Category: ATTRACTION

  • Al-Quran harus jadi teman paling akrab

    Al-Quran harus jadi teman paling akrab

    SHAH ALAM – Al-Quran adalah kalam ALLAH SWT yang harus menjadi teman paling akrab seseorang Muslim dalam mengemudi kehidupannya.

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, kempen World #QuranHour dapat mencipta tabiat untuk orang Islam berinteraksi dengan al-Quran.

    “Kempen ini adalah untuk mencipta tabiat supaya orang Islam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham, hayati dan amal.

    “Apabila dia buat perkara tersebut, dengan sendiri akan berubah cara dia dan ekosistem pun akan berubah.

    “Kenapa saya sebut ekosistem? Seperti sekarang sesetengah pengurus dan pemimpin Islam menipu. Mereka tidak faham agama Islam. Ada orang ambil rasuah dan menipu sebab tidak malu.

    “Ini berlaku kerana ekosistem itu membenarkan perkara yang tidak betul tetapi jika semua orang Islam sudah ada al-Quran dan nilai dalam hatinya, akan tahu pemimpin, suami isteri bahawa itu, ini tidak betul dan tidak boleh pilih. Sistem nilai itu akan berubah,” katanya semalam.

    Hussamuddin berkata demikian pada sesi temu bual bersama rakan sinergi World #QuranHour mengenai penganjuran World #QuranHour 1441H: Reboot Global Harmony di Kompleks Karangkraf di sini.

    Hadir sama, Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

    Program tahunan WUIF berinteraksi dengan al-Quran, World #QuranHour yang memasuki tahun kelima penganjurannya berlangsung serentak di seluruh dunia hari ini.

    Kempen itu diadakan lebih satu jam dan akan bermula dari jam 12 tengah hari dengan membawa misi Surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 78 sebagai solusi mengembalikan keharmonian global Reboot Global Harmony.

    Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, World #QuranHour merupakan satu kempen untuk melahirkan satu perubahan dalam sistem nilai manusia sejagat.

    “Jadi ekosistem akan berubah dengan sendirinya, orang Islam akan menjadi lebih bertanggungjawab. Dalam al-Quran jelas dihuraikan tentang peranan infak dan sedekah, jadi tiada orang Islam akan berlapar.

    “Orang masjid akan bantu satu kariah, roh Quran kena ada. Tanggungjawab masjid jaga satu kariah, bukan menjaga duit tabung. Itu ekosistem kita nak tukar dalam misi MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah.

    “Bangsa yang ada al-Quran dalam hatinya dia akan ikhlas, menjadi orang menjadi integriti dan berjiwa. Ini dari segi teori tapi ALLAH nyatakan dalam al-Quran, jika kamu ikut, ini yang akan berlaku,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berpendapat tempoh ‘berkurung’ yang masih belum berakhir akibat pandemik Covid-19 bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia memberi impak berganda terhadap World #QuranHour tahun ini.

    “ALLAH ‘kurungkan’ manusia lapan minggu dan bagi sesetengah negara sudah hampir tiga bulan. Jadi (sepanjang) tempoh masa terkurung ini, dia punya god fearing itu adalah kerana Covid-19.

    “Jadi sebenarnya kita hendak lebih kepada impaknya. Jadi insya-ALLAH saya rasa (akan) berbeza dan oleh kerana tahun ini seluruh dunia juga berkurung, jadi impak itu akan lebih meluas,” katanya.



    Sumber

  • Solusi keharmonian global

    Solusi keharmonian global

    WORLD #QuranHour (WQH) 1441H melakarkan sejarah apabila Malaysia dan Indonesia bergabung dalam usaha mengQURANkan bangsa dan mengIKHLASkan ummah melalui berinteraksi dengan al-Quran, baca, faham dan amal.

    WQH akan berlangsung serentak di seluruh dunia pada esok, 20 Ramadan 1441H bersamaan 13 Mei ini bermula jam 12 tengah hari dengan membawa misi Surah Ar-Rahman, sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, ‘Reboot Global Harmony’.

    Program WQH dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bekerjasama dengan Ar Rahman Quranic Learning Center dari Indonesia.

    Ia akan bersiaran secara langsung di TV Alhijrah, RTM, Bernama TV dan Astro Oasis serta di dalam talian di FB Sinar Harian, TV Alhijrah dan Quran Hour.

    Pengasas Ar Rahman Quranic Learning dari Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir berkata, pertama kali dua negara Muslim besar dan terbesar di dunia berkolaboratif dalam program berinteraksi dengan al-Quran.

    Jelas beliau, perkara itu memberi gambaran luar biasa bagi umat Islam sedunia dalam membawa mesej penting bahawa Islam itu perdamaian, anti kekerasan, dan penyatuan.

    “Program WQH yang memberi impak besar kepada umat Islam, sangat bertepatan pada 10 terakhir di bulan Ramadan, di mana hamba ALLAH mendapatkan pertolongan ALLAH untuk diberi kekuatan, kelembutan hati dan dicurahkan rahmat. Sebagaimana kita ketahui, al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan.

    “Alhamdulillah, Indonesia sedang menjalankan kempen WQH di media sosial dan mendapat kerjasama beberapa media nasional, media Islam, para selebriti dan influencer yang sudah berhijrah untuk bergabung bersama kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

    Empat nikmat terbesar

    Dalam pada itu, beliau yang merupakan Pentadabbur Surah Ar-Rahman di WQH 1441H pada kali ini turut berkongsi kupasan surah ke-55 melalui aplikasi WhatsApp.

    Katanya, dalam Surah Ar-Rahman, ALLAH SWT terlebih dahulu memperkenalkan asma-Nya, salah satu daripada Asmaul Husna iaitu Ar-Rahman yang bermaksud Maha Pengasih.

    “Setiap Muslim yang bertauhid dalam beragama tiada keraguan, ketakutan dan kecemasan kerana ALLAH memperkenalkan diri-Nya yang Maha Pengasih, rahmanul dunia wa rahimul akhirat. Mereka yakin ALLAH Maha Pengasih kepada semua makhluk-Nya.” katanya.

    Bachtiar menjelaskan, terdapat empat nikmat yang disebutkan dalam Surah Ar-Rahman iaitu al-Quran, al-Insan, al-Bayan dan matahari serta bulan.

    “Al-Quran merupakan nikmat terbesar yang diperlukan oleh manusia. Al-Quran mengajar manusia mengenai sistem sosial.

    “Mereka yang menghayati surah Ar-Rahman dipenuhi rasa cinta, kasih, damai, bersatu dan harmoni dalam bersosial, bermula dengan keluarga, bangsa dan negara,” ujarnya.

    Tambah beliau, kesatuan sosial paling besar adalah masyarakat dunia Islam yang membawa perdamaian.

    “Sosial masyarakat yang dibangunkan Islam berpandukan al-Quran adalah masyarakat dunia yang didasari dengan cinta kasih keadilan dan mendahulukan kepentingan umum berbanding peribadi.

    “ALLAH memberi nikmat al-Bayan kepada kita untuk berkomunikasi, berbicara dan memberi penjelasan. Pola komunikasi seorang Muslim dimulakan dengan Bismillah dan diakhiri dengan Alhamdulillah.

    “Pertama kali Muslim berkomunikasi dengan memberi salam. Inilah pola komunikasi hamba Ar-Rahman, yang menyebarkan rasa kasih sayang dan mendamaikan.

    “Rasulullah SAW menyarankan kita untuk menyebarkan ucapan salam dalam kalangan umat Islam. Pola komunikasi al-Bayan juga membuatkan manusia berkomunikasi dengan alam sekitar dan makhluk lain berdasarkan tauhid, asma’ Ar-Rahman.”

    Acara World #QuranHour yang diadakan di Indonesia pada 2017. FOTO: UWIEN BUDI.COM

    Acara World #QuranHour yang diadakan di Indonesia pada 2017. FOTO: UWIEN BUDI.COM

    Tambah beliau, dari segi fizikal, manusia mendapat kesihatan dan kekuatan tubuh badan untuk memberi manfaat. ALLAH memberi kekuatan kepada manusia terutama energi luar seperti matahari.

    Pesanan sejagat Katanya, dalam al-Quran, peribadi seorang Muslim adalah menjaga keseimbangan antara roh dan fizikalnya. Mereka bersyukur kepada Penciptanya dan mampu memberi manfaat secara positif kepada alam.

    “WQH menjadi penting dalam menyampaikan pesanan sejagat kepada global melalui Surah Ar-Rahman dalam empat pola iaitu tauhid, sistem sosial, komunikasi dan fizikal berdasarkan nikmat al-Quran, al-Insan, al-Bayan, dan matahari serta bulan.”Bachtiar berkata, hikmah di sebalik Covid-19 yang terbesar adalah rahmat ALLAH. Tidak perlu takut mati kerana tiada hubungan antara kematian dengan virus kerana hidup dan mati di tangan ALLAH.

    “Rahmat lain dari segi sosial, manusia dianjurkan menjalani hidup bersih sebagaimana dianjurkan dalam syariat taharah. Antaranya berwuduk, cuci tangan, makan makanan halal dan baik agar daya tahan tubuh badan tidak mudah diserang penyakit.

    “Penjarakan sosial secara fizikal dapat menjarakkan perhubungan antara yang mahram dan bukan mahram.

    “Antara hikmat besar di sebalik pandemik Covid-19, kita kembali kepada keluarga. Kebanyakan mereka bekerja dari rumah. Jadi mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga.

    “Kita juga tidak dapat berjemaah di masjid. Mungkin sebelum ini kita bersolat di masjid dan berkiblat yang satu tetapi perpecahan dalam jemaah masih berlaku. Jadi, inilah masa untuk kita bermuhasabah diri.”

    Secara ringkasnya, Bachtiar berkata, Surah Ar-Rahman boleh menjadi solusi keharmonian global atau ‘Reboot Global Harmony’, seterusnya membawa syukur kepada ALLAH SWT. Surah tersebut menggambarkan pelbagai sisi kasih sayang ALLAH dan boleh menjadi panduan hidup bagi Muslim.

    Saat ini, masyarakat global kehilangan orientasi kemanusiaan di mana manusia menghambakan sesama manusia. Lebih lagi mereka menghambakan kepada ciptaan manusia sendiri dengan bertuhankan teknologi, wang dan kekuasaan.

    Pasti inilah menyebabkan kekacauan global dalam bentuk kesombongan manusia untuk menjadi orang paling berkuasa, penindas yang lemah dan membuat aturan sendiri sehingga dunia menjadi hancur.

    “Rasulullah SAW menjadi solusi Rahmatan lil Alamin. Konsep Surah Ar-Rahman sebagai solusi global sosial. Insya-ALLAH, manusia akan menjadi selain menyayangi, menghargai dan menghormati hak-hak orang lain.

    “Dalam Surah Ar-Rahman menunjukkan hak manusia dalam beragama, kemanusiaan, kebebasan berbicara dan hak kesaksamaan terhadap sumber daya alam di sesebuah negara seterusnya membawa manusia kepada kesyukuran,” katanya.



    Sumber

  • Pemilihan surah ar-Rahman bertepatan suasana semasa

    Pemilihan surah ar-Rahman bertepatan suasana semasa

    SHAH ALAM – Pemilihan surah ar-Rahman dalam World #QuranHour yang akan berlangsung pada Rabu ini dilihat sangat bertepatan berdasarkan situasi semasa yang berlaku ketika negara masih lagi berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusof berkata, melalui surah berkenaan, ia turut mengajak masyarakat supaya mensyukuri nikmat diberikan ALLAH walaupun masih berada dalam tempoh kawalan.

    “Kesan daripada pandemik Covid-19, kita lihat ramai orang dalam ketakutan, takut pada wabak dan sebagainya, namun dalam surah ar-Rahman ini, apa yang ingin kita bawa adalah empat nikmat yang paling utama sebagaimana dinyatakan dalam surah itu.

    “Pertama nikmat al-Quran itu sendiri. Kedua, nikmat apabila ALLAH menciptakan insan dengan nikmat sosial yang kita ada. Ketiga, nikmat albayan iaitu nikmat komunikasi dan keempat adalah matahari dan bulan seperti dinyatakan dalam surah ar-Rahman.

    “Walaupun kita menghadapi kesulitan tahun ini, kita berharap ‘output’ daripada World #QuranHour dapat melahirkan jiwa yang sentiasa bersyukur kerana perlu ada rasa syukur atas nikmat yang ALLAH berikan walaupun nikmat yang sekecil-kecilnya,” katanya.

    Marhaini berkata demikian ketika ditemu bual pengacara juga penyanyi, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani dalam program #ZayanSalamBros secara Live di Facebook stesen radio itu dalam segmen yang bermula dari jam 6 hingga 10 pagi hari ini.

    Sementara itu, walaupun tahun ini peserta-peserta tidak lagi dapat berkumpul di masjid dan tiada lagi qari menjadi pembawa panji-panji Ar-Rahman, namun MUIF akan tetap membawa Misi MengQURANkan Bangsa dan mengIKHLASkan Ummah melalui teknologi.

    Empat stesen televisyen akan bersama iaitu stesen TV AlHijrah, RTM, Bernama TV dan Astro Oasis dan platform digital Sinar Harian, TVAlhijrah, QuranHour dan Ideaktiv akan membawakan World #QuranHour terus ke rumah atau pejabat anda.

    Orang ramai boleh duduk saja di rumah atau di pejabat, buka al-Quran terjemahan dan baca bersama qari dan mendengar tadabbur di studio.

    Selain jalinan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia kali ini, #QuranHour juga ada pesanan daripada Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

    Ayuh kita beramai-ramai serentak mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ke seluruh dunia dari rumah masing-masing bersama keluarga pada Rabu ini bermula jam 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.



    Sumber

  • Al-Quran solusi masalah umat Islam

    Al-Quran solusi masalah umat Islam

    Al-QURAN perlu dijadikan sebagai panduan kepada cara menyelesaikan masalah dan panduan hidup manusia khususnya mereka bergelar orang Islam.

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, syaratnya kitab suci itu perlu dibaca, difahami dan diamalkan.

    “Saya beri contoh kalau dahulu masa kecil kita hanya membaca al-Quran tanpa memahami maksud ayat di dalamnya. Sebenarnya tanpa kefahaman ini kita akan seperti apa yang berlaku sekarang.

    “Bila orang komen tentang Islam kita mula marah tetapi dalam masa yang sama, kita sendiri tidak memahami apa yang ada dalam al-Quran. Sebab itu World #QuranHour ini bukan program tahunan sebaliknya satu gerakan atau misi menjadikan manusia membaca, memahami dan mengamalkan. Jika kita faham secara automatik cara berfikir dan bercakap juga akan berbeza,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia TV1 Radio Televisyen Malaysia semalam.

    Mengulas mengenai kempen World #QuranHour yang bakal berlangsung pada 13 Mei ini yang membawa misi Surah Ar Rahman, beliau berkata, surah berkenaan menyentuh tentang peranan al-Quran menceritakan tentang nikmat bagaimana yang didustakan.

    “Dengan kata lain, Islam itu agama perdamaian dan al-Quran itu penyelesaian kepada masalah manusia. Kita lihat sahaja di negara kita apabila kerajaan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), udara menjadi bersih, sungai kembali kebiruan dan alam menjadi damai.

    “Selama ini hubungan dengan manusia tidak baik, dengan ALLAH juga begitu. Sebagai orang Islam kita perlu reboot supaya hidup berlandaskan al-Quran,” katanya.

    Menurutnya, kempen yang memasuki tahun keenam sedikit berbeza berbanding sebelum ini kerana tidak mengumpulkan orang ramai di masjid sebaliknya ikut serta di rumah atau di mana sahaja mereka berada.

    “Kali ini sedikit berbeza kerana kalau kita lihat program sebelum ini dibuat di masjid di mana ramai yang hadir tetapi ramai juga yang tidak hadir. Kali ini disebabkan oleh sekatan pergerakan oleh kerajaan ramai yang akan memberikan fokus kepada kempen ini.

    “Misi kita bukan sekadar menjayakan kempen ini setiap tahun tetapi mahu menjadikan supaya orang ketagih dengan al-Quran dan sentiasa mahu membacanya,” katanya.

    Jelasnya, wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia pada hari ini memberikan kesan berbeza kepada manusia.

    “Saya rasakan selepas ini cara kita berkeluarga akan lain, hubungan antara suami isteri juga lain dan hubungan dengan kakitangan di pejabat juga lain. Kalau dahulu kita selalu tertekan tetapi dengan kebenaran bekerja dari rumah, saya boleh kata saya lebih kenal dan hargai isteri saya.

    “Saya rasa jika semua orang sedar tentang perkara ini, sudah pasti mereka akan menyokong kempen World #QuranHour dan bagi orang Islam sudah pasti mereka sedar hakikat bahawa kita perlu memasukkan al-Quran ke dalam hati, jantung dan otak kita. Dengan itu nilai keluarga, masyarakat dan organisasi akan berubah,” katanya.

    Tambahnya lagi, jika semua orang memahami Ar Rahman pastinya mereka akan bersyukur dengan nikmat diberikan dan rajin bersedekah.



    Sumber

  • Quran Hour: Pemilihan surah Ar-Rahman bertepatan

    Quran Hour: Pemilihan surah Ar-Rahman bertepatan

    ALOR SETAR – Pemilihan surah ar-Rahman dalam World #QuranHour yang akan berlangsung pada 13 Mei depan dilihat sangat bertepatan dengan situasi semasa ketika ini.

    Wakil Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa berkata, melalui surah berkenaan, ia turut mengajak masyarakat bersyukur apatah lagi dalam keadaan negara dan dunia yang sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

    “Saya lihat ia bertepatan untuk mengajak masyarakat memahami dengan menunjukkan lebih keharmonian dalam negara, sekali gus mensyukuri apa yang kita ada berbanding di luar sana.

    “Dengan pemilihan surah ar-Rahman, ia diharapkan dapat membuka pintu hati semua untuk bersyukur daripada memikirkan benda yang tidak ada ataupun kurang,” katanya kepada Sinar Harian.

    Katanya, segelintir individu mungkin tidak berpuas hati dengan perkara tertentu sebelum ini, namun apabila semua pihak tanpa mengira latar belakang dikehendaki duduk berada di rumah, nikmat tersebut boleh dirasai semua pihak.

    “Mungkin juga ada yang rasa malas mahu balik kampung melawat orang tua, malas hendak pergi kerja dan sebagainya sebelum ini, namun ketika Covid-19 melanda negara, mereka akan sedar dan mula bersyukur apabila nikmat itu ditarik,” katanya.

    Dalam perkembangan sama katanya, pihaknya mengambil pelbagai inisiatif menguar-uarkan program World #QuranHour 13 Mei nanti melalui kumpulan WhatsApp Rumah Ngaji dan komuniti, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) dan lain-lain.

    Katanya, umat Islam digalakkan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam untuk membaca al-Quran ataupun mendengar taddabur surah Ar-Rahman di TV AlHijrah pada hari berkenaan.

    Mengulas lanjut beliau berkata, program berkenaan agak berbeza kali ini kerana bakal berlangsung dalam skala kecil bagi mengelak risiko penularan jangkitan Covid-19.

    “Walaupun skala kecil, namun saya melihat kali ini lebih banyak lokasi akan mengadakan World #QuranHour berbanding hanya di ‘hotspot’ tertentu pada-pada tahun lepas,” katanya.

    Sementara itu katanya, program yang kini telah memasuki tahun kelima disifatkan amat istimewa dan merupakan gelombang fenomena baharu dalam menarik minat orang ramai terhadap al-Quran.

    “Pada tahun pertama dan kedua penganjuran, mungkin ada yang tertanya-tanya, belum jelas ataupun salah faham mengenainya, namun kini ia bukan lagi perkara asing apabila menjadi sebutan dan amalan di mana-mana,” katanya.



    Sumber

  • Perak sudah bersedia jayakan World #QuranHour

    Perak sudah bersedia jayakan World #QuranHour

    IPOH – Perak sudah bersedia sepenuhnya untuk bersama menjayakan World #QuranHour yang bakal berlangsung pada 13 Mei ini.

    Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, walaupun terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun persiapan dilakukan kali ini berada pada tahap tertinggi dan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    “Mungkin inilah hikmah, di sebalik apa yang berlaku kita dapati, segala persiapan baik dari segi promosi, hebahan dan kempen berjalan dengan begitu lancar.

    “Kita menerima kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri, jabatan dan agensi yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan program ini,” katanya.

    World #QuranHour yang memasuki tahun ke-5 ini akan membawa misi surah ar-Rahman sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, Reboot Global Harmony.

    Selain Sinar Harian, program itu bersiaran selama satu jam, mulai 12 tengah hari menerusi empat stesen televisyen dan platform digital lain iaitu TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis dan Ideaktiv.

    Noor Mazlina berkata, tahun ini menjadi pengalaman baru kepada World #QuranHour kerana ia dilaksanakan di rumah atau di ruang pejabat masing-masing, bukan secara berkumpul sepertimana lazimnya.

    Begitupun pihaknya menerima maklum balas positif bukan sahaja daripada peserta Rumah Ngaji di setiap daerah, tetapi kakitangan kerajaan dan orang awam untuk mengaji bersama di premis masing-masing antaranya Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan, warga Hospital Taiping dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    “Tahun lalu, Perak merekodkan hampir 18,000 peserta mengikuti World #QuranHour, jadi tahun ini kita sasarkan jumlah yang lebih tinggi.

    “Sebab dulu, mungkin hanya golongan ‘mak-mak’ sahaja yang datang mengaji dengan Rumah Ngaji, tetapi kali ini mereka mengaji di rumah dan akan ajak sekali suami atau anak-anak ikut bersama,” katanya.



    Sumber

  • Bersama jayakan World #QuranHour di NS

    Bersama jayakan World #QuranHour di NS

    SEREMBAN – Bagi mengimarahkan bulan Ramadan, masyarakat di negeri ini diminta untuk bersama-sama menjayakan program World#QuranHour yang akan berlangsung pada 13 Mei ini.

    World #QuranHour edisi kelima akan berlangsung serentak seluruh dunia pada 20 Ramadan, dengan membawa misi Surah Ar-Rahman (55:1-78) sebagai solusi mengembalikan keharmonian global “Reboot Global Harmony”.

    Melalui program itu, semua pihak terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan membaca al-Quran serta memahaminya melalui tadabbur selama sejam dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari berkenaan.

    Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, penganjuran pada kali ini agak berbeza tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya, apabila tiada upacara berhimpun membaca al-Quran bersama di hotspot yang ditetapkan.

    Sebaliknya kata Gharizah, umat Islam diminta untuk terus membaca al-Quran dan menjayakan World#QuranHour ini dengan membaca di tempat masing-masing, di rumah atau di ruang pejabat.

    “Walaupun kita tidak dapat berkumpul dan bersama-sama membaca al-Quran seperti yang dilakukan pada setiap tahun, tetapi itu tidak melemahkan semangat kita untuk terus menghidupkan kembali bacaan al-Quran.

    “Umat Islam perlu terus bangkit, walaupun hanya di rumah dengan melaksanakan ibadat-ibadat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan ini,”katanya kepada Sinar Harian.

    Sebahagian penduduk Pangsapuri Lobak yang menerima sumbangan dan turut menyatakan sokongan World#QuranHour

    Sebahagian penduduk Pangsapuri Lobak yang menerima sumbangan dan turut menyatakan sokongan World#QuranHour

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyampaian bantuan kelengkapan bayi kepada penduduk Islam di Pangsapuri Lobak sempena Ramadan, bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lobak di sini semalam.

    Hadir sama Pengerusi KRT Lobak, Mohd Rabek Mohamad Sharif dan Setiausaha Surau, Muhammad Khairul Anuar Amran.

    Sementara itu, menurut Mohd Rabek pihaknya bersyukur dan berbesar hati kerana banyak menerima bantuan daripada Rumah Ngaji Negeri Sembilan, termasuk Masjid Jamek Seremban dan NGO dalam menjayakan usaha membantu masyarakat Islam di pangsapuri ini.

    Katanya, masyarakat Islam di sini hanya minoriti, apabila daripada lebih 500 penduduk, hanya 65 keluarga adalah masyarakat Islam bagaimanapun, segala keperluan dan kelengkapan untuk melakukan ibadah termasuk surau boleh didapati di pangsapuri ini.

    “Dengan usaha semua pihak termasuk Rumah Ngaji banyak membantu kami membuka semula surau dan kelas mengaji di pangsapuri ini, namun disebabkan sekarang tempoh PKP, segala aktiviti terpaksa dihentikan sementara dan akan kembali aktif selepas semuanya selesai,”katanya.



    Sumber

  • World #QuranHour langkah berbaloi: Dr Zulkifli

    World #QuranHour langkah berbaloi: Dr Zulkifli

    KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini adalah satu langkah berbaloi, patut dan munasabah dalam usaha menjadikan al-Quran sejuzuk daripada akhlak masyarakat dan umat Islam negara ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, program World #QuranHour juga adalah satu usaha baik untuk membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak lima tahun lalu di samping memaknakan sebuah kehidupan.

    Menurutnya, antara kelemahan ummah adalah apabila mereka meninggalkan al-Quran, lebih-lebih lagi manusia di akhir zaman yang cuba menghijrahkan diri daripada al-Quran.

    “Program World #QuranHour yang dilakukan sejak lima tahun lalu bagi saya satu usaha yang amat berbaloi, patut serta munasabah.

    “Kita mahukan (sifat murni) dalam al-Quran menjadi sejuzuk daripada akhlak kita, sebagaimana hadis Saidatina Aisyah RA bermaksud ‘adalah akhlak Nabi Rasulullah SAW itu al-Quran’.

    “Antara kelemahan ummah adalah apabila mereka meninggalkan al-Quran dan sebagaimana bekas Perdana Menteri Britain, William Ewart Gladstone berkata suatu ketika dahulu sambil memegang naskhah al-Quran, ‘Kalaulah umat Islam masih berpegang kepada kitab ini, kita akan sukar untuk mengalahkan mereka’,” katanya pada sidang media di studio TV Alhijrah di sini hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris dan Ahli Lembaga Yayasan Warisan Ummah IKhlas, Ahmad Yani Abd Manaf.

    Dr Zulkifli berkata, hadis Saidatina Aisyah RA itu juga menjadi tonggak utama dalam pelaksanaan program World #QuranHour ini bagi menjinakkan umat Islam dengan al-Quran dan seterusnya menyebabkan mereka rajin membacanya.

    Menurutnya, umat Islam juga digalakkan untuk cuba memahami al-Quran dengan cara tadabbur dan tafsirnya disusuli usaha penghayatan al-Quran untuk memaknakan kalam ALLAH itu dalam kehidupan mereka.

    “Siapa baca al-Quran, tengok walau satu ayat al-Quran, maka kita boleh rujuk kepada sunnah Nabi SAW, boleh tengok bacaan Nabi, percakapan Nabi, suara Nabi serta interaksi Rasulullah SAW dengan para sahabat.

    Dr Zulkifli (tengah) menyokong pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini. Turut kelihatan Ahmad Yani (kiri) dan Namanzee. - Foto MOHD IZARI ROSLI

    Dr Zulkifli (tengah) menyokong pelaksanaan program World #QuranHour pada 13 Mei ini. Turut kelihatan Ahmad Yani (kiri) dan Namanzee. – Foto MOHD IZARI ROSLI

    “Segala sunnah tersebut adalah contoh puncak akhlak manusia paling unggul, cukup harmoni dan cukup baik,” katanya.

    Dr Zulkifli turut menegaskan pemilihan Surah Ar-Rahman sebagai tema perbincangan program World #QuranHour adalah bertepatan memandangkan surah itu cukup menarik kerana dinamakan bersempena dengan sifat ALLAH cukup hebat iaitu Ar-Rahman.

    Menurutnya, rangkuman perbicaraan berkenaan al-Quran dalam Surah Ar-Rahman menggambarkan kepada manusia betapa sifat ALLAH iaitu Ar-Rahman dijelmakan kepada manusia sebagai khalifah ALLAH di muka bumi ini.

    “Dan ia juga dipandukan dengan kedatangan Rasulullah SAW yang membawa al-Quran sebagai petunjuk, menjadi petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan daripada petunjuk dan yang juga pembezaan antara kebatilan dan kebenaran.

    “Tidak cukup dengan itu, al-Quran dinyatakan Rasulullah SAW mempunyai terlalu banyak kelebihan mukjizat yang menjadi perlembagaan dalam hidup manusia, dengan Rasulullah SAW yang telah menyampaikan al-Quran tanpa syak dan ragu-ragu bagi membimbing dan memanualkan manusia dalam bentuk manual kehidupan lebih baik,” katanya.

    Dr Zulkifli juga menjelaskan santunan daripada Surah Ar-Rahman mengajar kepada manusia untuk lebih mensyukuri nikmat ALLAH SWT, lebih-lebih lagi bila dikaitkan realisasi kehidupan umat Islam dengan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.

    “Dengan sebab ALLAH kurniakan kepada kita dengan berbagai nikmat dan kurniaan, maka kesyukuran menjadi perkara utama.

    “Kita boleh menangani Covid-19 dengan cukup baik, baik menerusi akal diberi, rezeki dikurniakan, pengurusan yang baik, good governance, kerjasama ta’awun yang tinggi, hikmah kebersamaan yang wujud serta bantuan dari berbagai bentuk.

    “Ini menunjukkan apabila kita kaji betul-betul, kesyukuran kepada ALLAH yang kita dambakan dalam kehidupan kita, insya-ALLAH,” katanya.

    Dr Zulkifli turut berharap satu jam diperuntukkan untuk program World #QuranHour ini bukan semata-mata dianjurkan pada bulan Ramadan, tetapi juga kepada apa-apa waktu sesuai untuk mendekatkan khalayak masyarakat dan umat Islam dengan al-Quran.

    “Saya ucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakannya seperti Karangkraf, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), TV Alhijrah, Bernama TV, Astro Oasis dan sebagainya.

    “Inisiatif ini sebenarnya telah memberi satu isyarat baik untuk kita kembali memartabatkan syiar Islam melalui pembacaan, pembudayaan, pengamatan dan penghayatan al-Quran untuk difahami ummah dengan sebaik-baiknya,” katanya.

    World #QuranHour edisi kelima akan berlangsung sentak seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan 13 Mei 2020 dengan membawa misi Surah Ar-Rahman (55:1-78) sebagai solusi mengembalikan keharmonian global “Reboot Global Harmony”.

    Melalui program itu, semua pihak terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan membaca al-Quran serta memahaminya melalui tadabbur selama sejam dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari berkenaan.



    Sumber

  • Agih sumbangan al-Quran kepada pesara polis

    Agih sumbangan al-Quran kepada pesara polis

    MELAKA TENGAH – Polis Melaka akan mengagihkan sebahagian sumbangan 1,000 naskhah al-Quran yang diterima menerusi Program Wakaf Quran kepada pesara- pesara polis bagi menyemarakkan dan membudayakan membaca kitab suci itu.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kassim Karim berkata, sebahagian al-Quran yang diterima akan diberikan kepada pesara polis atau balu mereka sebagai berkongsi rezeki bersama individu yang pernah berkhidmat dan berjasa dalam badan beruniform ini.

    “Sebahagian lagi akan diagihkan kepada anggota dan pegawai polis di negeri ini bersama sumbangan berbentuk makanan.

    “Itu yang akan kita lakukan dalam program memberi sedekah keperluan asas kepada golongan itu, kita selitkan bersama satu al- Quran,” katanya.

    Mat Kassim berkata demikian selepas Program Wakaf Quran Mu’Jam yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini semalam.

    Hadir sama, Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang; Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki dan Pengurus Besar Book2U Sdn Bhd, RJ Shahfaizal Khairudin.

    Tambah Mat Kassim, pihaknya menghargai dan menyambut baik program wakaf al-Quran seumpama ini dan berharap anggotanya dapat bersama mencari peluang menghayati al-Quran dalam kesibukan menjalankan tugas lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

    “Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita dapat sumbangan pakaian perlindungan diri (PPE), topeng muka dan cecair pembasmi kuman dan kelainan sumbangan kali ini kita menerima al-Quran untuk kita sama-sama menghayatinya.

    “Dalam masa sama kita juga berdoa semoga wabak koronavirus (Covid-19) dapat ditangani dan dapat kita berhari raya tanpa sebarang gangguan, insya-ALLAH,” katanya.



    Sumber

  • Jadikan tindakan para Nabi contoh

    Jadikan tindakan para Nabi contoh

    SHAH ALAM – Sebagai Muslim, segala tindakan para Nabi perlu dijadikan contoh termasuk Nabi Ismail AS yang tetap memanggil ayahnya dengan panggilan lembut walaupun nyawanya terancam.

    Timbalan Pengerusi Dewan Dakwah, Majlis Dakwah Negara, Zul Ramli M Razali berkata, seorang anak wajib memanggil kedua orang tuanya dengan panggilan lembut dan sebutan yang baik

    Menurutnya, panggilan yang boleh dijadikan contoh untuk dilakukan adalah sapaan Nabi Ismail AS kepada ayahnya, iaitu Ya Abati atau wahai ayah kesayangan ku walaupun selepas diperintah untuk disembelih.

    “Apa rahsianya kata ulama, yang mungkin kita boleh renungkan. Kenapa keluar perkataan Abati daripada mulut (Nabi Ismail As) ketika diperintah untuk disembelih. Itu sangat mengejutkan.

    “Benar apa yang dikatakan Saidina Umar bagaimana seorang ayah yang baik berjaya mempengaruhi hati anak menjadi baik dan ketika dia menjadi anak dia juga berbuat baik kepada ibu dan ayahnya,” katanya di program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Mencipta kenangan terindah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini, semalam.

    Hadir sama, Imam masjid berkenaan, Sheikh Abdul Karim Almakki yang mengalunkan bacaan Surah Al Baqarah, ayat 126 hingga 129 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.

    Zul Ramli berkata, dalam Islam, orang tua diwajibkan untuk memanggil anak-anaknya dengan sebutan yang sangat sopan dan baik serta jauh dari perkataan-perkataan yang kasar.

    “Kenapa Nabi Ismail itu boleh menjadi anak yang sangat baik kepada ayahnya pada ketika menerima perintah yang sangat berat berbanding perintah ayah pada masa ini bukanlah ‘ekstrem’ pun.

    “(Anak-anak masa ini) kadang-kadang disuruh menyapu sahaja, suruh basuh pinggan sahaja, sudah tarik muka tetapi kalau belanja piza senyum meleret dan apabila diberi tugasan berlaku sebaliknya.

    “Saya bercakap tentang semua peringkat, sebab kita tahu ayah akan tetap jadi ayah walaupun anaknya sudah berumur 50 tahun kalau ayah masih hidup, anak tetap ada hubungan dengan ibu dan ayahnya,” kata beliau.

    Menurutnya, jika kita mahu anak-anak kita menjadi seorang yang baik maka jadilah seorang anak yang baik kepada kedua ibu dan bapa kita.

    “Sekiranya kita mahu anak anak mengingati diri kita maka perkara yang sama perlu dilakukan terlebih dahulu iaitu dengan mengingati kedua ibu bapa kita,” katanya.



    Sumber