Orang ramai banjiri kawasan pameran statik di Tarmac, MIEC Langkawi untuk rasai sendiri pengalaman menyaksikan pertunjukan udara dan maritim sempena LIMA’23 hari ini. – Foto Bernama
EDGE Group, sebuah konglomerat milik kerajaan UAE yang terlibat dalam teknologi maju dan industri pertahanan, percaya Malaysia adalah platform yang baik untuk syarikat itu memasuki pasaran yang lebih besar, terutamanya di Asia dan Asia Tenggara.
Sebagai permulaan, Caracal, sebuah syarikat Edge Group, telah menandatangani perjanjian dengan Ketech Asia Sdn Bhd, pengeluar peluru dan penyedia penyelesaian senjata kecil, untuk pengeluaran dan penjualan semula senapang tempur CAR 816 Caracal di Malaysia.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua syarikat akan menjalankan pemindahan teknologi yang membolehkan Ketech Asia memasang senapang tempur CAR 816 di kemudahan baharunya di Pahang bagi menyokong keperluan Angkatan Tentera Diraja Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Caracal, Hamad Al Ameri berkata, Edge Group mempunyai banyak produk dan berharap syarikat dapat lebih bekerjasama dengan kerajaan dan syarikat Malaysia pada masa depan.
“Kami sedang berunding dengan rakan kongsi kami untuk memanfaatkan industri berasaskan Malaysia. Kami sedang meninjau pasaran berpotensi itu. Kami akan meneruskan dan mengikuti perkembangan ini (menandatangani perjanjian dengan Ketech Asia),” katanya kepada Bernama di luar acara Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), Edisi Ke-16 yang bermula pada Selasa.
Al Ameri berkata, kumpulan mempunyai kepelbagaian penuh dalam perniagaan pertahanan untuk memenuhi semua keperluan sektor pertahanan.
“Edge Group adalah kumpulan teknologi maju yang menggabungkan lebih 20 entiti kepada empat kluster teras — Platform dan Sistem, Peluru Berpandu dan Senjata, Electronic Warfare dan Teknologi Siber serta Perdagangan dan Sokongan Misi.
“Syarikat adalah baharu dan ditubuhkan pada 2019. Bagaimanapun, sejak itu, kami berjaya menembusi banyak pasaran dan berkembang menjadi antara pemain pertahanan terbesar di rantau ini dan di peringkat global,” katanya.
Dilancarkan pada November 2019, konglomerat yang berpangkalan di Abu Dhabi itu ialah antara kumpulan teknologi maju terkemuka di dunia, ditubuhkan untuk membangunkan penyelesaian yang cepat dan berani untuk pertahanan dan seterusnya serta menjadi pemangkin kepada perubahan dan transformasi.
Mengenai LIMA’23, Al Ameri berkata, pameran itu adalah platform yang baik untuk mempamerkan produk dan keupayaannya kepada pasaran pertahanan. – Bernama