30 Lagu, Satu Jiwa: Magis Faizal Tahir dan Sentuhan M. Nasir Pukau 10,000 Suara Rakyat

Nama ‘Suara Rakyat’ diterjemahkan secara nyata apabila 10,000 penonton daripada pelbagai generasi dan latar belakang bersatu hati di Unifi Arena, Bukit Jalil bagi menyaksikan konsert solo berskala arena oleh Faizal Tahir. Membuka persembahan menerusi Batu & Golek dan lagu penuh motivasi Gemuruh, seluruh arena bergema dengan nyanyian peminat yang menghayati mesej perjuangan serta ketabahan yang sekian lama menjadi identiti muzik Faizal. Sepanjang konsert, hampir 30 buah lagu didendangkan termasuk Coba, Hanyut, Dirgahayu, Teknologia, Kasih Tercipta dan Aku Berjanji.

Konsert ini turut memperlihatkan kekuatan muzik sebagai jambatan penyatuan merentasi masa dan genre. Kehadiran kumpulan Mirwana mendendangkan Aku Tanpa Cintamu serta kemunculan mengejut legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, menerusi duet bertenaga Campak Bintang menyuntik inspirasi mendalam kepada seluruh penonton. Kemunculan Dato’ M. Nasir tanpa pengumuman awal menjadi simbolik penghargaan kepada pengkarya terdahulu yang membina asas industri hiburan tanah air, disambut dengan tepukan berdiri oleh ribuan hadirin.

Kemuncak semangat kebangsaan memuncak sewaktu segmen Negaraku, Malaysia, di mana gabungan visual megah dan alunan vokal 10,000 penonton meniupkan rasa bangga terhadap tanah air. Menutup konsert, Faizal menyampaikan lagu Mahakarya dan Bila Lagi Nak Jumpa dalam suasana penuh keinsafan sebelum instrumental Gemuruh berkumandang. Dalam ucapannya, Faizal menegaskan bahawa konsert tersebut bukan tentang dirinya semata-mata, sebaliknya meraikan kebersamaan rakyat Malaysia yang berkongsi satu suara melalui lagu-lagu yang telah sebati dalam nadi kehidupan mereka selama lebih dua dekad.