Definisi cantik, tampan dari perspektif Islam

ISLAM menitikberatkan ketampanan atau kecantikan dalam penampilan serta kekemasan diri yang perlu dijaga bagi menunjukkan imej agama yang bersih.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood berkata, namun apa sahaja dilakukan mestilah mengelakkan sebarang perkara yang mendatangkan kemudaratan.

“Segala yang dilakukan mestilah secara bersederhana dan konsisten. Itulah yang terbaik.

“Dari segi aspek aurat, perlu dijaga dan patuhilah syariah. Janganlah kita memandang remeh, mengetepikan hukum dengan mempamerkan segala kecantikan dan perhiasan. Mulakan perjalanan kita dengan perkara yang diredai ALLAH SWT dan berhiaslah secara bersederhana,” katanya kepada Sinar Islam.

Beliau yang juga perunding motivasi kekeluargaan mengingatkan: “Apa pun yang kita lakukan, pertama sekali harus kita nilai dari aspek niat dan tujuan perbuatan tersebut. Sebagai lelaki ataupun wanita, kita harus berpegang kepada hukum yang dibenarkan oleh Islam.

“Jangan sekali-kali kita mempersendakan hukum ALLAH dengan mengolah sendiri hukum agar bersesuaian dengan kita. Kita juga perlu mengambil berat agar kecantikan dan perhiasan diperlihatkan kepada mereka yang dibenarkan sahaja.”

Sementara itu, pendakwah, Ustazah Hamidah Ab Razak yang dikenali sebagai Dai Hamidah berkata, perasaan sentiasa ingin kelihatan cantik adalah naluri semula jadi yang ada di dalam diri semua orang.

DAI HAMIDAH

DAI HAMIDAH

“Naluri ini jika tidak dibimbing dengan ilmu dan hidayah daripada ALLAH SWT, memungkinkan seseorang itu menjadi lupa diri, mengikut hawa nafsu, tidak bersyukur dan sanggup melanggar batas syariat yang dibenarkan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Dai Hamidah berkata, menjaga kecantikan dan kesihatan memang dianjurkan dalam Islam.

Malah, katanya, Rasulullah SAW sendiri menggesa agar kita sedaya upaya menghilangkan keaiban yang ada pada diri kita, menjaga kecantikan, tampil rapi dan disenangi oleh sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan kita.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH itu cantik dan amat sukakan kecantikan. la sukakan melihat kesan-kesan nikmat kepada hamba-Nya serta ALLAH benci kesusahan dan bala bencana. (Riwayat al-Baihaqi)

Berdasarkan hadis itu, jelas Dai Hamidah, menjaga kesihatan tubuh badan dengan mengawal makan, amalan gaya hidup sihat, selain mengurangkan risiko masalah penyakit seperti jantung merupakan definisi cantik dan segak yang sebenar.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *