EKONOMI Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan dalam tempoh masa terdekat seperti digambarkan oleh Indeks Pelopor (IP), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks berkenaan menunjukkan pergerakan lebih baik untuk tiga bulan berturut-turut kepada negatif 0.3 peratus dengan merekodkan 109.3 mata pada September 2023 berbanding negatif 0.5 peratus bulan sebelumnya.
“Walaupun masih di bawah trend 100 mata dalam analisis jangka panjang terlicin pada September 2023, IP menjangka ekonomi Malaysia bertumbuh sederhana dalam masa terdekat.
“Ia disokong oleh peningkatan dalam perbelanjaan pelaburan, keadaan pasaran buruh yang memberangsangkan dan permintaan domestik menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.