EKONOMI Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019 (1Q 2019), dengan sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata dari segi bekalan, sektor utama terus berkembang, kecuali sektor perlombongan disebabkan penurunan dalam pengeluaran minyak dan gas asli susulan penutupan kemudahan pengeluaran yang tidak dirancang.
“Sektor pertanian pulih dengan mencatatkan peningkatan 5.6 peratus pada 1Q 2019 berbanding pengucupan 0.1 peratus pada 4Q 2018, ekoran pemulihan kukuh hasil minyak sawit yang membantu meningkatkan pertumbuhan,” kata BNM.
Berasaskan pelarasan bermusim sukuan, bank pusat itu berkata ekonomi meningkat 1.1 peratus.
BNM berkata ekonomi Malaysia dijangkakan terus berada pada kedudukan pertumbuhan yang mantap, dengan permintaan sektor swasta diunjur terus menjadi teras pertumbuhan disebabkan perbelanjaan sektor awam yang rendah.
“Sektor luar dijangka berkembang sedikit, seiring dengan permintaan global yang sederhana,” katanya.
Secara menyeluruh, BNM berkata berdasrkan unjuran asas, ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4.3 dan 4.8 peratus tahun ini.
Dalam perkembangan lain, BNM berkata berkuat kuasa 1Q 2019, Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) diasaskan semula kepada harga malar tahun 2015 daripada harga tahun 2010.
“Pengasasan semula yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini mencerminkan struktur ekonomi semasa seperti peningkatan sumber dan liputan data, serta penambahbaikan metodologi, selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya. – Bernama