Kumpulan pop wanita sensasi Malaysia, DOLLA kembali dengan semangat baharu menerusi single terbaharu mereka berjudul “MWA!”, sebuah karya penuh tenaga dan ekspresi kreatif yang berani. Menandakan permulaan era baharu buat DOLLA, pelancaran ini turut disertai video muzik yang menggabungkan elemen aksi, fesyen dan ilusi dengan jenama kenderaan OMODA JAECOO tampil sebagai penaja rasmi.
“MWA!” merupakan hasil ciptaan Chelsea Warner, GASTON, Roland Lim Shi Jie, serta tiga ahli kumpulan iaitu Tabby, Sabronzo dan Angel. Lagu ini diterbit dan disusun oleh GASTON dan Roland Lim. Menurut Angel, kolaborasi semula bersama pasukan produksi ini berjalan lancar dan menyeronokkan. “Kami banyak bereksperimen dengan bunyi serta struktur lagu yang tidak konvensional. Lebih istimewa, semua ahli DOLLA turut terlibat secara aktif dalam pembangunan lagu ini menjadikan ia sesuatu yang sangat peribadi.”
Video muzik “MWA!” yang diarahkan oleh pengarah tersohor, Jasmine Wong, membawa penonton ke dalam dunia penuh ilusi dan strategi. Setiap anggota DOLLA tampil sebagai watak unik Sabronzo sebagai pemain kad, Tabby sebagai perancang utama, dan Angel sebagai pejuang. “Konsep kali ini lebih liar dan berani, sangat berbeza daripada karya-karya terdahulu kami,” kata Angel.
Elemen visual turut diperkaya dengan kehadiran kereta OMODA JAECOO, yang menjadi sebahagian penting dalam penceritaan muzik video ini. “Kerjasama bersama OMODA JAECOO sangat serasi dan menambah nilai estetik dalam keseluruhan produksi,” kongsi Tabby.
Menurut Sabronzo, “MWA!” bermula daripada idea asas yang kemudian dikembangkan secara berperingkat hingga mencapai versi akhir yang menggambarkan sepenuhnya visi kumpulan. Tambah Tabby, “Ini hanyalah permulaan. Tahun 2025 akan menjadi ‘tahun lagu DOLLA’ kerana banyak lagi karya baharu yang sedang menanti untuk dilancarkan. Kami tidak sabar untuk membawanya ke pentas dan berkongsi dengan semua.”
Single “MWA!” boleh distrim di semua platform digital mulai 5 Mei 2025, manakala video muziknya ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi DOLLA.
Sebagai kemuncak pelancaran, DOLLA turut menganjurkan The MWA! Heist pada 10 Mei di Bukit Bintang, dengan aktivasi khas di Bukit Yayasan Selangor. Peminat dijemput menyertai pengalaman imersif yang membawa dunia “MWA!” ke jalanan termasuk persembahan rawak, pameran visual dan persembahan sulung lagu ini secara langsung.
Dengan “MWA!”, DOLLA memperkukuh kedudukan mereka sebagai ikon pop moden Malaysia yang bukan sahaja berani berkarya, malah terus mencabar batasan muzik dan visual tempatan.