Category: ATTRACTION

  • Bacaan ketua polis ‘pukau’ peserta World #QuranHour

    Bacaan ketua polis ‘pukau’ peserta World #QuranHour

    Sebahagian peserta program World #QuranHour di Masjid Negeri Perak pada Khamis.

    Sebahagian peserta program World #QuranHour di Masjid Negeri Perak pada Khamis.

    IPOH – Bacaan merdu Ketua Polis Balai Sentral Ipoh, Asisten Superintendan Mohamad Sahran Termizi memukau peserta World #QuranHour di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Khamis.

    Naib Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 itu merupakan salah seorang daripada enam pembaca ayat-ayat dari surah Al-Insan yang menjadi tema program World #QuranHour.

    Mohamad Sahran berkata, penyertaannya di dalam World #QuranHour itu bukanlah pertama kali disertainya tetapi pada tahun lalu turut menjadi pembaca al-Quran.

    Mohamad Sahran

    Mohamad Sahran

    “Penganjuran World #QuranHour ini amat baik dalam usaha menyemai semangat cintakan al-Quran dalam kalangan masyarakat. Jadi kalau ada jemputan lagi saya cuba lapangkan masa untuk turut serta.

    “Cuma saya harap pada akan datang di lokasi utama ini dilibatkan pelbagai kumpulan seperti pasukan beruniform, penjawat awam dan orang ramai bagi memeriahkan lagi penganjuran program ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program World #QuranHour di Masjid Negeri Perak di sini pada Khamis.

    Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abd Halim; Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh; Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim dan Pengerusi Rumah Ngaji Perak Noor Mazlina Noor Shah.

    Dalam pada itu, seramai lebih 500 orang peserta menyertai World #QuranHour di masjid berkenaan bermula jam 11.30 pagi hingga 1 petang.

    Selain di Masjid Negeri Perak, turut menjadi lokasi utama bagi program berkenaan di Perak adalah di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak.

    Program berkenaan juga turut diadakan di lebih 100 Rumah Ngaji di seluruh daerah di negeri ini.

    Sumber

  • Hayati mesej Al-Insan bentuk jati diri pelajar

    Hayati mesej Al-Insan bentuk jati diri pelajar

    Lebih 220 pelajar menyertai program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Ipoh.

    Lebih 220 pelajar menyertai program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Ipoh.

    IPOH – Lebih 220 pelajar dari enam sekolah sekitar bandar raya ini menjayakan program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak pada Khamis.

    Peserta, Nurul Alifah Mohammad Amin, 17, teruja apabila pertama kali menyertai program bersama enam rakan sekelas dan dapat memahami lebih lanjut karakter insan Al-Abrar yang disampaikan.

    Nurul Alifah

    Nurul Alifah

    “Saya bersyukur sangat apabila cikgu memilih saya bersama rakan-rakan lain untuk menyertai program yang sebelum ini diikuti di Facebook sahaja.

    “Sambil mengalunkan bacaan, saya dapat memahami maksud surah dan lebih beristiqamah untuk terus menjadi insan yang bertanggungjawab,” kata pelajar Sekolah Latihan Wanita Persekutuan Seruan Islam Perak itu ketika ditemui di sini.

    Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ahmad Nabil Firdaus, 17, dia dapat memahami maksud sebenar kemenjadian manusia menerusi surah Al-Insan.

    Ahmad Nabil

    Ahmad Nabil

    “Saya lebih menghargai diri sendiri dalam memenuhi tanggungjawab sebagai seorang khalifah serta menghayati keagungan ALLAH SWT.

    “Sebagai seorang pelajar, saya berasa lebih bersyukur dan pengetahuan yang diterima dapat dikongsikan bersama rakan lain,” katanya.

    Program World #QuranHour itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah manakala bacaan surah Al-Insan dialunkan oleh Imam Masjid Muhibbuddin Shah, Mohd Hafizullah Mohd Shah di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di sini pada Khamis.

    Mohd Hafizullah (tengah) bersama Khairudin (kiri) mengetuai alunan bacaan surah Al-Insan pada program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Ipoh.

    Mohd Hafizullah (tengah) bersama Khairudin (kiri) mengetuai alunan bacaan surah Al-Insan pada program World #QuranHour di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Ipoh.

    Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Rafidah Abdul Aziz.

    Sementara itu, Khairudin berkata, bacaan surah Al-Insan dapat menghayati mesej sebenar selain dapat melahirkan insan yang ikhlas dan sabar dalam mengharungi cabaran kehidupan.

    “Penyertaan pelajar-pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi ke program World #QuranHour ini boleh membentuk diri menjadi insan bertakwa dan nilai budi terbaik.

    “Selari dengan bertujuan untuk memanusiakan ummah, ia memberi satu nilai tambah kepada diri ketika berurusan dengan masyarakat serta menjadi pendorong untuk sama-sama memartabatkan al-Quran sebagai satu panduan,” katanya.

    Sumber

  • Surah Al-Insan pilihan #QuranHour sepanjang tahun ini

    Surah Al-Insan pilihan #QuranHour sepanjang tahun ini

    GOMBAK – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) memilih untuk menjadikan Surah Al-Insan sebagai pilihan bagi kesemua program #QuranHour yang akan dijalankan sepanjang tahun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff berkata, isi kandungan surah berkenaan akan dibuat dengan sudut berbeza mengikut program yang diadakan.

    “Surah Al-Insan akan dipasakkan di beberapa momentum besar pada tahun 2023 ini bermula dengan World #QuranHour diikuti dengan Arafah #QuranHour yang dijadual pada 9 Zulhijah ini.

    “Seterusnya Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos depan dan penutupnya World #QuranCovention pada 1 dan 2 Disember ini,” katanya.

    Marhaini - FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

    Marhaini – FOTO MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai Program World #QuranHour 2023 yang berlangsung di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada Khamis.

    Program yang disertai kira-kira 6,000 orang itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Seri Paduka Baginda tiba di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM pada pukul 11.45 pagi bagi meluangkan masa mendengar bacaan Surah Al-Insan yang dipilih sebagai surah pilihan untuk edisi kali ini.

    Ini merupakan kemunculan kedua Seri Paduka Baginda yang pernah menghadiri program tersebut buat kali pertama di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah pada 26 April tahun lalu.

    Sementara itu, turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Pengasas WUIF merangkap Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin serta kenamaan-kenamaan lain.

    Mengulas lanjut, Marhaini berkata, pihaknya menyasarkan 1.6 bilion capaian di media sosial dengan 25 negara berdaftar untuk mengambil bahagian dalam program tahun ini.

    “Sejak pelaksanaan tahun 2016, kita telah mencapai 3.89 bilion capaian di media sosial dan berada di 313 lokasi di luar negara, selain lebih 3,000 lokasi di Malaysia.

    World #QuranHour tahun ini mengangkat tema ‘Memanusiakan Ummah’ melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

    World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); UIAM; Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM); Wardah dan beberapa pihak lain lagi.

    Antara rakan sinergi media yang bergabung bagi menjayakan program ini adalah Sinar Harian; Bernama; Astro Oasis; Astro Awani; RTM; Utusan TV dan lain-lain.

    Sumber

  • World #QuranHour satukan umat Islam

    World #QuranHour satukan umat Islam

    SHAH ALAM – Program World #QuranHour mendapat sokongan dan penyertaan lebih daripada 100 orang di Masjid Bandar Diraja Klang pada tahun ini.

    Imam satu masjid itu, Mohamad Hilmi Mat Hamin berkata, program kali ini nampak lebih meriah dan besar berbanding pada tahun lepas kerana mendapat kerjasama serta sokongan daripada semua pihak.

    “Alhamdulillah, ramai yang datang untuk mengimarahkan masjid. Saya tahu mereka juga mempunyai program tersendiri namun disebabkan mukjizat al- Quran kita dapat menyatukan umat Islam di satu bumbung melalui program World #QuranHour.

    “Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan kepada Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan. Jika ada perselisihan pendapat dan kemusykilan kitab suci itulah menyatukan segalanya,” katanya pada Khamis.

    Beliau berkata demikian selepas menyertai World #QuranHour yang bermula pada jam 12 tengah hari dan dipimpin oleh Ketua unit Pengurusan Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Kamarul Najam.

    World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.

    Tambah Mohamad Hilmi, diharapkan program sebegini akan diteruskan sepanjang tahun dan tidak terhenti pada bulan Ramadan.

    “Kita jadikan bulan Ramadan sebagai permulaan bagi setiap individu dalam usaha untuk memperbaiki kualiti bacaan al-Quran dan meningkatkan iman pada bulan-bulan seterusnya, ” katanya.

    Sebahagian pelajar kelas aliran agama di daerah Kuantan yang menyertai World#QuranHour di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Khamis.

    Sebahagian pelajar kelas aliran agama di daerah Kuantan yang menyertai World#QuranHour di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Khamis.

    Sementara itu di PAHANG, World#QuranHour peringkat negeri ini lancar dengan penyertaan peserta dalam kalangan pelajar kelas aliran agama dari sekolah terpilih.

    Program yang berlangsung di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini itu turut disertai jemaah termasuk kumpulan kelas-kelas pengajian.

    Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, program itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

    Menurutnya, pihak JPN terutama sektor Pendidikan Islam memberi sokongan penuh dan memberikan kebenaran kepada sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar kelas aliran agama untuk menyertai program ini.

    “Walaupun kehadiran peserta tidak seperti yang diharapkan, kita yakin orang ramai tetap turut berinteraksi dengan surah ini secara dalam talian melalui platform media sosial memandangkan penganjuran World#QuranHour ini telah tersebar luas,” katanya.

    World#QuranHour peringkat negeri Pahang bermula dengan bacaan surah al-Insan ayat 1 hingga 30 oleh qari, Shaifuddin Ngah manakala pentadabbur, Timbalan Kadi Daerah Kuantan, Mohd Hafidz Mohamad Suhaile.

    Sumber

  • World #QuranHour punca barakah buat UIA – Rektor

    World #QuranHour punca barakah buat UIA – Rektor

    GOMBAK – Program World #QuranHour menjadi salah satu punca barakah kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan selain mencambahkan lagi ilmu serta program lain termasuk #QuranConvention yang akan diadakan tidak lama lagi, kata Rektor UIA, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak.

    Menurutnya, jika pengajaran ilmu dibuat di universiti berkenaan, secara tidak langsung, terdapat 30,000 pelajar UIA celik al-Quran sekali gus melahirkan masyarakat yang beralurkan Islam.

    “Pendekatan yang dilakukan dengan menerapkan kokurikulum iaitu ‘Memanusiakan Ummah’ iaitu cara untuk melahirkan insan, sebelum mereka bergelar doktor, jurutera atau karier lain.

    “Program ini menyepi selama tiga tahun, namun saya mengucapkan penghargaan kepada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf kerana memilih Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM sebagai lokasi majlis,” katanya pada sidang media selepas program World #QuranHour 2023 pada Khamis.

    Dalam program tersebut, Dr Dzulkifli berkata, seramai tujuh duta luar negara hadir iaitu Turkiye, Iran, Yemen, Bosnia, Sinegal, Azerbaijan dan Libya.

    Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencemar duli di majlis tersebut bagi meluangkan masa mendengar bacaan Surah Al-Insan yang dipilih sebagai surah pilihan untuk edisi kali ini.

    World #QuranHour tahun ini mengangkat tema ‘Memanusiakan Ummah’ melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

    Ini merupakan kemunculan kedua Tunku Azizah yang pernah menghadiri program tersebut buat kali pertama di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah pada 26 April tahun lalu.

    Program yang bermula sejak 2015 itu dilihat sebagai jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.

    Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff.

    Sumber

  • Al-Quran ‘sentuh’ jiwa untuk berubah – Penyampai radio

    Al-Quran ‘sentuh’ jiwa untuk berubah – Penyampai radio

    KUALA LUMPUR – Penyampai radio popular tanah air, Faizal Ismail mendedahkan bahawa al-Quran merupakan sebab utama beliau mahu berubah untuk memiliki kehidupan yang lebih baik.

    Faizal berkata, perasaan ingin berubah itu muncul apabila ALLAH SWT ‘menjentik’ hatinya untuk menghayati ayat-ayat yang terkandung di dalam kitab suci tersebut.

    “Saya bersyukur kerana diberi peluang dan ruang untuk menghayati al-Quran dan tersedar bahawa banyak pesanan dan perintah yang ALLAH SWT titipkan tetapi kita gagal untuk memahami dan mematuhinya.

    “Kita tidak sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan biasa tetapi perlu meletakkan kitab tersebut pada hati dan menjadikan ia sebagai petunjuk utama dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui di Program World #QuranHour 2023 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

    Tambah beliau lagi, sekiranya orang ramai menjadikan kitab itu sebagai panduan, ia sememangnya akan membantu dalam mencorakkan kehidupan seharian yang lebih baik.

    Dalam pada itu, Faizal menyifatkan bahawa program World #QuranHour sebagai inisiatif terbaik dalam membantu orang ramai memahami dan menghayati makna sebenar di sebalik surah dalam al-Quran.

    Pada masa sama, beliau berharap agar lebih banyak pihak seperti organisasi syarikat dan sekolah mengadakan majlis tadarus al-Quran bagi membudayakan amalan membaca kitab suci itu dalam kalangan masyarakat.

    Sumber

  • 27 masjid di Wilayah Persekutuan anjur World #QuranHour

    27 masjid di Wilayah Persekutuan anjur World #QuranHour

    KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 masjid di Wilayah Persekutuan mengadakan program World #QuranHour yang diadakan serentak pada Khamis.

    Antara masjid yang menganjurkan program itu termasuk Masjid Zaid bin Thabit, Masjid Ar-Rahah, Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Masjid Jamek Saad Bin Abi Waqqas, Masjid Jamek Layang-Layangan, Labuan serta Masjid Mahmoodiah, Presint 18 Putrajaya.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, penganjuran program berkenaan yang saban tahun diadakan merupakan inisiatif terpuji bagi menyuburkan budaya penghayatan al-Quran dalam kehidupan.

    Menurutnya, amalan membaca dan memahami maksud al-Quran harus menjadi rutin harian agar sentiasa menjadi pendamping di dalam kehidupan di celah-celah kesibukan melayari media sosial dan telefon pintar.

    “Institusi masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan tidak ketinggalan menganjurkan acara tersebut secara serentak melibatkan penyertaan dalam kalangan ahli kariah masing-masing lebih-lebih lagi menjelang 10 hari terakhir Ramadan.

    “Surah Al-Insan yang dipilih sebagai ayat untuk ditadabbur amat bertepatan bagi bermuhasabah dan menggilap semula potensi insan yang dimuliakan kerana sifat kerendahan hati,” katanya pada Khamis.

    Dalam pada itu, kira-kira 30 kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak ketinggalan turut serta dalam World #QuranHour yang berlangsung di Angkasapuri anjuran Seksyen Fasiliti Teknikal Berita BAKES dengan kerjasama Bahagian Ehwal Semasa dan Masjid Muhammadi RTM.

    Peserta terdiri kakitangan RTM turut menyertai World #QuranHour.

    Peserta terdiri kakitangan RTM turut menyertai World #QuranHour.

    Ketua Imam Masjid Muhammadi RTM, Mohd Firdaus Muhammad berkata, program berjalan lancar dan meluahkan kelegaan apabila surah Al-Insan diangkat sebagai tema pada kali ini.

    “Inti pati surah ini memberi pemahaman kepada kita untuk menjadi orang baik dan sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.

    “Apabila menghayati bacaan surah ini, sebagai manusia kita perlu menghambakan diri kepada ALLAH SWT dengan penuh keikhlasan.

    “Apabila berbuat demikian, dapat kita lakukan segala amal kebaikan semata-mata kerana ALLAH SWT, ” katanya.

    Tambah beliau, program tersebut turut disekalikan dengan majlis khatam al-Quran.

    “Dengan membaca al-Quran di bulan penuh keberkatan ini, diharap ia menjadi amalan berterusan serta al-Quran menjadi peneman setia sepanjang masa,” katanya.

    Selain itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut menyertai program World #QuranHour pada hari sama di jabatan masing-masing.

    Kakitangan MPAJ meluangkan masa membaca surah Al-Insan sempena World #QuranHour.

    Kakitangan MPAJ meluangkan masa membaca surah Al-Insan sempena World #QuranHour.

    Antara jabatan terlibat termasuk Jabatan Belia Masyarakat dan Landskap, Bahagian COB serta Jabatan Bangunan dan Sini Bina MPAJ yang bacaan surah Al-Insan dimulakan pada jam 12 tengah hari.

    World #QuranHour membawa tema “Memanusiakan Ummah”, hayati dan fahami misi masuk syurga sekeluarga dan misi melahirkan insan berkebajikan melalui 11 karakter Al-Abrar melalui tadabbur surah Al-Insan.

    Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat ke Program World #QuranHour 2023 yang berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

    Sumber

  • World #QuranHour di Pulau Pinang meriah walau bermula lambat

    World #QuranHour di Pulau Pinang meriah walau bermula lambat

    Antara yang mengambil bahagian dalam program World #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang di Tasek Gelugor pada Khamis.

    Antara yang mengambil bahagian dalam program World #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang di Tasek Gelugor pada Khamis.

    TASEK GELUGOR – Meskipun bermula agak lewat berbanding di lokasi lain, namun penganjuran program World #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang di sini tetap meriah dengan penyertaan lebih 400 peserta.

    Program yang bermula jam 5 petang itu, dimulakan dengan bacaan surah Al-Insan beramai-ramai yang dipimpin oleh Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Abu Bakar Ahmad.

    Acara diteruskan dengan Tadabbur Surah Al-Insan oleh Mudir Madrasah Al-Quran Wal Arabiyyah (MAWAR), Ahmad Fahmi Abu Bakar.

    Pengerusi Rumah Ngaji Pulau Pinang, Taufek Abd Rahman berkata, kempen World #QuranHour 2023 yang memasuki penganjuran kali ke lima di negeri ini mendapat sambutan menggalakkan termasuk sokongan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan beberapa pihak lain.

    “Program di peringkat negeri kita adakan sedikit lewat berikutan pihak masjid berhasrat untuk mengadakan sekali dengan majlis berbuka puasa untuk semua yang terlibat dengan program ini.

    Peserta yang menyertai program World #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang di Tasek Gelugor pada Khamis.

    Peserta yang menyertai program World #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang di Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang di Tasek Gelugor pada Khamis.

    “Bagaimanapun, di 55 Rumah Ngaji di negeri ini serta beberapa lokasi hotspot lain telah berlangsung kempen World #QuranHour 2023 secara serentak bermula 12 tengah hari tadi dengan penyertaan ribuan peserta,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

    Kempen World #QuranHour 2023 peringkat Pulau Pinang dirasmikan Naib Canselor dan Presiden Universiti Antarabangsa Albukhary, Profesor Emeritus Datuk Dr Abd Aziz Tajuddin.

    Hadir sama, Pengerusi Masjid Jamiul Sharif Pokok Machang, Datuk Ahmad Darus.

    Dalam majlis itu, kira-kira 30 anak-anak yatim sekitar Tasek Gelugor turut diraikan dengan pemberian duit raya sebelum acara diakhiri dengan majlis berbuka puasa.

    Sumber

  • World #QuranHour perlu dianjur lebih kerap

    World #QuranHour perlu dianjur lebih kerap

    KOTA TINGGI – Peserta World #QuranHour di Masjid Al-Syifa, Bandar Penawar, Johor berharap program itu dapat dianjurkan lebih kerap dalam usaha memberikan pemahaman terhadap isi kandungan al-Quran kepada orang ramai.

    Guru mengaji, Wan Jah Senapi, 63, berkata, program berkenaan secara keseluruhannya banyak memberikan pemahaman terhadap surah di dalam al-Quran.

    Wan Jah

    Wan Jah

    “Hari ini kita telah diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada Surah Al-Insan berserta dengan tadabburnya sekali.

    “Setelah mengetahui isi kandungan surah berkenaan, ternyata surah ini sebenarnya mengajar kita untuk kembali sedar diri…siapa kita sebenarnya.

    “Ini kerana daripada tiada apa-apa, kini kita ada jawatan, ada kedudukan, ada nilai, ada duit dan buat kita jadi lalai. Kita sibuk dengan dunia yang akan ditinggalkan, tetapi kita lupa dengan tugas sebenar kita di dunia ini iaitu untuk menghambakan diri kepada ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

    Seramai 700 peserta terdiri daripada pelajar sekolah di sekitar Bandar Penawar dan orang awam menyertai program World #QuranHour di Masjid Al-Syifa kali ini.

    Pengerusi masjid, Mohd Zaini Mohd Salleh berkata, program sedemikian wajar dianjurkan dalam usaha menarik orang ramai untuk kembali beramal dengan membaca al-Quran setiap hari.

    Mohd Zaini

    Mohd Zaini

    “Kita dapat saksikan dalam tempoh sejam ini, mereka (peserta) dapat berinteraksi dengan al-Quran dan saya difahamkan ia juga diadakan secara serentak di seluruh Malaysia.

    “Uniknya, kali ini kita dapat memahami maksud ayat yang dibacakan pada sesi tadabbur al-Quran. Semoga kita akan istiqamah (berterusan) membaca al-Quran kerana di hari akhirat, ia (al-Quran), akan datang mencari pembacanya,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Johor, Roziah Kamal, 53, berkata, pihaknya gembira dengan 700 penyertaan pada World #QuranHour kali ini.

    Malah, katanya, sebanyak 800 sekolah dari sekitar Johor melibatkan sekolah rendah dan menengah difahamkan turut menjayakan World #QuranHour hari ini.

    Roziah

    Roziah

    “Alhamdulillah selesai program World #QuranHour di Masjid al-Syifa, bandar Kota Tinggi kali ini.

    “Di Johor, kami tidak hanya mengadakan program ini di Johor Bahru, tetapi sejak dua tahun ini, kami mula berhijrah ke daerah-daerah, dan kali ini daerah Kota Tinggi yang terpilih.

    “Ternyata sambutannya agak luar biasa. Kesemua 800 sekolah yang turut serta juga memuat naik gambar, video dan ini dah macam perayaan sebelum hari raya nanti,” katanya.

    Beliau berkata, World #QuranHour merupakan program setahun sekali dan selepas ini akan ada Malaysia #QuranHour dan konvensyen Quran Hour pula.

    “Kesemua ini merupakan gelombang bagi mengajak orang ramai bukan sahaja membaca tetapi turut memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri,” katanya.

    Sumber

  • Tetap hadir walau berkerusi roda

    Tetap hadir walau berkerusi roda

    GOMBAK – Berkerusi roda bukan penghalang untuk Maizan Nordin, 29, untuk menghadiri Program World #QuranHour 2023 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

    Alumni Jurusan Sains Politik, UIAM itu berkata, program berkenaan merupakan satu pendekatan yang baik kerana ia bukan sahaja membaca al-Quran tetapi juga bertadabbur.

    “Seperti yang kita sedia maklum, pada bulan Ramadan ini, ramai orang sibuk menguruskan hal peribadi sehinggakan tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaca kitab suci itu.

    “Jadi dengan adanya program tersebut, ia secara tidak langsung membantu orang ramai untuk mendekatkan diri dalam menghayati makna sebenar surah yang terkandung dalam al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Program World #QuranHour 2023 pada Khamis.

    Dalam pada itu, Maizan menyarankan agar bidang penelitian dan penghayatan terhadap al-Quran perlu juga diteroka oleh golongan muda masa kini.

    Jelasnya, jika ayat kitab suci itu difahami dan dijadikan panduan hidup, ia akan membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

    “Seperti yang kita tahu Nabi Muhammad SAW merupakan insan yang paling banyak menerima dugaan berat tetapi baginda mampu menanganinya tanpa timbul perasaan marah.

    “Sekiranya kita mahu menerapkan sifat-sifat seperti Rasulullah SAW, jadikan al-Quran sebagai pegangan hidup,” ujarnya.

    Sumber