Category: ATTRACTION

  • Min House Camp terima al-Quran wakaf

    Min House Camp terima al-Quran wakaf

    KOTA BHARU – Pertubuhan Rumah Ngaji Kelantan (PRNNK) akan memastikan al-Quran yang diwakafkan oleh penduduk Kelantan khusus untuk rakyat negeri ini diagihkan secara telus.

    Ketua Biro Penyelaras Biro Wakaf Quran, Norhayati Abdul Halim berkata, terdapat pelbagai pihak mewakafkan al-Quran menerusi PRNNK dan ia akan diedarkan secara berperingkat kepada Rumah Ngaji terpilih dan juga agensi tertentu.

    “Pertubuhan mengalu-alukan niat mulia pelbagai pihak dan individu tertentu yang sama-sama berkongsi pahala dengan menggalakkan masyarakat membudayakan amalan membaca al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian.

    Terdahulu beliau menyerahkan 20 al-Quran kepada pemilik Min House Camp, Wan Noriah Wan Ramli ataupun dikenali sebagai Rumah Ngaji Dalam Taman di Kubang Kerian.

    Hadir sama, Pengerusi Biro Latihan PRNNK, Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad dan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Kelantan, Dr Johari Yap.

    Sementara itu, Wan Noriah berkata, al-Quran tersebut akan dimanfaatkan untuk digunakan oleh tetamu di Min House Camp.

    “Di setiap sudut taman ini kita letakkan al-Quran dan juga buku-buku ilmiah, jadi sesiapa sahaja yang datang boleh membacanya di mana-mana ruang.

    “Tetamu juga boleh menghayati bacaan masing-masing di tepi sungai untuk lebih mencari kedamaian,” katanya.



    Sumber

  • 160 naskhah al-Quran untuk HSM

    160 naskhah al-Quran untuk HSM

    LUMUT – Sebanyak 160 naskhah al-Quran telah diserahkan kepada petugas barisan hadapan Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, Khamis lalu.

    Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, al-Quran yang diwakafkan melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu ditempatkan di #QuranCorner untuk digunakan oleh petugas, pesakit dan pelawat.

    “WUIF berharap petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus menangani pandemik Covid-19 menjadikan al-Quran sebagai petunjuk serta kekuatan untuk terus berbakti kepada negara.

    “Kesemua al-Quran ditempatkan di #QuranCorner. Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk, penyembuh dan rahmat untuk kita semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Hadir sama pada majlis penyerahan al-Quran, Ketua Unit Kualiti HSM, Dr Nurul Huda Azira Abdul Razak; Pengasas Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datuk Nazli Alias; Penyelia Bina Insan Kemas Parlimen Lumut, Rafidah Mohamed dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam HSM, Nor Sa’adah Abdullah Zawawi.



    Sumber

  • Misi Surah Ar-Rahman sebagai Solusi “Reboot Global Harmony”

    Misi Surah Ar-Rahman sebagai Solusi “Reboot Global Harmony”

    HARI ini saya ingin berkongsi program tahunan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, berinteraksi dengan Al-Quran, World #QuranHour, tahun ke 5, akan berlangsung serentak di seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan hari Rabu, 13 Mei 2020 membawa misi Surah Ar-Rahman, 55: 1- 78 sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, “Reboot Global Harmony”.

    Kesan Sejagat COVID-19

    Ujian pandemik COVID-19 ini telah memberi kesan sejagat kepada seluruh warga global dari segi cara hidup, sosial, ekonomi dan tentu sekali kepada mental, emosi dan spiritual kita.

    Sekiranya kita tidak segera menanganinya dengan sikap dan cara berfikir yang betul kesan pandemik ini berpotensi melemahkan kita dalam banyak segi, terutamanya dari sudut semangat serta daya tahan mental dan emosi kita.

    Solusi dari Al-Quran

    Buat seorang Muslim, kita berharap Keagungan Al-Quran menjadi kekuatan kita bersama untuk menghadapi cabaran besar dan tahun-tahun sulit yang dijangka tiba.

    Dengan kekuatan dalaman, syukur dan yakin, Insya-Allah kita tidak akan berputus asa dari Rahmat Allah SWT. Kita akan bangkit menjadi lebih baik setelah ini.

    Kami bawakan World #QuranHour dengan Misi Surah Ar-Rahman pada 10 hari terakhir Ramadan tahun ini sebagai solusi menuju kepada ketenteraman jiwa dan membina rasa syukur di kalangan ummah global dengan tidak mendustakan empat nikmat besar yang Allah berikan kepada kita sebagaimana dirakamkan dalam Surah Agung ini.

    Hadiah dari Allah

    Kita tidak dapat menafikan bahawa COVID-19 ini telah menjadi cabaran besar di seluruh dunia, namun pada masa yang sama telah menjadi “hadiah’ dari Allah SWT untuk menyelesaikan masalah keharmonian global dan isu ketegangan kaum dan agama.

    Kita telah menyaksikan masalah yang seolah-olah tidak ada solusi berkesan sebelum ini seperti pencemaran alam dan masalah sesama makhluk juga selesai.

    Dunia seperti sedang melalui proses “Reboot” dari Allah SWT. Oleh itu, saya merasakan betapa perlunya kita segera mengambil momentum ini dengan mengadakan gerakan besar-besaran berinteraksi dengan Kalam Ilahi, mendoakan agar apa yang sedang kita lalui akan memberi impak kepada jiwa manusia untuk tunduk menginsafi kelemahan kita dan betapa kita perlukan “Divine Intervention” agar kita dapat bangkit bagi memakmurkan dunia. Biidznillah.

    Tentang World #QuranHour

    Pelaksanaan Malaysia #QuranHour telah bermula sejak tahun 2015 dan World #QuranHour bermula pada tahun 2016 secara tahunan. Sehingga tahun 2019, pelaksanaan World #QuranHour telah diadakan di lebih 3000 lokasi berdaftar di seluruh Malaysia, 300 lokasi berdaftar di 76 buah negara dan telah mencapai 1.46 bilion capaian di media sosial.

    Gerakan berinteraksi dengan Al-Quran: Baca, Faham dan Amal ini mempunyai Visi untuk MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah. Dengan membaca dan menikmati keajaiban Al-Quran serta memahami mesej dari Allah kepada kita, kita berharap cara fikir ummah diluruskan dengan panduan dari Al-Quran. Semoga akan terbentuk “way of life” berlandaskan Al-Quran; pengurusan hidup di rumah, di tempat kerja dan dalam negara semuanya merujuk kepada Al-Quran, Insya-Allah.

    Komitmen dan solidariti dari semua media cetak dan elektronik serta digital telah membantu kami membawakan misi berinteraksi dengan Al-Quran ini dari Malaysia ke seluruh dunia.

    Selama 1 jam, antara jam 12 tengahari hingga 1 petang, semua yang terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain dan akan membaca, memahami mesej dari Allah melalui tadabbur Al-Quran dan menggariskan apa perkara yang perlu mereka perlu laksana dan amalkan dalam menguruskan hidup mereka.

    Tahun ini menjadi pengalaman baru kepada seluruh penggerak World #QuranHour yang terlibat kerana ramai rakyat berada di rumah atau di ruang pejabat.

    Alhamdulillah, selain sokongan rakan sinergi utama untuk menyebarluaskan misi ini seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Islamic Tourism Center Malaysia, 4 stesen TV dan platform digital akan menayangkan program 1 jam berinteraksi dengan Al-Quran, Baca, Faham dan Amal secara siaran langsung menjelang zuhur, bermula Jam 12 tengahari hingga 1 petang pada hari Rabu 20 Ramadan bersamaan 13 Mei 2020 ini.

    Stesen TV dan media yang telah mengesahkan komitmen untuk bersama ialah TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan Ideaktiv.

    Program yang dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Malaysia, kali ini akan bekerjasama dengan Ar Rahman Quranic Learning Center dari Indonesia bagi mengisi program 1 jam ini.

    Apa yang perlu dilakukan dalam 1 jam pada 20 Ramadan ini?

    Ikuti dari rumah atau ruang kerja masing-masing. Siapkan Al-Quran Terjemahan

    Ikuti siaran langsung di TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis dan atas talian di FB; Sinar Harian, TV AlHijrah, World #QuranHour

    Sebagai solidariti bersama, semasa 1 jam World #QuranHour, ambil gambar sendiri atau bersama keluarga dan rakan (jaga penjarakan sosial) dan pos ke media sosial dengan tanda pagar: World #QuranHour

    Bagi mendapatkan maklumat terkini serta info untuk bahan World #QuranHour 2020, mohon LIKE FB page: QuranHour

    Bersama-sama kita doakan keharmonian global dengan Kalam dari Ar Rahman. Kita gemakan Surah Ar Rahman, 55: 1-78, dari Malaysia & Indonesia ke seluruh dunia untuk santapan jiwa ummah global.

    Mohon bantuan SHARE.

    Jom kita sama-sama gelombangkan gerakan mengQURANkan BANGSA dan mengIKHLASkan UMMAH ini ke seluruh negara dan dunia.

    Salam buat semua.

    Mendoakan keharmonian buat semua,

    Hussamuddin Haji Yaacub

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

    World #QuranHour

    #WorldOfCompassion



    Sumber

  • Pesakit tenang baca al-Quran

    Pesakit tenang baca al-Quran

    SERDANG – Pemberian wakaf al-Quran kepada pesakit yang berada di wad Hospital Serdang di sini akan menggalakkan mereka untuk membaca kitab suci itu di wad masing-masing.

    Ketua Unit Hal Ehwal Islam Hospital Serdang, Ustaz Mohammad Hafiz Bakren berkata, pesakit yang sering membaca al-Quran ketika berada di wad akan menarik perhatian pesakit lain untuk turut sama berbuat demikian.

    “Ketika Ramadan ini, pihak hospital juga menganjurkan program tadarus membabitkan kakitangan di setiap unit pada waktu rehat dan al-Quran terjemahan ini menjadikan mereka lebih bersemangat,” katanya selepas menerima sumbangan Program Wakaf Al-Quran menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di sini semalam.

    Dr Mohd Arshil (lima dari kanan) menerima sebanyak 200 naskah al-Quran di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS, Serdang semalam.

    Dr Mohd Arshil (lima dari kanan) menerima sebanyak 200 naskah al-Quran di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS, Serdang semalam.

    Bagi Timbalan Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Kolonel Dr Mohd Arshil Moideen, selain pesakit, al-Quran tersebut dapat digunakan lebih 200 petugas pelbagai agensi.

    Menurutnya, majoriti daripada 102 pesakit di pusat kuarantin itu terdiri daripada golongan pelajar tahfiz dan kluster tabligh.

    “Al-Quran ini akan diletakkan di surau berasingan untuk pesakit dan petugas,” kata beliau.

    Projek wakaf al-Quran yang dilancarkan sejak 3 April lalu itu mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, Majlis Dakwah Negara dan Solidariti Ummah Untuk Ummah dengan membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.



    Sumber

  • Latih ahli keluarga sentiasa bersyukur untuk bahagia

    Latih ahli keluarga sentiasa bersyukur untuk bahagia

    SHAH ALAM – Keluarga bahagia adalah keluarga yang sentiasa bersyukur kepada ALLAH SWT di atas segala nikmat diperoleh mereka.

    Oleh demikian bagi mencapai keluarga bahagia, Penolong Profesor Kuliyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Abdul Latiff Abdul Razak menasihatkan golongan bapa sebagai ketua keluarga supaya melatih anak mereka berbuat demikian.

    Menurut beliau, antaranya melatih anak mengucap Alhamdulillah setiap kali bangun daripada tidur kerana bersyukur masih lagi bernafas.

    “Kadang-kadang kita ini tidak fokus kepada apa yang kita ada tetapi fokus kepada apa yang kita tidak ada. Itu yang menjadikan kita stres, tertekan dan risau kerana kita suka mencampuri urusan-urusan di luar kemampuan kita.

    “Sedangkan rezeki kita itu ALLAH sudah tentukan. Mereka yang berusaha, ALLAH akan memberikan kejayaan tetapi kejayaan itu bukan kerana usaha kita sebaliknya ditentukan ALLAH.

    “Jadi apa perlunya usaha? itu amal soleh kita, bekalan kita, ikhtiar kita yang ALLAH suruh,” katanya pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Nasihat Buat Ayah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini hari ini.

    Hadir sama, Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2019, Ustaz Abdul Khair Jalil yang mengalunkan bacaan Surah Luqman Ayat 12 hingga 19 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.

    Program tersebut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian (portal, Facebook (FB),YouTube dan Twitter) serta FB Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula jam 6 hingga 7 petang setiap hari sepanjang Ramadan.

    Siaran ulangan di TV AlHijrah (4.30 hingga 5.30 pagi) dan di Astro Oasis (10.30 hingga 11.30 malam) pada hari berikutnya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut menyediakan sesi ‘Berinteraksi dengan Al-Quran; Baca, Faham dan Amal’ khusus buat golongan lelaki terutama yang bergelar ayah.

    Menurutnya, antara pengisian program adalah membina perancangan bersama golongan ayah, baca dan tadabbur ayat al-Quran bersama qari pilihan serta pentadabbur.

    “Pengisian lain, dengarkan ‘Pesan Pakar’ dan ‘Pesan Ulama’, panduan dan solusi dari al-Quran, Call to Action buat ayah serta doa bersama.

    “Semoga negara ini terbina dengan para ayah dengan mindset al-Quran, memimpin keluarga, isteri dan anak-anak masuk syurga sekeluarga,” katanya.



    Sumber

  • Sumber makanan haram punca anak derhaka

    Sumber makanan haram punca anak derhaka

    SHAH ALAM – Golongan lelaki bergelar ayah dinasihatkan memastikan sumber makanan yang diberikan kepada ahli keluarga supaya memperoleh keberkatan hidup dan anak yang soleh.

    Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, makanan daripada sumber rezeki yang tidak halal menjadi antara punca anak menderhaka kepada ibu bapa.

    Menurutnya, ibu bapa yang diuji dengan perkara tersebut perlu bermuhasabah diri dengan mengenal pasti sumber rezeki masing-masing.

    “Daripada kajian yang saya lakukan, antara sebab salah satu anak derhaka walaupun dibekalkan dengan ilmu pengetahuan tinggi kerana makan makanan haram.

    “Daging, tulang dan darah yang timbul daripada makanan haram itu maka neraka lebih utama tempatnya. Maksud neraka di dunia, inilah berlaku masalah dan ujian.

    “Kadang-kadang kita tidak bentuk dan didik mereka begitu. Tapi ibu bapa jangan putus asa, dalam Islam tidak ada putus asa,” katanya pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Ibrahim Kalilullah, Ayah Tauhid di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini semalam.

    Hadir sama, Johan Qari Kebangsaan dan Antarabangsa 2014, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali manakala Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.



    Sumber

  • Agihan al-Quran masuk fasa kedua

    Agihan al-Quran masuk fasa kedua

    SHAH ALAM – Program Wakaf al-Quran Mu’Jam yang dilancarkan sejak 3 April lalu kini memasuki fasa kedua pengagihan kepada hospital, klinik kesihatan dan pusat kuarantin koronavirus (Covid-19) di seluruh negara.

    Bagi fasa pertama, sebanyak 35,251 naskhah al-Quran dikumpulkan hasil sumbangan wakaf orang ramai melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

    Ketua Pegawai Ekskutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, bagi fasa kedua, sebanyak 34,622 naskhah al-Quran terkumpul setakat Ahad jam 10 malam.

    Menurutnya, projek wakaf itu bertujuan mengaktifkan #QuranTime Corner sepanjang Ramadan.

    “Misi wakaf al-Quran bertujuan mengagihkannya ke lokasi berkaitan untuk mengaktifkan #QuranCorner atau Troli Ibadah di wad sebagai sudut rehat dan rawat.

    “Kita turut aktif melaksanakan program berinteraksi dengan al-Quran di Malaysia #QuranTime setiap hari pada jam 12 tengah hari hingga jam 1 petang di TV AlHijrah saluran 114 atau di FB TV AlHijrah dan Sinar Harian, selain mengikuti video di Facebook Quran Hour dan siaran ulangan pada jam 10 atau 11 malam di TV AlHijrah.

    “Kami menggalakkan #QuranTime dari wad atau katil masing-masing walaupun sekejap. Sebelum memulakan kerja, waktu rehat atau waktu yang sesuai,” katanya ketika ditemui di sini.

    Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital.

    Bayaran wakaf al-Quran sebanyak RM40 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Ikhlas Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.



    Sumber

  • Sasaran 40,000 naskhah al-Quran

    Sasaran 40,000 naskhah al-Quran

    SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf meneruskan pelaksanaan program wakaf al-Quran bagi fasa kedua pada Ramadan ini bertujuan untuk mencapai sasaran mengumpulkan sebanyak 40,000 naskhah al-Quran.

    Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, agihan wakaf al-Quran fasa kedua bagi itu bertujuan mengaktifkan lebih banyak #QuranCorner di lokasi terpilih seluruh negara.

    “Sebanyak 29,562 naskhah wakaf al-Quran Al-Haramain dan al-Quran Multazam Bil Hadis terkumpul sehingga jam 9.30 malam pada Khamis lalu. Diharapkan lebih banyak #QuranCorner dapat kita aktifkan. Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita di sini.

    WUIF bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Alhijrah, Sinar Harian, Ideaktiv dan Majlis Dakwah Negara mengajak rakyat Malaysia bersama dalam gerakan membina rakyat dengan sistem nilai daripada al-Quran.

    Dari kiri, Dr Azah, Hashim dan Mohd Fathir di Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam.

    Dari kiri, Dr Azah, Hashim dan Mohd Fathir di Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam.

    Terdahulu, sebanyak 35,251 naskhah al-Quran Mu’jam telah diagihkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di seluruh negara dalam program wakaf al-Quran bagi fasa satu.

    Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam dan Klinik Shah Alam Seksyen 19 turut menerima wakaf al-Quran menerusi inisiatif #QuranCorner yang disampaikan oleh Sekretariat WUIF, Hashim Anang.

    Wakaf al-Quran tersebut diserahkan kepada Ketua Klinik yang juga Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Seksyen 7 Shah Alam, Dr Azah Abdul Samad manakala di Klinik Shah Alam Seksyen 19, ia diserahkan kepada Pakar Perubatan Keluarga, Dr Rofina Abdul Rahim.

    Sementara itu, Dr Azah berkata, naskhah al-Quran tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi memotivasikan kakitangan barisan hadapan klinik.

    “Al-Quran ini akan diletakkan di #QuranCorner untuk dimanfaatkan terutamanya pada Ramadan dan kita semua akan bertadarus secara berkumpulan,” katanya.



    Sumber

  • Buttonscarves X Elfira Loy satukan dua rumpun, gaya Muslimah ‘modest’

    Buttonscarves X Elfira Loy satukan dua rumpun, gaya Muslimah ‘modest’

    Satu ketika Elfira Loy cukup dikenali di negara Jiran kita, Indonesia. Beliau telah beberapa kali bergandingan dengan pelakon lelaki di sana. Nurul Elfira Loy binti Ahmad Sabri baru baru ini telah mencipta sejarah tersendiri apabila disunting bekerjasama dengan jenama tudung popular, Buttonscarves yang berpangkalan di Indonesia.

    Ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf ini masih kekal anggun hingga kini. Malah lebih tepat, artis bertudung yang memiliki seramai 4.8 juta pengikut di Instagram itu menjadi artis Malaysia pertama bersatu dengan jenama dari seberang ini.

    Sebagai permulaan Buttonscarves x Elfira Loy hadir dengan sebuah koleksi istimewa dipanggil The Maharani Series yang sesuai digayakan di bulan Ramadan dan Syawal kelak.

    Elfira berkata, kerjasama mereka tercetus dengan sekelip mata dan tanpa diduga. Malah ia bagai dirahmati dan dipermudahkan.

    Apatah lagi isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar ini asalnya memang peminat tegar jenama yang sudah empat tahun berkembang di negara jiran itu.

    Koleksi itu dilancarkan di Indonesia pada hari ini (24 April) yang juga hari pertama kita meraikan Ramadan penuh mulia.

    Koleksi The Maharani Series memiliki 13 warna dengan motif yang mengangkat elemen senibina di India. Koleksi ini menggunakan bahan scarf kapas voal dan satin silk yang selesa untuk dipakai.

    Hasil penjualan koleksi tudung The Maharani Series ini juga akan digunakan untuk membantu mangsa wabak covid 19 di Indonesia dan Malaysia

    “Pada awalnya kerjasama itu mahu dimulakan selepas musim raya. Namun tanpa diduga ia dipercepatkan. Pihak mereka merancang untuk menjalankan fotografi sebuah koleksi tudung di Jaipur, India dalam masa singkat beberapa bulan lalu.

    “Ketika itu pihak mereka memikirkan perancangan itu terlalu tergesa gesa dan akan menyusahkan saya. Namun
    apabila saya bersetuju, mereka tidak menyangka. Akhirnya terjadilah kerjasama koleksi The Maharani Series ini.

    “Buat permulaan kerjasama ini berlangsung untuk dua bulan bermula April hingga Mei. InsyaAllah tiada aral melintang, kerjasama ini akan berpanjangan,” menurut Elfira Loy

    Menurut ibu kepada bayi berusia enam bulan itu, kerjasama itu bermula daripada perbualan di kotak mesej langsung (DM) di Instagram.

    “Dari DM, kami berlanjutan ke aplikasi WhatsApp. Pendek kata, dari awal lagi ia berjalan dengan lancar. Saya juga anggap ini rezeki anak sulung.

    “Saya sejak dua ketiga tahun lalu juga sebenarnya menjadi peminat secara diam kepada jenama ini. Kalau terbang ke Jakarta, saya akan membeli skaf dan tudung jenama berkenaan kerana materialnya cukup selesa dan kemas.

    “Pada masa sama, saya dapat tahu mereka juga mengintai untuk bekerjasama dengan artis Malaysia. Difahamkan ada beberapa calon lain, tapi rezeki berpihak kepada saya. Sesuai dengan nama koleksi ini, saya yakin mereka yang memakainya akan berasa seperti seorang ratu atau maharani ,” katanya.

    Ditanya mengenai menyambut Ramadan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa kerana mahu membendung penularan wabak Covid 19, Elfira mengakui akur dengan ujian terjadi.

    “Jika Ramadan tahun lalu saya menyambutnya dengan keadaan berbadan dua dan kerterbatasan itu ini, nikmat bulan penuh keberkatan itu tidak terlalu dirasai.

    “Jadi saya memang ternanti nanti Ramadan kali ini. Tapi siapa mampu menyangka kita didatangi ujian saat ini. Pasti terasa kerinduan kepada perkara yang selalu sinonim dengan bukan Ramadan seperti bazar dan solat Terawih.

    “Tak mengapa kita tak perlu bersedih sangat. Kita raikannya dengan cara bersederhana,” katanya.

    Sementara itu, pihak Buttonscarves melihat kerjasama terjalin dengan Elfira cukup tepat dengan personaliti, aura dan imej bertudung dimilikinya.

    “Ini juga kerjasama perdana dan sulung kami dengan artis dari negara lain. Cita cita itu sudah lama dan akhirnya berjaya direalisasikan kini. Malaysia dan Indonesia sendiri negara serumpun yang berhubungan baik.

    “Selama ini kami mencari calon yang sesuai berkolaborasi dengan Buttonscarves. Ternyata Elfira sudah menjadi seorang penggemar Buttonscarves sejak dulu. Personaliti dimilikinya juga menjadi terjemahan nuansa fesyen kami.

    “Setelah berbincang kami pun memutuskan untuk menjalinkan kerjasama khusus di bulan Ramadan ini. Kami juga merancang untuk membuka premis jenama tudung ini di tiga pusat beli belah di Malaysia termasuk Avenue K kelak,” ungkap Linda Anggrea selaku Pengarah Kreatif Buttonscarves.

    Kata Linda lagi, koleksi ini dinamakan Maharani kerana gelaran itu di India diberikan kepada pemimpin wanita.

    “Dalam bahasa sanskrit India, erti nama Maharani merupakan gabungan dari kata Maha yang bererti Agung dan Rani yang dimaksudkan sebagi Ratu.

    “Koleksi ini diilhamkan dari istana di Jaipur, India yang merupakan destinasi terbaru Buttonscarves ketika sesi fotografi koleksi diadakan.

    “India merupakan destinasi yang masih tergolong unik dan patut diteroka keraan banyak menonjolkan keunikan seni bina, motif, dan budaya,” kata Linda lagi.

    The Maharani Series boleh dibeli di laman sesawang, www.buttonscarves.com. Malah ia juga boleh dibeli di aplikasi Buttonscarves. Ketika ini pihak Buttonscarves turut memberi diskaun free shipping kepada pembeli dengan pembelian RM200 ke atas

    Harga jualan bermula dari RM125 hingga ke atas.

    Ketika ini jenama yang bermula sejak 2016 itu terus sukses bukan hanya di Indonesia. Malah di pasaran Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam hingga sempat bertandang ke negara Uncle Sam.

    Info
    www.buttonscarves.com

    Instagram: buttonscarveselfiraLoy buttonscarves

  • Jadikan al-Quran sebagai petunjuk dalam memberi khidmat

    Jadikan al-Quran sebagai petunjuk dalam memberi khidmat

    JOHOR BAHRU – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berharap petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus menangani wabak pandemik Covid-19 menjadikan al-Quran sebagai petunjuk serta kekuatan untuk terus berbakti kepada negara.

    Penyelaras Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor, Roziah Kamal berkata, bertepatan dengan slogan ‘Kita Mesti Menang’, pasukan barisan hadapan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan agensi yang penting untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

    “Kita tahu pasukan PDRM dan juga petugas-petugas frontliner yang lain bertugas dengan sepenuh tenaga dan kita yakin mereka pasti akan letih dan momentum berjuang berkurangan.

    “Jadi kita berharap dengan adanya program Wakaf al-Quran ini dapat menaikkan semangat serta petunjuk untuk terus berjuang sehingga ‘Kita Mesti Menang’ melawan Covid-19,” katanya.

    Roziah menyerahkan 500 naskhah al-Quran kepada Ayob Khan di IPK Johor, Johor Bahru

    Roziah menyerahkan 500 naskhah al-Quran kepada Ayob Khan di IPK Johor, Johor Bahru

    Roziah berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menyerahkan 500 naskhah al-Quran kepada pasukan Polis Kontinjen Johor yang diterima Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

    Ayob Khan mengucapkan penghargaan kepada WUIF bersama Sinar Harian, Ideaktiv, Majlis Dakwah Negara dan Solidariti Ummah untuk Ummah yang mewakafkan al-Quran menerusi Projek Wakaf al-Quran.

    Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pewakaf al-Quran serta berharap al-Quran yang diwakafkan dapat dimanfaatkan seluruh warga kerja Polis Johor sempena ketibaan Ramadan esok.



    Sumber