Selepas menawan hati ramai sebagai juara Ceria Popstar Xtra 2022, penyanyi muda berbakat besar, Dinda Dania kembali mencuri tumpuan dengan single terbaharunya berjudul Katana. Bukan sekadar lagu pop biasa, Katana merupakan naskhah penuh simbolik yang mengangkat kisah kekuatan, keberanian dan keteguhan seorang wanita dalam menghadapi pengkhianatan dan cabaran emosi.
Diilhamkan daripada keindahan dan ketajaman pedang legenda Jepun, lagu ini menjadi lambang kepada semangat wanita moden yang lembut luaran tetapi tajam jiwa dan tidak mudah tunduk.
Dilancarkan di bawah label Rocketfuel Entertainment, Katana membawakan nuansa muzik moden yang disuntik dengan elemen sinematik, padat dengan tenaga dan drama. Dinda, dengan vokalnya yang matang dan bertenaga, menghidupkan lirik lagu ini seakan sedang menuturkan kisah peribadi yang penuh perasaan.
“Lagu ini tentang seorang lelaki yang kantoi curang, dan wanita itu bangkit mempertahankan maruah dan harga dirinya. Tapi bagi saya, Katana lebih dari sekadar cerita cinta. Ia adalah suara kepada wanita yang memilih untuk bangun, melangkah dan tidak lagi dipermainkan,” ujar Dinda, menyuntik makna yang lebih dalam terhadap lagu ini.
Tambahnya lagi, “Katana adalah luahan kekuatan batin. Lagu ini mewakili perjalanan seorang wanita mencari suara sendiri dan keberanian untuk tidak terus ditindas. Saya harap ia menjadi inspirasi kepada para wanita, terutamanya yang sedang berjuang dengan keyakinan diri.”
Hasil ciptaan tiga komposer berbakat besar, Iqie Hugh, Omar K dan Shazriq Azeman, Katana dirangka dengan susunan muzik yang bukan sahaja moden, tetapi turut memiliki jiwa. Gabungan instrumen sinematik dan ritma yang bertenaga memberikan pentas sempurna untuk Dinda mempamerkan vokalnya yang ekspresif.

“Saya sangat selesa bekerjasama dengan pasukan ini. Mereka sangat terbuka, profesional dan memahami visi saya sebagai penyanyi. Walaupun ketika sesi rakaman saya kurang sihat, suasana studio yang positif membuatkan segalanya berjalan lancar. Kami berjaya siapkan rakaman dalam masa dua jam lebih,” kongsi Dinda yang tetap komited walaupun diuji kesihatan.
Kejayaan Dinda tidak hadir secara tiba-tiba. Sejak menjuarai Ceria Popstar Xtra 2022, namanya mula mekar sebagai wajah baharu industri muzik tempatan. Katana menjadi bukti evolusi muziknya daripada seorang bintang remaja kepada artis muda yang bersedia mencabar diri dengan karya lebih dewasa dan bermakna.
Kini, Katana sudah pun boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, Joox dan YouTube Music. Manakala video lirik rasmi bakal menemui peminat tidak lama lagi.