CIMB Clicks guna pengesahan peranti tunggal mulai akhir Oktober

CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd kini melaksanakan pengesahan yang membabitkan peranti tunggal berdaftar bagi aplikasi CIMB Clicks berkuat kuasa akhir Oktober 2022, seiring dengan peningkatan langkah keselamatan untuk membendung aktiviti scam atau penipuan.

Dalam kenyataannya pada Selasa, kumpulan itu berkata, semua pengguna baharu dan sedia ada yang memuat turun atau memasukkan semula aplikasi berkenaan, boleh mendaftar peranti tunggal untuk penggunaan aplikasi dan ciri pengesahan SecureTAC dengan hanya satu peranti utama dipadankan dengan pengenalan diri CIMB Clicks pada satu-satu masa.

Berikutan itu, pengguna sedia ada yang mendaftarkan dua peranti akan terbabit dalam usaha migrasi kepada peranti tunggal yang dijangka dapat diselesaikan menjelang Mac 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB Group, Samir Gupta berkata, bank tersebut komited dalam memastikan langkah-langkah keselamatan CIMB sentiasa dipertingkat dan diperketat demi melindungi pelanggan daripada penipuan.

“Kami sedia maklum bahawa langkah ini berkemungkinan memberi impak terhadap segelintir pengguna yang telah menggunakan lebih daripada dua peranti bagi keperluan perbankan mudah alih menerusi aplikasi CIMB Clicks tersebut.

“Namun, kami yakin ini adalah langkah tepat sebagai usaha tambahan untuk memastikan dana dan transaksi pelanggan kami kekal selamat,” katanya.

Bagi membolehkan perkhidmatan perbankan serba lancar, CIMB turut menggesa agar semua pelanggannya bertindak proaktif dengan meminda penetapan aplikasi CIMB Clicks masing-masing dan memadamkan peranti bukan utama yang tidak lagi digunakan dengan seberapa segera sebelum Mac 2023.

Samir berkata, pelaksanaan penggunaan peranti tunggal bagi aplikasi tersebut akan membolehkan CIMB memulakan langkah-langkah tambahan yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menangani isu penipuan yang menyasarkan aktiviti perbankan.

CIMB juga akan terus memperkenalkan langkah-langkah tambahan keselamatan pada bulan-bulan akan datang yang juga sebahagian daripada usaha berterusannya untuk melindungi pelanggan daripada aktiviti penipuan.

Para pelanggan juga diingatkan untuk hanya memuat turun aplikasi CIMB Clicks atau CIMB OCTO daripada platform sah seperti Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery dan mengelak sebarang pautan atau sumber tidak dikenali. – Bernama

Sumber