Category: ATTRACTION

  • Busana Hassan Adli, beg By Rushai Leather

    Busana Hassan Adli, beg By Rushai Leather

    BUKAN hanya kaum Hawa sahaja mahu bergaya sepanjang lebaran. Kaum Adam juga mahu tampil hebat.

    Baru-baru ini, pada pertunjukan fesyen Lebaran Daramera 2019 siri ke-4 di Mercu Mustafa Kamal, Damansara Perdana, Selangor, 14 pereka hadir mempersembahkan koleksi masing-masing.

    Antaranya ialah Ridzuan Alias (Gen F), Hassan Adli, JUNO, DM Boutique, By Rushai Leather, Hazizul Aziz dan beberapa lagi pereka.

    Oh! Lelaki kali ini memilih dua jenama iaitu Hassan Adli dengan rekaan pakaian untuk lelaki dan By Rushai Leather yang memfokuskan kepada koleksi beg kulit sebagai penambah gaya macho lelaki.

    Hassan Adli

    Rekaan fesyen jenama itu menggarap elemen fesyen yang cukup versatil. Tidak hanya mempertaruhkan baju Melayu malah turut mengetengahkan jubah, kemeja kurta dan kurta.

    Setiap helaian pakaian yang dihasilkan dengan kemasan penuh teliti.

    Butik Hassan Adli yang dimiliki oleh Oasis Kreatif Sdn Bhd ditubuhkan hasil cetusan Imam Muda Hassan.

    Berikut ialah beberapa busana yang boleh dipertimbangkan untuk anda memilikinya:

    1. Baju Melayu Powder Blue Harga: RM189

    Baju Melayu Powder Blue

    Baju Melayu Powder Blue

    Pesona lelaki akan lebih terserlah dengan pilihan baju Melayu rona biru muda. Rekaannya berbentuk smart fit dan tidak mudah berkedut.

    2. Kurta Premium Adrey Dark Blue Harga: RM149

    Kurta Premium Adrey Dark Blue

    Kurta Premium Adrey Dark Blue

    **

    Tampil berbeza pada hari lebaran dengan mengenakan kurta ringkas, elegan dan bergaya. Direka menggunakan 100 peratus kain kapas, leher cekak musang dan smart fit.

    3. Jubah Empire Navy Blue Harga: RM179

     Jubah Empire Navy Blue

    Jubah Empire Navy Blue

    Pilihan gaya baharu paling sempurna pada hari penuh bahagia. Jubah Empire tidak mudah berkedut, smart fit dan sangat selesa dipakai sepanjang hari.

    4. Kurta Andika Cranberry Harga: RM129

     Kurta Andika Cranberry

    Kurta Andika Cranberry

    Kurta jenis ini menggunakan material kain lembut dan serasi dipakai sampai ke petang. Tidak salah sesekali anda bergaya pada pagi Aidilfitri dengan fesyen sebegitu.

    5. Pre Oder Set Dady & Son Dark Emerald Harga: RM289

    Pre Oder Set Dady & Son Dark Emerald

    Pre Oder Set Dady & Son Dark Emerald

    Kepada bapa yang mahu sedondon bersama anak lelaki, koleksi itu harus dipilih. Menggunakan material kain satin dan diperkemaskan dengan poket pada bahagian depan.

    Untuk maklumat lanjut layari http://www.hassanadli.com.

    By Rushai Leather

    Beg tangan jenama By Rushai memang sesuai untuk lelaki.

    Butik Rushai yang terletak di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor mengetengahkan pelbagai jenis beg daripada jenis silang hingga ke bagasi.

    Meskipun harganya sedikit mahal, namun, kualitinya usah dipertikai dan hayat beg-beg jenama itu dijangka mampu bertahan lama.

    Luggage Bag Harga: RM899

    Luggage Bag

    Luggage Bag

    Mencipta ilusi gaya tersendiri buat jejaka tampil bergaya dengan bagasi balik kampung pelbagai guna ini. Harus dimiliki untuk perjalanan jauh.

    Moonsack Harga: RM880

    Beg silang Moonsack

    Beg silang Moonsack

    Sarungkan baju kurta dan suai padankan dengan beg silang Moonsack. Pasti memberi sedikit kelainan gaya pada penampilan si jejaka.

    Made in Japan Anggaran harga:RM880

    Made in Japan

    Made in Japan

    Tampil cool dengan penampilan kurta dwiwarna. Fesyen si jejaka akan menjadi cukup menarik apabila digayakan bersama beg Made in Japan dengan corak abstrak.

    Swead Sling/Carry Anggaran harga: RM530

    Swead Sling/Carry

    Swead Sling/Carry

    Anda bebas bergerak sepanjang menghadiri rumah terbuka Aidilfitri. Barangan peribadi juga selamat apabila mengenakan beg jenis itu.



    Sumber

  • World #QuranHour dekatkan masyarakat dengan al-Quran

    World #QuranHour dekatkan masyarakat dengan al-Quran

    SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyokong penuh penganjuran program World #QuranHour yang disifatkan sebagai usaha yang munasabah bagi mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.

    Menurutnya, penganjuran program itu mampu mengembalikan budaya masyarakat dahulu yang sentiasa mendampingi al-Quran.

    “Tidak sebagaimana khalayak masyarakat zaman dahulu, al-Quran sentiasa meniti di bibir dan mereka kelek dengan tangan mereka senaskhah al-Quran dan mereka junjung, mereka baca.

    “Kita lalu tepi-tepi rumah di kampung yang mungkin tidaklah sekukuh rumah zaman sekarang, tetapi kita tengok nenek atau kita dengar suara nenek, suara opah, suara atuk, suara pak cik, mak cik, suara pak da, mak da sedang baca al-Quran pada waktu petang.

    “Bukan semata-mata hanya baca Yasin pada malam Jumaat, tetapi lebih daripada itu. Itulah budaya mereka dahulu dan budaya ini adalah budaya Islam yang cukup baik. Mereka tetap beribadat dengan al-Quran Karim,” katanya ketika berucap pada Program World #QuranHour di TV Al-Hijrah semalam.

    Menurut Zulkifli, al-Quran adalah khazanah ALLAH SWT yang boleh diibaratkan seperti mata air yang tidak akan habis.

    “Bila kita ambil lagi jernih lagi jernih dan bila kita cuba dapatkannya dia tetap sentiasa memberikan kepada kita yang terbaik.

    “Kami harapkan bahawa al-Quranul Karim akan sentiasa dekat di hati kita dan sentiasa memenuhi jiwa dan hati kita,” katanya.



    Sumber

  • ‘Berbeza tetapi capai matlamat’

    ‘Berbeza tetapi capai matlamat’

    KUALA LUMPUR – Program World #QuranHour edisi kelima yang berlangsung semalam tampil dengan konsep berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

    Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, walaupun penganjuran World #QuranHour berbeza, namun ia berjalan dengan lancar.

    Menurut Hussamuddin, World #QuranHour tahun ini dengan tema Reboot Global Harmony memilih Surah Ar-Rahman sebagai surah pilihan mengajak umat Islam menghargai ekosistem dan nikmat dikurniakan ALLAH SWT.

    “Kira-kira lebih satu jam ini kita dapat menyampaikan mesej Surah Ar-Rahman terus ke jantung dan hati ummah dan sesuai dengan tema World #QuranHour tahun ini iaitu Reboot Global Harmony.

    “Setelah hampir dua bulan berkurung, kita dapat memperbaiki hubungan kita dengan ALLAH, perbaiki hubungan dengan manusia melalui digital teknologi dan membaiki hubungan kita dengan alam.

    Hussamuddin

    Hussamuddin

    “Biasanya kita buat (World #QuranHour) di ground event tetapi kali ini kita bersiaran langsung kerana tidak boleh mengadakan program yang besar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Alhamdulillah ALLAH permudahkan. Empat stesen TV (Alhijrah, Astro Oasis, RTM1 dan BernamaTV) bergabung menyiarkan program kali ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.Beliau ditemui selepas berakhirnya siaran langsung World #QuranHour yang disiarkan TV Alhijrah dari Kompleks Pusat Islam di Kuala Lumpur di sini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

    Hussamuddin

    Hussamuddin

    Terdahulu, bacaan Surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 78 dipimpin qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman sementara sesi tadabbur al-Quran dikendalikan Ketua Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.Hussamuddin berkata, program sejam World #QuranHour pada 20 Ramadan setiap tahun itu akan diperluaskan menerusi gabungan dengan lebih banyak negara pada masa akan datang.

    Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu, Inggeris dan Arab juga akan diperkenalkan dalam program utama di Malaysia, namun di negara-negara luar mereka boleh menggunakan bahasa masing-masing.

    Beliau juga berharap organisasi Islam di seluruh dunia dapat mengambil World #QuranHour sebagai satu model untuk melahirkan perubahan dalam sistem nilai manusia sejagat.

    “Kalau semua umat Islam di setiap negara itu dapat berubah menjadi ummah yang perkasa, kita boleh capai satu ekosistem yang betul-betul seperti digambarkan oleh al-Quran. Al-Quran adalah solusi sejagat untuk semua termasuk haiwan dan alam,” katanya.



    Sumber

  • Lebih 20,000 gerakkan World#QuranHour di Terengganu

    Lebih 20,000 gerakkan World#QuranHour di Terengganu

    KUALA TERENGGANU – Lebih 20,000 peserta menggerakkan program World #QuranHour di Terengganu yang berlangsung selama satu jam bermula 12 tengah hari hingga 1 petang hari ini.

    Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Afnida Aini Alwi berkata, program yang digerakkan saban tahun dengan kerjasama Rumah Ngaji Terengganu itu merupakan kempen untuk membentuk solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil keberkatan 10 hari terakhir Ramadan.

    Katanya, biarpun terpaksa mengehadkan jumlah peserta di lokasi program, program itu diteruskan dengan kerjasama kakitangan PPAT, agensi kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan serta turut melibatkan keluarga-keluarga di rumah.

    “Tahun ini World #QuranHour diteruskan dengan menggunakan pendekatan berbeza memandangkan kita masih berada dalam tempoh PKP akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

    “Jadi tahun ini World #QuranHour dijalankan secara atas talian dengan PPAT bertindak sebagai lokasi ‘hotspot’.

    “Kita jangka lebih 20,000 yang menjayakan program pada tahun ini dengan mengambil kira peserta-peserta yang berada di rumah” katanya.

    Beliau berkata, program tadabbur al-Quran ini dibuat serentak di seluruh negara bagi memartabatkan al-Quran sebagai sumber rujukan utama dan memperkasakan iqra.

    “Tahun ini surah Ar-Rahman telah dipilih untuk dibaca dengan tema Reboot Global Harmony.

    “Tahun akan datang kita jangka akan dapat jumlah peserta yang lebih ramai bagi menjayakan program penghayatan al-Quran ini,” katanya.



    Sumber

  • Kesedaran menghayati al-Quran terus meningkat

    Kesedaran menghayati al-Quran terus meningkat

    TAIPING – Kesedaran orang ramai untuk menghayati dan memahami al-Quran terus meningkat di sebalik pelbagai kekangan terutama dari segi pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Penggerak Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah berkata, mengambil contoh penganjuran World #QuranHour pada tahun ini, reaksi yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan walaupun program tersebut tidak diadakan dalam skala besar seperti tahun-tahun sebelumnya.

    Menurutnya, hikmah di sebalik pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadikan orang ramai semakin dekat dengan al-Quran dengan jumlah khalayak yang semakin ramai.

    Peserta program World #QuranHour turut mengaminkan doa yang dibacakan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disiarkan secara langsung di pelbagai platform media sosial dan stesen televisyen.

    Peserta program World #QuranHour turut mengaminkan doa yang dibacakan Menteri di-Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disiarkan secara langsung di pelbagai platform media sosial dan stesen televisyen.

    “Jika tahun lalu semua ahli-ahli Rumah Ngaji ini ada yang datang bersendirian atau dengan suami berkumpul di satu tempat menjayakan World #QuranHour ini, namun tahun ini mereka berada di rumah masing-masing dan mereka boleh mengajak semua ahli keluarga bersama-sama menghayati al-Quran.

    “Melihat kepada keadaan itu, kita percaya jumlah penyertaan World #QuranHour pada tahun ini lebih ramai dari tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program World #QuranHour di Hospital Taiping, di sini, hari ini.

    Hadir sama memberikan sokongan dalam program tersebut, Pengarah Hospital Taiping, Dr Narimah Yusof; Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Taiping, Nurul Faiz Khairol Azmi dan Penggerak Rumah Ngaji Taiping, Hanita Hashim.

    Seramai 20 kakitangan Hospital Taiping dan ahli Rumah Ngaji Taiping turut serta menjayakan World #QuranHour di Hospital Taiping di sini hari ini,

    Seramai 20 kakitangan Hospital Taiping dan ahli Rumah Ngaji Taiping turut serta menjayakan World #QuranHour di Hospital Taiping di sini hari ini,

    Noor Mazlina berkata, selain di Hospital Taiping, beberapa lokasi lain turut mengadakan program sama antaranya Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Pendidikan Perak.

    Katanya, selain itu, beberapa jabatan kerajaan turut mengadakan program tersebut dalam skala yang kecil termasuklah di Perpustakaan Negeri Perak.



    Sumber

  • Gema surah Ar-Rahman di Institut Kanser Negara

    Gema surah Ar-Rahman di Institut Kanser Negara

    PUTRAJAYA – Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini bergema dengan bacaan surah Ar-Rahman yang dipasang melalui sistem siar raya sempena program World #QuranHour 1441H: Reboot Global Harmony yang berlangsung serentak seluruh dunia.

    Ketua Unit Hal Ehwal Islam IKN, Madya Madon berkata, selain bacaan surah melalui siar raya, seramai 500 kakitangan pelbagai jawatan di institut itu mengambil bahagian dalam membaca ayat suci al-Quran tersebut.

    “Boleh dikatakan hari ini semua pihak yang berada di IKN terlibat secara langsung dengan World #QuranHour ini apabila kita pasang bacaan surah Ar-Rahman yang melalui sistem siar raya.

    “Selepas sahaja selesai bacaan ayat suci al-Quran ini program kita diteruskan dengan tadabur bagi memberi lebih lagi kefahaman tentang surah itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

    Menurut Madya, selaras dengan IKN yang berkonsepkan hospital mesra ibadah, aktiviti keagamaan termasuk bacaan al-Quran sememangnya menjadi amalan warga kerja di institut tersebut.

    “Setiap Khamis malam Jumaat, kita pasang surah Yassin melalui siar raya. Jumaat pula kita akan pasang surah Al-Kahfi sehingga masuk waktu azan,” katanya.

    Mengulas mengenai penyertaan kakitangan IKN dalam program World #QuranHour, Madya berkata, tahun ini jumlah peserta bertambah berbanding sebelumnya.

    “Tahun ini merupakan tahun kedua IKN terlibat secara langsung dengan program ini dan pengurusan tertinggi kita juga sangat menyokong serta menggalakkan kami terlibat dalam aktiviti ini.

    “Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Karangkraf yang menyumbang al-Quran sebanyak dua kali kepada kami di sini,” katanya.



    Sumber

  • WQH 1441H sebarkan kasih sayang

    WQH 1441H sebarkan kasih sayang

    SHAH ALAM – Malaysia dan Indonesia berkolaborasi dalam menjayakan World #QuranHour: Reboot Global Harmony, yang membawa misi Surah Ar-Rahman pada hari ini (13 Mei 2020) bersamaan 20 Ramadan 1441H.

    Gerakan berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini mempunyai visi untuk “mengQurankan bangsa dan mengIkhlaskan ummah”. Dengan berpandukan al-Quran, ia mampu membentuk kerangka fikir dan karakter Muslim sebenar.

    Pengasas Ar-Rahman Qur’anic Learning Centre dari Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir yang juga Pentadabbur WQH 1441H yang dihubungi melalui WhatsApp berkongsi pandangannya berkaitan kempen tersebut:

    Soalan 1: Apakah pandangan ustaz mengenai program World #QuranHour dalam mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal?

    Bagi saya, sangat tepat sekali untuk mengadakan World#QuranHour di bulan Ramadan apalagi diadakan pada 10 hari terakhir. Di saat ini umat manusia sedang berdoa untuk mendapatkan sebanyak mungkin rahmat dan pertolongan daripada ALLAH, serta diberikan kekuatan dan kelembutan hati serta dicucuri rahmat. Sebagaimana kita tahu, al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan. Ia memberikan makna dan impak sangat besar kepada pada umat Islam yang menyertai program ini.

    Soalan 2: Pada tahun ini, pertama kali Indonesia dan Malaysia berkolaborasi. Apakah mesej penting yang akan dikongsikan ustaz mengenai kolaborasi tersebut dalam membawa al-Quran ke mata dunia?

    Pertama kali dua negara Muslim besar dan terbesar di dunia berkolaborasi dalam program berinteraksi dengan al-Quran. Ini memberi gambaran luar biasa bagi umat Islam sedunia dalam membawa mesej penting bahawa Islam itu perdamaian, anti kekerasan, dan penyatuan. Ia juga menafikan tuduhan Islam sebagai radikal dan menyokong ekstremisme. Kita bangsa Melayu, sudah tiba saatnya pada zaman ini, dengan izin ALLAH mendapat giliran untuk mengibarkan bendera Islam yang Rahmatan Lil Alamin.

    Soalan 3: WQH kali ini membawa misi Surah Ar-Rahman yang mengandungi 4 nikmat iaitu, al-Quran, al-Insan, Al-Bayyan, matahari dan bulan. Boleh Ustaz jelaskan apakah signifikan Surah Rahman sebagai solusi dalam menghadapai cabaran tauhid, sistem sosial, komunikasi dan fizikal?

    Setiap Muslim yang bertauhid dalam beragama tiada keraguan, ketakutan dan kecemasan kerana ALLAH memperkenalkan diri-Nya yang Maha Pengasih, rahmanul dunia wa rahimul akhirat. Mereka yakin ALLAH Maha Pengasih kepada semua makhluk-Nya. Oleh itu, orang bertauhid akan berlapang jiwa untuk berkasih sayang kepada sesama makhluk ALLAH. Bahkan ALLAH SWT Ar-Rahim yang Maha Pengampun mengampuni orang beriman.

    Terdapat empat nikmat yang disebutkan dalam Surah Ar-Rahman iaitu al-Quran, al-Insan, al-Bayan dan matahari serta bulan. Al-Quran merupakan nikmat terbesar yang diperlukan oleh manusia. Al-Quran mengajar manusia mengenai sistem sosial. Mereka yang menghayati Surah Ar-Rahman dipenuhi rasa cinta, kasih, damai, bersatu dan harmoni dalam bersosial, bermula dengan keluarga, bangsa dan negara. Kesatuan sosial paling besar adalah masyarakat dunia Islam yang membawa perdamaian. Sosial masyarakat yang dibangunkan Islam berpandukan al-quran adalah masyarakat dunia yang didasari dengan cinta kasih keadilan dan mendahulukan kepentingan umum berbanding peribadi.

    ALLAH Ar-Rahman memberi nikmat al-Bayan kepada kita untuk berkomunikasi dengan berbicara dan memberi penjelasan. Pola komunikasi seorang muslim dimulakan dengan Bismillah dan diakhiri dengan Alhamdulillah. Pertama kali Muslim berkomunikasi dengan memberi salam. Inilah pola komunikasi hamba Ar-Rahman, yang menyebarkan rasa kasih sayang dan mendamaikan. Rasulullah SAW menyarankan kita untuk menyebarkan ucapan salam dalam kalangan umat Islam. Pola komunikasi al-Bayan juga membuatkan manusia berkomunikasi dengan alam sekitar dan makhluk lain berdasarkan tauhid, asma’ Ar-Rahman.

    Dari segi fizikal, manusia mendapat kesihatan dan kekuatan tubuh badan untuk memberi manfaat. ALLAH memberi kekuatan kepada manusia terutama energi luar seperti matahari. Dalam al-Quran, peribadi seorang Muslim adalah menjaga keseimbangan antara roh dan fizikalnya. Mereka bersyukur kepada Penciptanya dan mampu memberi manfaat secara positif kepada alam.

    Soalan 4; Bagaimana Surah Ar-Rahman boleh menjadi solusi mengembalikan keharmonian global atau Reboot Global Harmony, seterusnya membawa rasa syukur?

    Surah Ar-Rahman boleh menjadi solusi keharmonian global atau Reboot Global Harmony, seterusnya membawa syukur kepada ALLAH SWT. Surah tersebut menggambarkan pelbagai sisi kasih sayang ALLAH dan boleh menjadi panduan hidup bagi Muslim. Saat ini, masyarakat global kehilangan orientasi kemanusiaan dimana manusia menghambakan sesama manusia. Lebih lagi mereka menghambakan kepada ciptaan manusia sendiri dengan bertuhankan teknologi, wang dan kekuasaan. Pasti inilah menyebabkan kekacauan global dalam bentuk kesombongan manusia untuk menjadi orang paling berkuasa, penindas yang lemah dan membuat aturan sendiri sehingga dunia menjadi hancur. Rasulullah SAW menjadi solusi Rahmatan lil Alamin. Konsep Surah Ar-Rahman sebagai solusi global sosial. Insya-ALLAH, manusia akan menjadi selain menyayangi, menghargai dan menghormati hak-hak orang lain.

    Dalam Surah Ar-Rahman menunjukkan hak manusia yang pertama adalah hak agama, diikuti dengan hak kemanusiaan, kebebasan berbicara dan hak kesaksamaan terhadap sumber alam di sesebuah negara, seterusnya membawa manusia kepada kesyukuran. Sumber alam tidak boleh dikuasai sewenang-wenangnya oleh mereka yang berkuasa dan kaya-raya. Ini makna Reboot Global Harmony yang diharapkan oleh Islam dan sistem sosial sebegini yang akan membuatkan manusia sentiasa dalam suasana bersyukur.

    Manusia yang mengambil berat tentang dan sayangkan alam akan menjauhi sikap memonopoli dan mengeksploitasi alam tanpa keseimbangan. Apabila Ar-Rahman jadi falsafah dalam pembuatan undang-undang, dan peraturan perlembagaan, maka tiada lagi kekejaman dan kekuasaan yang menyalahgunakan undang-undang. Tetapi jika ini terjadi, berlakulah penindasan untuk menguatkan yang kuat, memiskinkan yang miskin dan mengkayakan yang kaya. WQH menjadi penting dalam menyampaikan pesanan sejagat kepada global melalui Surah Ar-Rahman dalam empat pola iaitu tauhid, sistem sosial, komunikasi dan fizikal berdasarkan nikmat al-Quran, al-Insan, al-Bayyan, dan matahari serta bulan.

    5.Pandangan Ustaz mengenai hikmah di sebalik wabak Covid-19 yang perlu kita pelajari dan syukuri?

    Hikmah di sebalik wabak Covid-19 yang terbesar adalah rahmat ALLAH SWT. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW, bahawa penyakit taun atau pandemik global seperti Covid-19 adalah rahmat bagi yang beriman tetapi azab bagi yang kufur. Jika ada orang beriman berada di wilayah pandemik atau wilayah epidemik tetaplah berada di dalam wilayah tersebut. Tidak usah takut mati kerana tiada hubungannya antara kematian dengan virus (taun).

    Hidup dan mati di tangan ALLAH SWT. Begitu juga seorang Mukmin yang berada di luar wilayah pandemik atau epidemik, jangan masuk agar tidak meninggal dunia di wilayah pandemik adalah kerana virus. Itu salah. Semua adalah kerana ALLAH SWT. Jadi hikmah di sebalik semua itu adalah rahmat ALLAH SWT yang ditunjukkan kepada kita. Bahkan jika ada seorang Muslim yang meninggal dunia akibat suspek diserang Covid-19, Rasulullah SAW bersabda seorang Muslim yang meninggal dunia akibat epidemik atau pandemik ini adalah orang yang mati dalam syahid, setelah melakukan pelbagai usaha. Ini adalah rahmat ALLAH SWT.

    Namun ada rahmat lain yang secara sosial kita rasakan. Pertama, manusia disarankan untuk menjalani hidup bersih sebagaimana dianjurkan oleh syariat Taharah. Paling minimum menjaga wuduk lima waktu, sering mencuci tangan, memakan makanan halal dan tayyibah, mengambil makanan bernutrisi yang memberi imunisasi dan meningkatkan daya tahan tubuh badansehingga tidak mudah diserang penyakit. Selain pola pemakanan halalan tayyiban, ada penjarakan sosial. Secara fizikal, kita memang diminta untuk berjarak agar setiap daripada kita pandai berinteraksi sosial mana yang mahram dan bukan mahram, mana yang bersih dan kotor. Tidak menjalani hidup sebagaimana haiwan yang tidak mampu membezakan antara halal dan haram, bersih dan kotor.

    Begitu juga antara hikmah besar pada masa kini adalah kembali kepada keluarga. Bekerja dari rumah secara dalam talian. Kini manusia mampu mengerjakan banyak hal dari rumah dengan efektif dan efisien. Mungkin ada penjelasan mengapa ada larangan pergi ke masjid. Mungkin selama ini, bersama umat Islam secara fizikal berjemaah di masjid tidak disertai dengan kesatuan hati dan persaudaraan hati sehingga satu masjid berjemaah namun saling tidak mengenal antara satu sama lain. Paling mengecewakan adalah perpecahan di antara kelompok Islam meskipun sama solat, kiblat dan masjid. Kita dipisahkan dahulu untuk muhasabah diri.

    6.Keistimewaan al-Quran di bulan Ramadan dan bagaimana kita hendak menjadikan al-Quran sebagai solusi dalam menangani ujian ALLAH di akhir zaman?

    Al-Quran di bulan Ramadan tidak dapat dipisahkan. Ia jelas disebut dalam Surah al-Baqarah. Pada bulan Ramadan, al-Quran diturunkan. Bahkan sebelum syariat puasa, al-Quran terlebih dahulu disyariatkan di bulan Ramadan. Bahkan syariat berpuasa pun demi memudahkan al-Quran untuk masuk ke jiwa manusia. Pada hakikatnya Ramadan untuk melaparkan fizikal sementara, dan mengenyangkan roh dengan al-Quranul Karim.

    Maka tidak diragukan lagi perkara paling utama dilakukan di rumah adalah tilawah al-Quran, iaitu banyak berinteraksi dengan al-Quran dan memperbanyakkan khatam al-Qura, sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW bersama Jibrail AS. Pada Ramadan tahun ini yang sangat bersejarah yang disertai Covid-19 dalam rangka akhir zaman. Antara tanda-tanda akhir zaman adalah munculnya permulaan dajjal. Tanda-tanda akan berkuasa dajjal yang pada akhirnya akan dilumpuhkan oleh Imam Mahdi. Orang yang berpegang kepada al-Quran tidak tersihir, tertipu, lalai dan tipu daya serta penyesatan oleh dajjal.

    Orang yang membaca al-Quran akan menghindari daripada kemaksiatan dan kefasikan manusia. Antaranya, lahirnya seorang majikan daripada ibu yang dijadikan hamba sahaya. Al-Quran menjadikan manusia untuk sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai kemanusiaan termasuk menghargai ibu bapa. Selama manusia berpegang kepada al-Quran, maka manusia di akhir zaman manusia tetap akan selamat kerana pada masa ini ramai orang miskin, berbaju compang-camping yang digambarkan oleh Rasulullah SAW, bahkan tidak punya selipar tapi mampu berlumba-lumba membangunkan gedung-gedung yang tinggi, dan menara yang menjulang ke langit.

    Pada hal mereka adalah orang miskin kerana sistem riba, sistem kapitalisme, dunia materialisme dajjal sudah menjadi sistem di dunia. Namun orang yang berpegang kepada al-Quran tetap dengan kemuliaannya dan tidak hanyut dalam arus kehidupan akhir zaman yang membahayakan. Apa yang pasti orang beriman sentiasa menjaga ketakwaannya di akhir zaman ini kerana menyedari pada situasi yang tidak biasa. Selama al-Quran ada di tangan, selama itu dia mendapat petunjuk, cahaya, bimbingan, aturan yang terang di hadapan matanya.

    7.Pandangan Ustaz bagaimana kita boleh mengukuhkan keluarga terutama ayah sebagai ketua keluarga dengan al-Quran?

    Ada ayah yang berperanan sebagai ayah biologi, tetapi ayah yang membaca dan menjadikan al-Quran sebagai panduan keluarga, tidak hanya menjadi ayah biologi tetapi ayah idealogi. Ketika ayah sudah mampun menjadi ketua keluarga dengan panduan al-Quran, maka seisi keluarga akan dipimpin oleh ayah ke syurga, kepada permulaan syurga di dunia, rumahku syurgaku. Ayah akan melindungi keluarga daripada pelbagai perkara haram masuk ke rumah. Sesuatu yang haram boleh menyebabkan keluarga bercerai-berai. Ayah yang berpegang kepada al-Quran menjadikan rumahtangga begitu jelas visi dan misi, tidak seperti kebanyakan keluarga yang mengikuti peradaban keluarga yang lalu, semata membesarkan fizikal anak-anaknya.

    8.Bagaimanakah aktiviti WQH di Indonesia pada 13 Mei ini?

    Di Indonesia, kempen World #QuranHour mulai berjalan dengan menyebarkan video di media sosial. Kami juga bekerjasama dengan beberapa media nasional, media Islam, para seleberiti dan influencer yang sudah berhijrah untuk bergabung bersama kami menjayakan World #QuranHour.

    8.Apakah harapan Ustaz kesan atau impak program WQH selepas ini?

    Harapan saya semoga impak program World #QuranHour selepas ini memberikan kesedaran kepada ummah untuk membaca al-Quran khususnya Surah Ar-Rahman dan menjadi Muslim yang menyebarkan kasih sayang, perdamaian, dan mengutamakan penyatuan dan mengkomunikasikan Islam dan al-Quran dengan cara yagn cerdas dan simpati sehingga membuat seluruh manusia di dunia memandang Islam yang sebenarnya. Harapan saya juga gerakan kesan sejagat melalui World #QuranHour mendapat taufik dariapda ALLAH SWT dan kita akan terus bekerjasama membesarkan ALLAH sepanjang masa.



    Sumber

  • Hospital Taiping sahut kempen World #QuranHour

    Hospital Taiping sahut kempen World #QuranHour

    TAIPING – Keterbatasan pergerakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menghalang warga Hospital Taiping menyahut kempen World #QuranHour yang berlangsung hari ini.

    Seramai 20 kakitangan Hospital Taiping bersama ahli Rumah Ngaji Taiping menjayakan kempen World #QuranHour yang diadakan di Bilik Seminar 1, Hospital Taiping di sini.

    Hadir sama dalam program tersebut, Penggerak Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah; Penggerak Rumah Ngaji Taiping, Hanita Hashim dan Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Taiping, Nurul Faiz Khairol Azmi.

    Kolaborasi di antara Rumah Ngaji Taiping dan Hospital Taiping julung kali diadakan bagi program World #QuranHour ini.

    Menurut Noor Mazlina, di Perak terdapat empat lokasi utama penganjuran program World #QuranHour iaitu di Hospital Taiping, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

    Katanya, tidak seperti penganjuran World #QuranHour sebelum ini yang diadakan di Rumah-rumah Ngaji seluruh Perak, semua ahli Rumah Ngaji melaksanakan program berkenaan di kediaman masing-masing berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

    Beliau berkata, penganjuran program di lokasi-lokasi utama di Perak diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan mengutamakan penjarakan sosial kepada semua peserta.



    Sumber

  • KBS, 450 RMT Virtual sertai World #QuranHour

    KBS, 450 RMT Virtual sertai World #QuranHour

    SHAH ALAM – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama 450 peserta program Rakan Muda Virtual (RMT Virtual) seluruh negara menyertai program World #QuranHour 1441H: Reboot Global Harmony yang berlangsung serentak seluruh dunia hari ini.

    Menerusi program itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengetuai bacaan Surah Ar-Rahman bersama empat pegawainya dan ia turut disiarkan secara langsung di Facebook kementerian berkenaan.

    Wan Ahmad Fyhsal berkata, sempena World #QuranHour, semua peserta RMT Virtual meluangkan masa selama sejam untuk membaca dan menghayati Surah Ar-Rahman.

    “Penyertaan KBS dalam World #QuranHour ini untuk menggalakkan anak-anak muda bertadarus dan meluangkan masa selama sejam dengan al-Quran.

    “Penganjuran program World #QuranHour ini juga bertepatan dengan sunnah kerana kita digalakkan mengimarahkan bulan Ramadan dengan membaca al-Quran secara berjemaah,” katanya kepada Sinar Harian.

    Wan Ahmad Fhysal (depan, kiri) mengetuai bacaan Surah Ar-Rahman pada program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh dunia hari ini.

    Wan Ahmad Fhysal (depan, kiri) mengetuai bacaan Surah Ar-Rahman pada program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh dunia hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks dunia moden hari ini, program World #QuranHour juga memanfaatkan capaian teknologi dan jaringan komunikasi apabila ia diadakan secara maya dengan meluas kali ini ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).

    Menurutnya, inisiatif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menganjurkan kempen World #QuranHour sejak lima tahun lalu adalah usaha yang sangat baik dan ia perlu diteruskan bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi pada bulan biasa.

    Menyentuh mengenai program RMT Virtual pula, Wan Ahmad Fhysal memberitahu, ia merupakan program tadarus al-Quran secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

    “Program ini sebagai salah satu inisiatif KBS bagi memastikan masa belia Malaysia terisi dengan aktiviti tadarus sempena bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan akibat wabak Covid-19.

    “Program RMT telah bermula sejak 7 Ramadan lalu dan akan berakhir pada 26 Ramadan ini,” katanya.

    Salah seorang pegawai KBS menunjukkan plakad World #QuranHour sebagai sokongan terhadap program itu.

    Salah seorang pegawai KBS menunjukkan plakad World #QuranHour sebagai sokongan terhadap program itu.

    Beliau juga menasihatkan golongan muda supaya mempelajari bahasa Arab bukan untuk pandai bertutur dalam bahasa itu sahaja tetapi untuk memahami kandungan al-Quran dan karya-karya ulama tersohor seperti tafsir agung.

    Katanya, ia supaya hubungan golongan muda dengan al-Quran lebih akrab kerana dapat memahami permata yang terkandung dalam kitab suci itu.



    Sumber

  • World #QuranHour pentas terbaik umat Islam dalami al-Quran

    World #QuranHour pentas terbaik umat Islam dalami al-Quran

    KUALA LUMPUR – Walaupun wujud ancaman penularan wabak Covid-19 selain kekekangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB), namun bagi umat Islam ia bukan penghalang dalam mendekatkan diri dengan al-Quran pada bulan Ramadan ini.

    Penganjuran program-program berkaitan al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini, contohnya, siaran langsung World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menjadi medan baharu pencetus minda bagi ummah melalui QTT (Quran, Tadabbur, Tazakkur), dengan menerapkan nilai-nilai al-Quran.

    Pada hari ini, World #QuranHour bertemakan ‘Reboot Global Harmony’ telah memilih Surah Ar-Rahman sebagai surah pilihan yang akan dibacakan oleh qari dari Malaysia dan Indonesia, selain pentadabbur dari kedua-dua negara akan menjelaskan setiap maksud ayat yang dibaca oleh qari bagi tujuan pemahaman kepada para peserta.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, program sejam World #QuranHour yang diadakan pada 20 Ramadan setiap tahun adalah program kemuncak berinteraksi dengan al-Quran secara global melalui pendekatan baca, faham dan amal yang sangat ditunggu-tunggu untuk disertai oleh umat Islam di negara ini khususnya.

    “Program World #QuranHour asalnya tercetus sebagai sebuah platform yang mengetengahkan ‘divine solutions’ dari 114 surah dalam al-Quran berdasarkan modul HTE (Heaven To Earth) melalui kaedah tadabbur al-Quran (mempelajari al-Quran) dan tazakkur al-Quran (menghayati al-Quran).

    “Peserta amat tidak sabar-sabar untuk menyertai program sebegini demi memperbaiki diri dan akhlak peribadi mereka juga,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

    Beliau berkata sebagai buktinya, setakat 2019, World #QuranHour telah diadakan di lebih 3,000 lokasi di Malaysia dan 300 lokasi di 76 negara, selain telah dapat menjangkau 1.46 bilion capaian dalam media sosial.

    Jelas Marhaini lagi, gerakan berinteraksi dengan al-Quran menerusi konsep baca, faham dan amal ini mempunyai visi untuk MengQurankan Bangsa dan Mengikhlaskan Ummah dalam usaha mengubah pemikiran masyarakat agar menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

    Beliau juga menjelaskan, pada asalnya WUIF telah merancang untuk menganjurkan World Quran Convention Surah Ar Rahman yang dijadualkan pada April lepas yang bakal mengumpulkan tokoh-tokoh agama serta pemimpin dari beberapa belah dunia, namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 dengan satu tarikh baharu akan diumumkan kelak.

    “Insya-ALLAH kita harap pada masa akan datang kita dapat laksanakan satu gerakan al-Quran yang membawa agenda #SavingFamilies, #SavingLegacy & #SavingTheNation serta ummah ini sehingga pada akhirnya kita dapat lahirkan negara yang berbudi dan penyayang, World of Compassion,” katanya.

    Sementara itu, Pengasas Ar-Rahman Quranic Learning Center, Bachtiar Nasir menjelaskan betapa pentingnya kepada manusia khususnya umat Islam untuk memahami dan menghayati apa yang disampaikan ALLAH dalam Surah Ar-Rahman yang banyak berbicara tentang hak-hak terhadap agama, kemanusiaan, kebebasan berbicara dan bersuara, serta kebersamaan terhadap penggunaan sumber daya alam.

    “Jika kita betul-betul faham mutiara Surah Ar-Rahman yang banyak menerangkan pelbagai sisi kasih sayang ALLAH terhadap ciptaan-NYA, maka ia boleh jadi solusi kepada keharmonian global. Kita lihat masyarakat global umumnya sudah kehilangan orientasi kemanusiaannya. Manusia memperhambakan manusia yang lain, bahkan ada yang bertuhankan teknologi, wang dan kekuasaan. Inilah punca yang menyebabkan kekacauan global.

    “Oleh itu, jika kita dapat mengamalkan sikap berkasih sayang sesama manusia dan menjadikan Surah Ar-Rahman sebagai falsafah dalam penggubalan undang-undang, maka tidak akan wujud lagi kekejaman dan penindasan di antara kita serta akan wujudlah keharmonian global selaras dengan tema program kali ini,” kata Bachtiar yang juga pentadabbur program World #QuranHour dari Indonesia.

    Beliau turut berharap program sebegini dapat memberi impak besar kepada segenap lapisan masyarakat khususnya umat Islam dalam meningkatkan kesedaran untuk mendampingi al-Quran, di samping dapat melahirkan manusia yang menyebarkan kasih sayang dan mengutamakan perdamaian melalui penghayatan isi kandungan al-Quran itu sendiri.

    Orang ramai yang ingin menyertai Program World #QuranHour boleh mengikuti program itu yang akan bersiaran secara langsung di studio tanpa penonton di TV Alhijrah selama satu jam antara 12 tengah hari hingga 1 petang, dengan tayangan bersama di Astro Oasis, Bernama TV dan RTM serta dikongsi siar langsung di platform digital Sinar Harian dan Ideaktiv. – Bernama



    Sumber