Co-opbank pertama ikrar terus jadi bank koperasi patuh syariah

CO-OPBANK Pertama (CBP) yang menyambut ulang tahun ke-72 pada Jun lepas berikrar untuk terus menjadi sebuah bank koperasi patuh syariah yang terunggul di negara ini dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata penubuhan CBP yang dahulunya sebagai koperasi pinjaman kepada golongan petani di sekitar Kampung Pertama, Pulau Pinang kini telah meluaskan produk dan perkhidmatannya kepada semua kaum.

“Kadang-kadang, ada yang berfikir apabila sesebuah bank itu menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan patuh syariah, ia tidak dibuka kepada semua (kaum), tetapi sebenarnya produk dan perkhidmatan perbankan seperti ini boleh dilanggan oleh semua tanpa mengira latar belakang.

“Kelebihan kami (CBP) kita menawarkan kadar keuntungan yang kompetitif dan ia lebih menguntungkan kepada pelanggan kita,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di sini, pada Khamis.

Katanya produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada individu adalah pembiayaan peribadi-I, pembiayaan perumahan-I, Ar Rahnu, penulisan wasiat dan bancatakaful, pembiayaan hartanah-I dan saham anggota.

Baharom berkata, CBP turut menawarkan produk kewangan kepada sektor koperasi dan korporat seperti pembiayaan berjangka-I, pembiayaan pemfaktoran-I, pembiayaan kredit pusingan-I dan surat jaminan-I.

“Bukan setakat itu, CBP juga telah terlibat dengan pembangunan projek perumahan pada sekitar akhir tahun 80-an untuk memenuhi keperluan ahli-ahlinya,” katanya, sambil menambah CBP telah dinobatkan sebagai antara Koperasi Premier Malaysia dan ini menjadikan bank itu seiring dengan institusi kewangan yang lain.

Katanya, CBP juga terus mendekati golongan B40 menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini seperti program Touch Point CB-Prihatin dan program Back To School.


“Menerusi program Touch Point CB-Prihatin, anggota Lembaga dan pengurusan turut turun padang untuk menyerahkan kotak rezeki berisi barangan keperluan dapur manakala program Back To School, kita memberi sumbangan barangan keperluan persekolahan selain membukakan akaun simpanan My Star sebanyak RM200,” katanya.

Bagi memastikan kelestarian CBP untuk bergerak sebagai sebuah bank koperasi dalam persekitaran yang dinamik pada hari ini dan pada masa depan, katanya CBP telah melancarkan Pelan Strategik Lima Tahun ‘Aspirasi CBP-5’ pada 31 Mei lepas.

Jelasnya, pelan strategik itu memberi tumpuan kepada lima fokus utama iaitu kepelbagaian perniagaan dan pendapatan; peningkatan kecekapan operasi; pengukuhan pemantauan dan kawalan; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta amalan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Menerusi pelan strategik ini, setiap jabatan akan merancang dan bergerak berdasarkan fokus strategik yang telah diperkenalkan dalam melonjakkan jenama CBP sebagai sebuah bank koperasi terunggul menjelang 2026,” katanya.

Melalui Aspirasi CBP-5, katanya CBP menyasarkan dividen sebanyak 8.5 peratus, keuntungan CBP sehingga RM300 juta, jumlah aset sehingga RM16 bilion, baki pembiayaan sehingga RM10 bilion dan bilangan anggota seramai 150,000 orang menjelang 2026.

“Bagaimanapun, bagi memastikan pelan strategik ini dapat dilaksanakan, ia memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan seluruh warga kerja CBP,” katanya.

Ujarnya lagi, CBP juga akan terus mengkaji produk yang bersesuaian mengikut keadaan ekonomi semasa tanpa meninggalkan produk sedia ada antaranya menekankan kepada produk pembiayaan seperti pembiayaan peribadi, Ar Rahnu, pembiayaan perumahan dan pembiayaan sewa beli.

Tambahnya, CBP pada masa ini mempunyai 29 cawangan termasuk outlet di seluruh negara dan dalam perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan supaya seiring dengan misi untuk terus menawarkan produk yang berkualiti kepada masyarakat.

Walaupun berdepan dengan pandemik sejak awal 2020, beliau berkata, CBP terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dengan pendapatan bersih sebanyak RM250.55 juta pada 2021 dengan peningkatan sebanyak 7.5 peratus selain mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM86.16 juta pada tahun yang sama berbanding RM84.15 juta pada tahun sebelumnya.

“CBP juga berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 2.4 peratus. Selain itu, aset CBP juga meningkat sebanyak 4.9 peratus daripada RM5.8 bilion kepada RM6.1 bilion pada 2021.

“Peningkatan ini jelas menunjukkan CBP berada di landasan yang tepat walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi sepanjang tahun lepas,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan, orang ramai boleh berkunjung ke laman sesawang www.cbp.com.my atau mengunjungi cawangan terdekat CBP di seluruh negara atau boleh menghubungi talian bebas tol CBP di talian 1-300-88-7650. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber