Industri muzik rock Malaysia bakal menyaksikan peristiwa bersejarah apabila dua kumpulan rock terbesar tanah air, Cromok dan Amuk, akan bergabung di atas satu pentas untuk konsert yang dijangka menggegarkan. Konsert yang diberi nama Kasi Gegar! Cromok vs Amuk ini akan berlangsung pada 26 April 2025, bertempat di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan, bermula pada jam 9 malam.
Cromok yang ditubuhkan pada tahun 1987, dikenali sebagai pelopor muzik thrash metal di Malaysia, telah mengukir nama dalam industri muzik tempatan dengan lagu-lagu berunsur metal yang berinovasi dan bersemangat. Sementara itu, Amuk yang ditubuhkan pada 1998, membawa aliran muzik rock + metal dengan sentuhan agresif yang turut mendapat tempat di hati peminat. Gabungan dua kumpulan ini di atas satu pentas pasti menjadi pengalaman yang dinantikan peminat setia mereka.

Bagi pengarah YNS Event Management, Encik Mohd Agmeer Hj Farouke, konsert ini bakal mencipta sejarah kerana ia merupakan pertama kali Cromok dan Amuk digabungkan dalam satu persembahan besar. “Ini adalah pengalaman pertama buat peminat untuk melihat kedua-dua kumpulan ini bersama-sama dalam satu pentas, dan juga merupakan konsert pertama diadakan di N9 Arena, Nilai setelah proses naik taraf dijalankan,” katanya. Selain itu, N9 Arena Nilai yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta yang luas dan ruang surau yang selesa menjadikan tempat ini pilihan yang tepat untuk acara sebesar ini.
Menurut Bandi, vokalis Amuk, kerjasama ini bukan sahaja menjadi impian peminat tetapi juga sudah lama terlintas di fikirannya. “Dulu peminat selalu bertanya, mengapa tidak ada konsert gabungan Cromok dan Amuk? Kini ia menjadi kenyataan dan saya rasa inilah masa yang tepat,” ujar Bandi. Beliau turut menjelaskan bahawa pada konsert ini, mereka bakal menyaksikan kolaborasi epik antara beliau dan Sam, vokalis Cromok, dalam menyampaikan lagu bersama. Gabungan lagu-lagu klasik dari kedua-dua kumpulan ini dijangka memberikan pengalaman baru yang memukau.
Peminat muzik rock tidak harus melepaskan peluang untuk menyaksikan dua legenda ini bersatu dalam satu pentas. Tiket-tiket untuk konsert ini telah pun dijual sejak 24 Januari 2025, dan boleh didapati secara dalam talian melalui laman web n9arena.ubertickets.asia. Tiket untuk konsert ini dijual dengan harga yang berpatutan, memberikan peluang kepada lebih ramai peminat dari seluruh Malaysia untuk hadir dan menikmati persembahan luar biasa ini.
Berikut adalah harga tiket yang ditawarkan:
- RM118 (Cat 1 – Berdiri)
- RM158 (Cat 3 – Duduk)
- RM218 (Cat 2 – Duduk)
- RM248 (VIP – Duduk)
- RM388 (VVIP – Duduk)
- RM488 (GS)
Karl @ Anuar, pemain gitar Cromok, turut berkongsi keterujaannya dengan gandingan ini. “Gandingan seperti ini jarang berlaku, dan ia pasti memberi pengalaman yang menarik kepada peminat. Kami telah beraksi bersama XPDC, A.C.A.B, Hillary dan Man Kidal, tetapi kali ini bersama Amuk, ia pasti menjadi sesuatu yang istimewa,” jelas Karl.

Selain daripada persembahan penuh bertenaga daripada kedua-dua kumpulan, gandingan ini juga memberi peluang untuk melihat bagaimana mereka akan mengolah lagu-lagu klasik dengan sentuhan baru dan lebih segar. Kolaborasi ini bukan sahaja mempersembahkan rock yang bertenaga, tetapi juga memberikan pengalaman muzik yang tidak dapat dilupakan oleh peminat.
Terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur, N9 Arena menjadi lokasi yang sangat strategik untuk peminat dari seluruh Malaysia, termasuk Johor dan Melaka, untuk hadir ke konsert ini. Dengan kemudahan yang lengkap dan ruang yang luas, ia memberi keselesaan kepada pengunjung dan memberi pengalaman terbaik untuk menikmati konsert rock terbesar tahun ini.
Bergabungnya dua kumpulan besar dalam satu pentas adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh semua peminat rock. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk di N9 Arena, Nilai, pada 26 April 2025. Pastikan anda hadir untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dalam industri muzik rock Malaysia.
Untuk maklumat lanjut atau untuk mendapatkan tiket, sila layari laman web rasmi n9arena.ubertickets.asia.