10 Tokoh Seni Meriahkan Pentas Dikir Barat Malaysia 2026
Lebih 10 tokoh dan penggiat seni bakal berkumpul menerusi Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 yang akan berlangsung pada 7 November ini di Muzium Negara, Kuala Lumpur, bagi mengangkat seni warisan rakyat ke pentas nasional.
Dianjurkan oleh Kota Pesta by Makar Fest dengan kerjasama Muzium Negara serta sokongan Yayasan Hasanah melalui geran ArtsFAS (Arts For All Seasons), program ini menggabungkan persembahan khas, forum budaya, aktiviti pendidikan dan usaha pemuliharaan warisan untuk generasi akan datang.
Antara tokoh yang bakal memeriahkan acara ialah Sabri Yunus, Halim Yazid, Jali Bunga Tanjong, Setapo Merak Emas, Eda Ezrin, Den Manjo, Fadil Turbo, Jemi Intan Berlian, Amran DBA, Ropie Hitam Manis dan Asrulfaizal Kamaruzaman. Program ini turut mendapat kerjasama Nasi Kerabu Moknab sebagai rakan kolaborasi dalam usaha menyemarakkan seni Dikir Barat.
Bengkel Seni Berpantun dan Perkhemahan Belia Generasi Muda
Selain persembahan pentas, pengunjung berpeluang mendalami keunikan seni berpantun menerusi sesi “Seni Berpantun dalam Dikir Barat” bersama Sabri Yunus. Sesi ini akan mengetengahkan kreativiti, teknik rima, permainan kata dan kemahiran bercerita yang menjadikan Dikir Barat sebagai seni komunikasi yang kaya dengan nilai bahasa dan pemikiran.
Bagi menarik minat generasi muda, program ini turut menampilkan Dikir Barat Youth Camp, yang memberi peluang kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi mempelajari asas penghasilan lirik, muzik serta teknik persembahan dengan bimbingan penggiat seni. Peserta juga akan menghasilkan persembahan akhir berdasarkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program.
Forum Warisan dan Usaha Pendokumentasian Digital
Forum Warisan turut dianjurkan sebagai platform perbincangan mengenai masa depan seni tradisional, termasuk cabaran mengekalkan relevansi Dikir Barat dalam masyarakat moden tanpa mengabaikan identiti asalnya. Pada masa sama, usaha pendokumentasian digital akan dilaksanakan bagi merekodkan persembahan dan memastikan warisan ini dapat dijadikan bahan arkib serta rujukan pendidikan pada masa hadapan.
Melalui gabungan persembahan, pendidikan dan pemuliharaan digital, Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 diharap dapat memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan seni warisan negara. Penganjuran ini juga menjadi ruang untuk menghubungkan generasi lama dan baharu agar Dikir Barat terus hidup, berkembang dan diwarisi.














