Dua peserta meninggalkan pentas Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) pada minggu keempat, dengan salah seorangnya terpalit isu disiplin dan seorang lagi tersingkir akibat undian rendah. Nama Rezza Shah, yang tampil dengan gabungan lagu Kembali Merindu dan Seragam Hitam, sudah dijangka akan tersingkir apabila menerima kritikan keras daripada juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, berhubung masalah disiplinnya.
Sementara itu, Alya Mardien, yang membawakan lagu Bukan Lagi Kita dan Jangan Mati Rasa Itu, turut tersingkir walaupun mutu vokalnya diakui berkualiti. Namun, adat pertandingan menyaksikan kesilapan kecil atau kurangnya sokongan peminat dalam undian boleh menjadi faktor utama penyingkiran.
Penyingkiran Rezza bukanlah satu kejutan, malah dianggap tepat oleh banyak pihak. Disiplin adalah kunci utama dalam dunia hiburan, dan tanpa elemen ini, perjalanan seni seseorang pasti terjejas. Mengakui kesilapannya, Rezza berkata, “Saya mengaku ada masalah disiplin, tapi saya ada alasan tersendiri. Apa yang dikritik oleh juri adalah benar dan saya jadikan ia sebagai pelajaran.”
Namun, hakikatnya, pengakuan ini hadir terlambat. Teguran juri seharusnya dijadikan pengajaran buat Rezza dan semua peserta lain agar tidak memandang ringan isu disiplin, kerana industri hiburan menuntut lebih daripada sekadar bakat.
Di usia 19 tahun, perjalanan Alya dalam dunia seni masih jauh. Walaupun mutu vokalnya diakui bagus, kegagalannya menarik undian peminat menjadi punca tersingkir. Penonton yang bersorak menyokong tetapi tidak mengundi memberi isyarat betapa pentingnya usaha membina pengaruh dan hubungan dengan peminat.
Alya disarankan untuk terus memperbaiki diri agar tidak dilabel klise seperti “mirip penyanyi ini atau itu.” Dunia seni penuh persaingan, dan untuk terus relevan, Alya perlu mencipta keunikan tersendiri.
Minggu keempat menyaksikan Jimi sekali lagi dinobatkan sebagai juara Terpaling Fizz. Kejayaannya sebelum ini berduet dengan Aina Abdul diteruskan dengan persembahan luar biasa bersama Misha Omar, seorang legenda dengan lagu-lagu ikonik seperti Bunga-Bunga Cinta dan Pulangkan. Adakah Jimi mampu mengekalkan momentum ini?
Sementara itu, Marygrace mencipta sejarah apabila berpeluang berduet dengan legenda Datuk Ramli Sarip, membawakan lagu Nyanyian Serambi dan Doa Buat Kekasih. Persembahannya mendapat pujian melambung daripada juri. Mampukah Marygrace terus bersinar sehingga ke pentas akhir?
Kini hanya enam peserta yang tinggal—Marygrace, Jimi, Zazleen, Eylia Guntabid, Mariam, dan Kai Deva. Episod kelima bakal mempersembahkan tema mencabar, “Evolusi AJL”, di mana peserta perlu membawakan lagu-lagu ikonik dari pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Dengan 40% keputusan di tangan penonton dan 60% lagi ditentukan juri, undian anda amat penting untuk memastikan peserta kegemaran mara ke pusingan seterusnya.
Jangan lupa saksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3, setiap Ahad jam 9.00 malam, atau strim secara HD di Tonton. Peluang untuk memenangi hadiah menarik seperti sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000 masih terbuka untuk mereka yang bertuah!
Ikuti juga sorotan eksklusif melalui Fizz Journal, yang bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu jam 9.00 malam. Dapatkan perkembangan terkini di media sosial rasmi @CalpisSodaOIAMTV3 dan jangan lupa gunakan hashtag #OIAM untuk terus bersama kami mencipta fenomena luar biasa ini!