Doktor pertama kenal pasti kes Covid-19

Dr. Zhang Jixian iaitu doktor pernafasan Wuhan dipuji sebagai doktor pertama yang memaklumkan kepada sistem kesihatan mengenai koronavirus baharu.

Beliau mengimbas kembali bagaimana patogen asing itu yang dihadapi manusia, muncul dari satu kes biasa yang terkena pada sepasang suami isteri pada akhir Disember.

WUHAN – Zhang Jixian diangkat sebagai doktor pertama yang memaklumkan kepada sistem kesihatan tentang koronavirus baharu.

Pengarah Bahagian Perubatan Pernafasan Dan Rawatan Kritikal di Hubei Provincial Hospital of Integrated Chinese and Western Medicine, Zhang
Jixian, ketika ditemubual di hospital di Wuhan pada 2 Mac yang lalu. (Foto: Shen Bohan / Xinhua)

Pengarah Bahagian Perubatan Pernafasan Dan Rawatan Kritikal di Hubei Provincial Hospital of Integrated Chinese and Western Medicine, Zhang
Jixian, ketika ditemubual di hospital di Wuhan pada 2 Mac yang lalu. (Foto: Shen Bohan / Xinhua)

Jixian yang merupakan seorang doktor veteran di sebuah hospital di Wuhan cuba mengimbau kembali bagaimana kemunculan patogen asing itu yang menyerang sepasang suami isteri warga emas pada akhir Disember 2019.

Pada 26 Disember lalu, pasangan terbabit yang tinggal di komuniti ber- hampiran, hadir melakukan pemeriksaan di Hubei Provincial Hospital of Integrated Chinese and Western Medicine.

“Mereka mengalami simptom termasuk demam, keletihan dan batuk serta seperti selesema atau radang paru-paru biasa,” kata Jixian yang merupakan Pengarah Jabatan Perubatan Pernafasan dan Rawatan Kritikal di hospital itu.

Tetapi apabila, laporan imbasan tomografi berkomputer (CT) mereka diterima Jixian keesokan harinya, doktor berusia 54 tahun itu melihat ciri yang berbeza daripada selesema atau pneumonia biasa.

Pesakit istimewa

Pengalaman Jixian ketika berdepan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 sebagai pakar perubatan menyebabkan wanita itu amat peka dengan sebarang tanda epidemik.

Selepas memeriksa imej imbasan CT pasangan itu, beliau memanggil anak lelaki mereka untuk menjalani ujian sama.

Zhang Jixian menyarungkan sut pelindung perubatan sebelum memasuki wad di hospital Wuhan, Provinsi Hubei, tengah China, pada 11 Mac 2020. (Foto: Ke Hao / Xinhua)

Zhang Jixian menyarungkan sut pelindung perubatan sebelum memasuki wad di hospital Wuhan, Provinsi Hubei, tengah China, pada 11 Mac 2020. (Foto: Ke Hao / Xinhua)

“Pada mulanya, dia enggan menjalani pemeriksaan. Dia tidak menunjukkan sebarang gejala atau rasa tidak selesa. Dia anggap kami cuba menipu wangnya,” ujarnya.

Anak lelaki pasangan itu akhirnya akur dengan desakan Jixian yang membawa kepada bukti kedua. Paru-parunya juga menunjukkan kelainan sama seperti ibu bapanya.

“Tidak mungkin ketiga-tiga ahli keluarga itu menghidap penyakit sama melainkan ia adalah penyakit berjangkit,” jelasnya.

Pada 27 Disember, hospital itu menerima seorang lagi pesakit yang menunjukkan simptom batuk dan demam serta imej imbasan CT yang sama.

Ujian darah ke atas keempat-empat individu itu menunjukkan jangkitan virus.

Jixian turut menjalankan beberapa ujian berkaitan influenza, namun kesemua keputusannya negatif.

Beliau kemudian mengemukakan laporan kepada hospital sebelum dihantar ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit peringkat daerah.

“Laporan itu adalah tentang penemuan penyakit virus yang mungkin berjangkit,” katanya.

Ketika itu, Jixian tidak menyangka ia adalah antara laporan perubatan pertama tentang epidemik yang telah merebak dengan cepat dan menyebabkan jangkitan paling meluas serta sukar dibendung sejak penubuhan Republik Rakyat China pada 1949.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan koronavirus yang ditakrifkan sebagai Covid-19 oleh agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu telah meragut lebih 123,000 nyawa seluruh dunia setakat 15 April, lebih 130 kali ganda daripada kematian akibat SARS, virus sama tergolong dalam koronavirus.

Cetus kebimbangan

Ketika itu, maklumat tentang virus itu sukar didapati. Selepas mengemukakan laporan tersebut, Jixian mengasingkan empat pesakit itu untuk diberi rawatan di wad jabatannya.

Beliau turut meminta anggota perubatan untuk mengenakan sut perlindungan.

 Zhang Jixian (kanan) berbincang tentang memindahkan pesakit dengan petugas hospital. (Foto: Ke Hao / Xinhua)

Zhang Jixian (kanan) berbincang tentang memindahkan pesakit dengan petugas hospital. (Foto: Ke Hao / Xinhua)

Ketibaan tiga lagi pesakit dengan imej paru-paru yang sama menerusi keputusan imbasan CT dua hari kemudian mencetuskan kebimbangan di hospital berkenaan hingga menyebabkan panel terdiri daripada 10 orang pakar bertemu untuk membincangkan tentang tujuh kes terbabit.

Mereka membuat kesimpulan, situasi tersebut sememangnya luar biasa ditambah dengan maklumat dua kes sama di hospital lain memaksa Hubei Provincial Hospital of Integrated Chinese and Western Medicine melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa kesihatan perbandaran dan wilayah.

Setelah menerima laporan itu, pihak berkuasa mengarahkan siasatan epidemiologi. Pada sebelah malam, pakar dari Wuhan Jinyintan Hospital yang dibangunkan untuk merawat penyakit berjangkit melawat Hubei Provincial Hospital of Integrated Chinese and Western Medicine dan mengambil enam daripada tujuh pesakit terbabit.

Pada hari sama, Jixian mengarahkan kesemua doktor dan jururawat di bawah jabatannya supaya memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga dipercayai dapat membantu jangkitan sifar dalam kalangan kakitangan perubatan antara akhir Disember dan 30 Januari.

Menurut laporan rasmi pada 6 April berhubung tindak balas China terhadap Covid-19, Suruhanjaya Kesihatan Majlis Perbandaran Wuhan pada 30 Disember lalu menghantar notifikasi segera kepada institusi perubatan di bawah bidang kuasanya tentang wabak pneumonia di bandar itu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) turut mengerahkan kumpulan kerja dan pasukan pakar ke Wuhan pada 31 Disember lalu untuk membimbing tindak balas wabak dan siasatan di lokasi.

Pada hari yang sama juga, Suruhanjaya Kesihatan Majlis Perbandaran Wuhan memberikan taklimat pertama tentang wabak radang paru-paru yang tidak diketahui puncanya menerusi laman web mereka dan mengesahkan 27 kes serta mengarahkan orang ramai tidak berkumpul atau berkunjung ke tempat awam.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk memakai topeng muka apabila keluar dari rumah.

Zhang Jixian (dua dari kanan) berkomunikasi dengan petugas di hospital di Wuhan. (Foto: Ke Hao / Xinhua)

Zhang Jixian (dua dari kanan) berkomunikasi dengan petugas di hospital di Wuhan. (Foto: Ke Hao / Xinhua)

Pada Februari lalu, Jabatan Keselamatan Sosial dan Sumber Manusia dan Suruhanjaya Kesihatan wilayah Hubei menyampaikan anugerah kepada Jixian kerana menjadi contoh dan wanita itu turut diangkat sebagai individu pertama yang melaporkan epidemik itu di wilayah berkenaan.

Mereka juga mengiktiraf kepimpinan dan usaha kerasnya untuk memerangi Covid-19. Doktor itu bagaimanapun mengambil sikap merendah diri.

“Saya hanya lakukan tugas sebagai seorang doktor dan didorong oleh profesionalisme,” ujarnya. – Xinhua



Sumber