
Berbekalkan 14 tahun pengalaman dalam kepakaran penjagaan bayi dan kulit sensitif, jenama tempatan terkemuka, Applecrumby, secara rasmi melancarkan semula koleksi Premium Skincare mereka dengan wajah baharu berinspirasikan kisah dongeng. Transformasi ini menandakan fasa evolusi penting jenama tersebut daripada fokus penjagaan bayi kepada penyedia penyelesaian menyeluruh bagi seisi keluarga.
Koleksi penjagaan kulit harian tersebut hadir bersama enam ilustrasi cat air imaginatif yang dipadankan dengan kisah waktu tidur tersendiri, antaranya Gentle Shampoo & Bath Wash bersama kisah Flight of the Moon Bird, serta Ultimate Miracle Balm menerusi The Girl Who Crossed the Skies. Menurut Pengasas Applecrumby, Sean dan Jesmine Tan, pendekatan penceritaan ini bertujuan menyuntik elemen magis dan merapatkan interaksi kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak sewaktu rutin harian seperti mandi atau persediaan tidur.
Menambah keceriaan, Applecrumby turut memeterai kolaborasi istimewa bersama Warner Bros. sempena kemunculan semula watak ikonik Dr. Seuss, The Cat in the Hat, dalam filem animasi terbaharu yang bakal menemui penonton di pawagam Malaysia pada 5 November 2026. Kerjasama ini membawakan pembungkusan lampin edisi khas serta pameran imersif yang sebelum ini berjaya mencuri tumpuan ribuan keluarga di acara TCE Baby Expo & Kidz World.

Melengkapi langkah pelebaran sayapnya, Applecrumby turut menembusi segmen penjagaan kediaman moden menerusi pengenalan Eco Laundry Detergent Sheets dan Eco Softener Sheets. Diformulasikan dengan ramuan biodegradasi, bebas SLS dan paraben, inovasi cucian berkepekatan tinggi ini tampil dalam helaian nipis bebas tumpahan—menggantikan keperluan botol cecair yang berat dan memakan ruang.
Bagi menyokong setiap fasa kehidupan pengguna, jenama ini turut memperkenalkan rangkaian penjagaan dewasa menerusi Liv & Branche SkinGuard+ Adult Briefs dan Slips. Inisiatif menyeluruh ini membuktikan komitmen berterusan Applecrumby dalam menyediakan penjagaan berkualiti, praktikal, dan bermaruah untuk seluruh lapisan generasi keluarga Malaysia.