sarawak (-RM3.0 bilion), Kedah (-RM900.3 juta), Pahang (-RM777.5 juta), Terengganu (-RM491.0 juta), W.P. Kuala Lumpur (-RM323.7 juta), Negeri Sembilan (-RM152.2 juta), dan Johor (-RM3.9 juta).

Pulau Pinang terus menjadi penyumbang terbesar kepada eksport dengan kadar sumbangan sebanyak 34.2%, diikuti oleh Johor (19.8%), Selangor (18.2%), Sarawak (7.4%), dan W.P. Kuala Lumpur (3.8%).

Beralih kepada prestasi import, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin melaporkan bahawa nilai import pada Februari 2025 meningkat sebanyak RM5.5 bilion (+5.5%) berbanding dengan bulan yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan import di negeri-negeri utama seperti Pulau Pinang (+RM3.2 bilion), Selangor (+RM2.1 bilion), Melaka (+RM1.3 bilion), Perak (+RM764.1 juta), W.P. Kuala Lumpur (+RM674.8 juta), Johor (+RM324.6 juta), dan Kelantan (+RM81.9 juta). Walau bagaimanapun, nilai import berkurangan di beberapa negeri, antaranya Negeri Sembilan (-RM1.2 bilion), Kedah (-RM714.4 juta), Sarawak (-RM389.7 juta), Pahang (-RM360.1 juta), W.P. Labuan (-RM272.7 juta), Sabah (-RM121.6 juta), Terengganu (-RM52.9 juta), dan Perlis (-RM8.7 juta).

Selangor mencatatkan sumbangan terbesar kepada import Malaysia dengan kadar sebanyak 25.9%, diikuti oleh Johor (23.5%), Pulau Pinang (22.9%), W.P. Kuala Lumpur (8.1%), dan Kedah (4.6%).

Dalam perkembangan lain, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) pada 2025, yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama statistik bagi menyokong pembangunan serantau yang mampan.

Kerajaan Malaysia juga telah menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema “Statistik Nadi Kehidupan”. Sementara itu, Hari Statistik Dunia Keempat akan disambut pada 20 Oktober 2025 dengan tema “Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone.”

OpenDOSM NextGen adalah platform yang menyediakan akses kepada katalog data dan visualisasi untuk memudahkan analisis, yang boleh diakses melalui https://open.dosm.gov.my.