CIMB sedia dana pembiayaan RM30 bilion untuk PKS

CIMB Bank dan CIMB Islamic Bank pada Isnin mengumumkan komitmen baharu untuk menyalurkan dana pembiayaan berjumlah RM30 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mereka memanfaatkan peluang pascapandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, komitmen melalui kerjasama strategik bersama Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) itu bertujuan untuk menyalurkan pembiayaan serta skim jaminan yang akan memacu pertumbuhan PKS seiring dengan momentum pemulihan ekonomi.

“Komitmen pembiayaan PKS yang baharu ini akan mengukuhkan lagi usaha kami untuk membantu kumpulan ekonomi penting ini bagi tempoh dua tahun akan datang,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama antara CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd dengan SJPP dan CGC, di sini, pada Isnin.

Abdul Rahman berkata, pembiayaan itu akan ditawarkan melalui Program Pembiayaan CIMB-CGC untuk pembelian dan pembiayaan semula hartanah dengan pelanggan boleh menjana semula aset mereka bagi modal pusingan sehingga 150 peratus daripada nilai hartanah.

“Yang kedua adalah Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS) yang diuruskan oleh SJPP yang akan menyediakan perlindungan jaminan sehingga 80 peratus untuk kemudahan pembiayaan bank sehingga RM20 juta,” katanya.

Manakala yang ketiga adalah Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dengan pelanggan akan memanfaat pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM10 juta dengan tempoh bayaran balik mampu milik sehingga 10 tahun pada kadar faedah rendah sehingga lima peratus setahun.

Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah susulan kejayaan CIMB dalam mencapai sasaran pembiayaan PKS berjumlah RM15 bilion antara tahun 2019 hingga 2020 sebelum pandemik Covid-19.

Selain itu, katanya, CIMB juga menyalurkan dana bantuan melalui moratorium dan program bantuan pembayaran balik sebanyak RM2.5 bilion kepada PKS setakat Jun 2022.

“Kita juga telah melihat momentum pemulihan ekonomi yang semakin memberangsangkan dengan tanda-tanda positif, seiring dengan pemulihan ekonomi semasa.

“Tahap bantuan CIMB juga telah dijurangkan kepada hanya 5.5 peratus pada 31 Ogos 2022 berbanding 42 peratus pada September 2021,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB bagi Perbankan Komersial Kumpulan, Ahmad Shazli Kamarulzaman berkata, kadar pertumbuhan pinjaman segmen PKS semakin aktif dan bank-bank teruja untuk memberi pinjaman kepada perniagaan.

“Saya tidak rasa bank-bank enggan menyediakan pinjaman dan dengan kerjasama SJPP serta CGC akan dapat menyokong lagi pemberian pinjaman dan merangsang pertumbuhan,” katanya kepada pemberita pada sidang media. – Bernama

Sumber