Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih meriah dengan kemunculan single baharu “Drama Raya” daripada trio komedi sensasi, Kimbab. Lagu ini tampil dengan konsep ringan dan menghiburkan, mengangkat pelbagai situasi yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat setiap kali pagi Syawal menjelma. Dari dapur yang kecoh hingga momen kelam-kabut bersiap ke rumah terbuka, “Drama Raya” menggambarkan realiti raya moden secara santai dan penuh jenaka.
Zulin Aziz menjelaskan bahawa lagu ini diinspirasikan daripada ‘drama tahunan’ yang pasti pernah dilalui semua orang. Keunikan utama lagu ini terletak pada elemen rap Bahasa Melayu yang dibawakan oleh Maryam DurianKimchi, yang sanggup berlatih berkali-kali demi memastikan sebutan dan ritma rapnya sempurna. Usaha tersebut membuahkan hasil apabila lagu ini kedengaran segar dan berbeza daripada lagu raya biasa.

Selain hiburan, “Drama Raya” turut menyelitkan isu perbezaan generasi antara milenial dan Gen-Z, sekali gus mencerminkan perubahan budaya raya masa kini tanpa mengetepikan nilai tradisi. Keserasian trio ini yang terbina sejak penyertaan mereka dalam Muzikal Lawak Superstar menjadi kekuatan utama dalam menyampaikan mesej lagu dengan penuh spontan dan semula jadi.