Category: ATTRACTION

  • Tip berguna kepada perokok yang sudah insaf

    Tip berguna kepada perokok yang sudah insaf

    JIKA anda berhasrat untuk berhenti merokok ia satu permulaan yang baik. Bulatkan tekad dan cari kekuatan semangat untuk berhenti merokok.

    Anda harus sedar hakikat bergelar perokok ini boleh meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda mendapat 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan angin ahmar atau strok.

    Merokok boleh memberi kesan kepada hampir setiap organ dan tisu badan.

    Moga informasi INI memberi kesedaran dan kekuatan.

    Melengah-lengahkan waktu merokok bagi menghilangkan keinginan untuk merokok

    Melengah-lengahkan waktu merokok bagi menghilangkan keinginan untuk merokok

    Bagi membantu anda berhenti merokok, ikuti langkah mudah dan tidak membebankan ini:

    MELALUI PEMAKANAN

    1. Kunyah biji petai

    Tahukah anda bahawa kandungan buah petai mengandungi vitamin B6, vitamin B12, kalium dan magnesium. Ia boleh menghentikan tabiat merokok dan mengurangkan nikotin dalam badan. Tidak percaya cuba amalkan dengan makan petai secara mentah-mentah.

    2. Ginseng

    Ginseng berperanan untuk melawan keinginan untuk merokok. Caranya dengan ambil sedikit serbuk ginseng dan campur dalam makanan atau minuman.

    3. Halia

    Empat jam tidak merokok biasanya anda mula merasa mual dan perut tidak selesa, bukan? Atasinya dengan mengambil beberapa hirisan halia dan masukkan ke dalam secawan teh atau minuman. Ia boleh membantutkan perasaan ingin merokok dan rasa mual tadi.

    4. Vitamin A,C dan E

    Multivitamin berfungsi untuk memulihkan badan dan diperlukan untuk mengeluarkan toksin. Vitamin C antaranya berperanan menghentikan ketagih merokok. Contoh vitamin C seperti strawberi, jambu batu, oren dan lemon.

    5. Minum banyak air

    Air bertindak sebagai penyahtoksik semula jadi daripada toksin dan mempercepatkan proses untuk melawan ketagihan.

    6. Makan dark chocolate

    Dark chocolate kaya dengan pelbagai nutrien yang baik untuk badan seperti antioksida dan flavoid. Antioksida berperanan membantu melawan radikal bebas dalam badan yang boleh menjadi barah.

    Selain itu, dark chocolate ini juga merupakan ejen rembesan dopamin semula jadi dan memberikan kesan yang sama seperti merokok. Daripada merokok, lebih baik anda makan coklat hitam, betul tak?

    Menjauhkan diri daripada orang yang merokok

    Menjauhkan diri daripada orang yang merokok

    MELALUI AMALAN 10M

    1. Melengah-lengahkan waktu merokok Tunggu lima minit atau lebih apabila timbul keinginan untuk merokok

    2. Tarik nafas panjang Tarik nafas tiga kali secara perlahan-lahan. Pasti keinginan untuk merokok itu akan hilang.

    3. Sibukkan diri Buat sesuatu bagi mengalihkan fikiran anda. Insya-Allah anda pasti terlupa untuk merokok .

    4. Menjauhkan diri daripada orang yang merokok

    5. Elakkan diri daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok

    6. Mengunyah sesuatu seperti gula getah atau gam dan buah-buahan.

    7. Membasuh tangan selalu bagi mengelak keinginan untuk memegang rokok.

    8. Mandi dengan kerap bagi meredakan keinginan untuk merokok.

    9. Meregangkan otot, lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk .

    10. Memohon doa agar dikuatkan azam dan sentiasa tingkatkan usaha. Anda pasti boleh!



    Sumber

  • Makanan yang perlu dielak jika tidak mahu terkena buasir

    Makanan yang perlu dielak jika tidak mahu terkena buasir

    BAGAIMANA buasir berlaku?

    Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada vena yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia akan mengganggu dan menyebabkan membran di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah. Buasir terjadi disebabkan oleh terlalu tinggi tekanan dalam darah di bahagian rektum.

    Ia menyebabkan dinding vena darah teregang atau ‘memberi’ dan membonjol. Kemungkinan ia boleh pecah, terutamanya ketika meneran. Buasir ini boleh berlaku secara berulang-ulang.

    Jadi sebaik-baiknya elakkan makanan berikut:

    1) Roti putih

    2) Nasi putih

    3) Mentega dan minyak

    4) Daging lembu, ikan dan telur

    5) Waffle

    6) Keju dan susu

    7) Gula-gula

    8) Kek

    Makanan berproses ini boleh membawa risiko kepada buasir.

    Makanan berproses ini boleh membawa risiko kepada buasir.

    Amalkan pemakanan sihat dengan menikmati sayur-sayuran dan buah-buahan.

    Amalkan pemakanan sihat dengan menikmati sayur-sayuran dan buah-buahan.

    Bagaimana mengelak daripada terkena buasir?

    1) Elakkan juga makanan yang berlemak kerana ia mengambil masa lebih lama untuk dihadamkan berbanding makanan-makanan yang lain. Makanan yang berlemak sangat berisiko tinggi sehingga menyebabkan perut menjadi sakit, pedih ulu hati dan juga buasir.

    2) Kurangkan makanan yang berminyak atau bergoreng seperti kentang dan ayam goreng, nuget dan makanan ringan.

    3) Kurangkan penggunaan minyak dan mentega dalam masakan anda. Jika kerap menggunakan produk tenusu, sebaiknya anda memilih produk susu yang rendah lemak.

    4) Makanan yang pedas

    5) Perbanyakkan makanan tinggi serap, contohnya, sayur-sayuran, kekacang dan juga buah-buahan.

    6) Minum air putih yang secukupnya iaitu 8 gelas sehari.

    Jika mengamalkan langkah ini setiap hari, anda mungkin tidak akan didatangi penyakit buasir dan hidup dengan lebih selesa, tanpa kesakitan!



    Sumber

  • Tip tepat mengambil makan malam

    Tip tepat mengambil makan malam

    RAMAI yang sanggup berlapar apabila tiba waktu makan malam. Kenapa ya?

    Ini kerana mereka beranggapan makan malam boleh menambah berat badan.

    Namun, tanggapan itu sebenarnya tidak tepat. Sebenarnya, terdapat faktor-faktor lain seperti makan makanan berminyak, tinggi kalori dan faktor gaya hidup boleh menyumbang kepada kegemukan.

    Makan malam masa yang tepat untuk aktiviti keluarga

    Makan malam masa yang tepat untuk aktiviti keluarga

    Tahukah anda makan malam sangat penting bagi melengkapkan pengambilan makanan yang mungkin tidak mencukupi pada siang hari seperti pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan susu.

    Selain itu, ia juga penting untuk merapatkan kemesraan bersama ahli keluarga yang berkumpul pada waktu malam.

    Makan malam juga mungkin salah satu cara untuk merehatkan fikiran selepas seharian penat bekerja.

    Namun, untuk mengambil makan malam ini, anda harus tahu cara yang betul tanpa risau boleh menambah berat badan antaranya:

    1. Makan mengikut keperluan

    Salah satu faktor yang menyumbang kepada berlebihan berat badan adalah pengambilan makanan yang melebihi keperluan dalam sehari. Anda harus bijak mengambil makanan agar tidak melebihi keperluan kalori harian.

    2. Jangan langkau waktu makan pada siang hari.

    Melangkau waktu makan boleh menyebabkan kelaparan yang tidak terkawal dan membuatkan seseorang itu makan berlebihan semasa makan malam.

    3. Jangan jadikan makan malam tempat melepaskan tekanan

    Seharian berhadapan dengan pelbagai masalah membuatkan anda melepaskan tekanan ketika menjamu selera. Ia boleh mengakibatkan anda makan secara berlebihan.

    4. Jangan makan ketika menonton televisyen

    Amalan ini akan mengakibatkan anda cenderung mengambil makanan yang tinggi lemak dan kalori seperti aiskrim, coklat, kerepek, keropok dan sebagainya.

    Snek ringan sebelum masuk tidur

    Snek ringan sebelum masuk tidur

    Panduan makan malam yang sihat perlu diamalkan:

    1. Hadkan pengambilan makanan yang bergoreng, berminyak dan berlemak.

    2. Waktu makan malam yang sesuai di antara 6.30 petang hingga 8.30 malam. Sekiranya anda tidur lewat malam dan berasa lapar. Anda disarankan mengambil snek ringan sebelum masuk tidur seperti buah-buahan, roti, biskut dan segelas susu.

    3. Ambil makanan yang seimbang. Pastikan hidangan anda mengandungi bijirin seperti nasi atau roti, ikan, ayam atau kekacang serta sayur-sayuran.

    4. Ketahui saiz hidangan yang diambil. Makan malam sepatutnya membekalkan 400 hingga 500 kalori.

    5. Elak mengambil teh atau kopi selepas makan malam boleh menyebabkan gangguan untuk melelapkan mata.

    6. Sekiranya anda menghadiri jamuan makan malam, makan secara sederhana dengan mengambil saiz hidangan yang kecil. Pilih makanan yang lebih sihat dan utamakan buah-buahan dan air kosong.



    Sumber

  • Jangkitan kuman di paru-paru

    Jangkitan kuman di paru-paru

    SISTEM pernafasan manusia terbahagi kepada bahagian atas dan bahagian bawah. Bahagian bawah terletak di dalam dada dan terdiri daripada saluran pernafasan dan pundi-pundi udara (air sacs).

    Jangkitan kuman di paru-paru boleh melibatkan saluran pernafasan (bronchitis) dan pundi-pundi udara (pneumonia).

    Secara amnya, jangkitan kuman di tisu paru-paru dikenali sebagai pneumonia. Ia adalah jangkitan kuman yang biasa dalam kalangan kanak-kanak kecil dan orang-orang tua.

    Ia disebabkan oleh virus atau bakteria. Kadang-kala ia juga disebabkan oleh jangkitan awal pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selesema) yang merebak ke bahagian bawah sistem pernafasan.

    Jangkitan kuman ini boleh melibatkan keadaan yang tidak serius hinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa.

    Tanda dan gejala

    Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit yang berkaitan dengan seseorang kanak-kanak itu.

    Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami:

    Demam panas.

    Batuk dengan atau tanpa kahak.

    Sakit dada.

    Tiada selera makan, tidak mahu makan.

    Rasa tidak sihat, sering merengek.

    Pernafasan laju atau susah bernafas.

    Muntah atau cirit-birit.

    Adakah jangkitan kuman paru-paru ini serius?

    Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil.

    Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen. Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:

    Pernafasan laju. Sukar untuk bernafas. Bibir menjadi biru. Batuk berdarah. Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing.

    Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru?

    Jenis rawatan bergantung kepada tahap jangkitan.

    Kebanyakannya adalah tidak serius dan disebabkan oleh virus, oleh itu sistem pertahanan badan memainkan peranan utama untuk melawan penyakit ini. Apabila jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor.

    Untuk jangkitan yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil.

    Anda boleh mencuba rawatan ini di rumah:

    Paracetamol/Panadol.

    Rehat yang secukupnya.

    Minum air yang banyak.

    Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius ubat akan diberikan melalui suntikan.

    Jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

    Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kuman ini?

    Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik. Teruskan penyusuan susu ibu. Mengambil imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru. Contohnya:

    Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) – wajib untuk semua kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara (National Childhood Immunization Programme).

    Vaksin influenza – untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan.

    Vaksin pneumococcal – untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan.

    Jika anda merasa anak anda termasuk dalam golongan kanak-kanak berisiko tinggi, sila dapatkan nasihat doktor.

    Sumber: http://www.myhealth.gov.my/



    Sumber

  • Ziarah kubur keluarga pada pagi raya

    Ziarah kubur keluarga pada pagi raya

    SETIAP kali Hari Raya Aidilfitri, kita akan lihat ramai yang mengambil peluang untuk menziarahi kubur kaum keluarga usai menunaikan solat sunat Hari Raya.

    Sebenarnya, apakah hukumnya apabila kita melakukan perbuatan itu pada pagi Hari Raya?

    Hukum asal ziarah kubur untuk lelaki disunatkan berdasarkan hadis Rasululullah SAW.

    Sabda baginda SAW: “Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, sekarang maka ziarahlah kerana ia boleh mengingatkan kamu kepada akhirat.” (Riwayat Muslim)

    Imam al-Nawawi menyatakan, hadis di atas tidak menyatakan waktu atau bilangan tertentu ketika menziarahi kubur.

    Adapun, hukum ziarah kubur untuk wanita, terdapat perbezaan dalam kalangan ulama. Ada pandangan yang membenarkan dan sebaliknya.

    Jika dibenarkan, maka perlu menjaga adab dan tatasusila ketika menziarahi kubur.

    Maka, hukum ziarah kubur pada pagi raya tanpa ada apa-apa iktikad kelebihan, menjaga sunah dan adab, maka ia diharuskan. Di samping itu, ia kembali kepada tujuan asal iaitu semata-mata mengingati kematian dan akhirat.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • Hyundai umum pembangunan ‘Kunci Digital’

    HYUNDAI Motor Group menerusi syarikat peranti mudah alih dan keselamatan aplikasi Trustonic baru-baru mengumumkan pembangunan ‘Kunci Digital’ yang membolehkan pengguna membuka dan menghidupkan enjin kereta menerusi telefon pintar mereka.

    Bakal menggantikan kunci fizikal, Kunci Digital boleh dimuat turun melalui satu aplikasi dan teknologi Near Field Communication (NFC) akan mengesan kehadiran kunci berkenaan berhampiran kereta.

    Antena NFC diletakkan pada pemegang pintu pemandu dan penumpang hadapan. Sementara NFC pula untuk menghidupkan enjin berada pada pad pengecasan tanpa wayar di konsol tengah.

    Pengguna hanya perlu meletakkan telefon pintar di atas pad berkenaan, kemudian tekan butang penghidup enjin. Ia boleh digunakan oleh empat orang tetapi perlu disahkan dahulu identitinya.

    Sistem kunci itu juga menyimpan talaan kenderaan yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Jadi, tetapan seperti kedudukan cermin, tempat duduk, sistem audio, navigasi, head-up display dan stereng akan dilaraskan secara automatik. Kunci digital itu juga boleh digunakan untuk mengawal beberapa sistem tertentu dari jauh.

    Menggunakan komunikasi Bluetooth Low Energy, pengguna boleh membuka dan mengunci kereta, mengaktifkan sistem penggera dan menghidupkan enjin.

    Paling menarik, tahap akses fungsi kenderaan boleh diprogramkan berdasarkan kepada setiap pengguna. Pemilik juga boleh mengehadkan tempoh penggunaan kereta atau ciri-ciri tertentu apabila kenderaan diberi sewa.

    Sebaik sahaja sistem perkongsian kereta semakin meluas, Kunci Digital akan diprogramkan untuk memudahkan pemilik dan penyewa. Jadi, mereka tidak perlu berjumpa dan cukup sekadar menghantar Digital Key menerusi aplikasi telefon pintar. Hyundai Motor Group merancang untuk mengimplementasikan teknologi ini ke atas model-model baharu mulai akhir tahun ini secara peransur-ansur.



    Sumber

  • Ilham luar biasa Alfian

    Ilham luar biasa Alfian

    JEJAKA berusia 25 tahun ini amat meminati kumpulan muzik The Special, Madness dan Ska Band.

    Sebenarnya, minat Hafeez Alfian Rahmat atau Alfian bukan hanya terarah kepada muzik tetapi kepada fesyen yang dipakai oleh ahli kumpulan British tersebut setiap kali mereka muncul membuat persembahan.

    ALFIAN ingin jenamanya dikenali seluruh negara

    ALFIAN ingin jenamanya dikenali seluruh negara

    **

    Ya, sut dan kot yang dikenakan pemuzik antarabangsa tersebut sesungguhnya telah memberi inspirasi kepada anak muda kelahiran Johor Bahru, Johor itu untuk terjun ke dunia fesyen.

    “Ketika saya berumur 13 tahun, kumpulan band dari British itu telah membuatkan saya mengagumi mereka. Bukan sahaja muzik, fesyen sut dan jaket yang digayakan telah membuatkan saya jatuh cinta pada dunia fesyen,” katanya ketika ditemui Oh! Lelaki pada seminar Volkswagen Automotive Academy di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Tidak menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan, Alfian terus menyambung pengajian di Segi College dalam bidang Rekaan Fesyen. Untuk mengkhususkan skilnya dalam busana lelaki, beliau kemudian menuntut ilmu di SML Fashion Academy, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

    ALFIAN amat mementingkan kualiti pakaian yang dihasilkannya

    ALFIAN amat mementingkan kualiti pakaian yang dihasilkannya

    Nyahkan pandangan masyarakat kononnya arena fesyen milik wanita. Alfian berkata, beliau bersyukur keluarganya terutama ibu tersayang memberi lampu hijau terhadap kecintaannya.

    “Mungkin pengalaman ibu yang pernah menyertai pertandingan model Mustika Ratu membuatkan ibu lebih memahami kerjaya sebagai pereka fesyen.

    “Saya juga berpendapat jantina bukan penentu kerjaya seseorang, ia bergantung kepada minat. Dengan adanya minat, ia akan terus menjadi senjata kepada saya untuk kekal relevan dalam dunia fesyen ini,” katanya.

    Alfian De Suits

    Apa trademark Alfian? Anak muda berhati waja itu berkata, sudah pasti dirinya memilih sut dan jaket di bawah jenama Alfian De Suits.

    “Saya pernah mereka pakaian wanita. Namun, seperti ada sesuatu yang tidak kena pada rekaan itu, akhirnya saya pasrah dan fokus kepada pakaian sut untuk lelaki dan wanita juga,” ujarnya.

    Bagi menghasilkan sesuatu yang berbeza, Alfian berkata, beliau akan sedaya upaya mencipta sesuatu yang berbeza.

    Kata pereka muda itu lagi, mengikut aliran fesyen terkini bukan pendekatannya.

    ALFIAN ketika menyertai Malaysia Fashion Week

    ALFIAN ketika menyertai Malaysia Fashion Week

    “Sebenarnya, saya lebih terarah kepada fesyen negara Eropah,” katanya.

    Seperkara yang boleh dibanggakan, pada usia masih muda, Alfian sudah memiliki butik sendiri yang terletak di Setia Alam, Selangor.

    Butik yang baru beroperasi pada bulan Mac lalu merupakan kejayaan besar buatnya yang sebelum ini menjalankan perniagaan atas talian bagi memasarkan jenamanya.

    Ujar Alfian lagi, rezeki yang dicurahkan Ilahi tidak putus-putus selepas beliau menyertai pertandingan Malaysia Fashion Week, Singapore Fashion Week dan Kedah Fashion Week. “Pertandingan itu mematangkan saya dan menambah keyakinan terhadap rekaan yang dihasilkan. Ia satu kenangan manis yang saya tidak boleh dilupakan terutama ketika menyertai Malaysia Fashion Week.

    “Ketika itu, seorang profesor telah membeli sut daripada seorang pereka yang masih muda seperti saya. Saya sungguh terharu kerana produk yang saya hasilkan ada orang suka,” katanya dengan nada teruja.

    Peluang

    Benarkah seorang pereka muda sukar untuk menempatkan diri dalam industri fesyen tempatan?

    Mendengar persoalan itu, Alfian kelihatan tenang sambil berkata: “Saya percaya rezeki itu milik Allah SWT.”

    Pun demikian, beliau tidak menafikan tidak mudah untuk mempromosikan jenamanya.

    “Namun, berputus asa bukan sifat yang ada dalam kamus hidup saya. Saya sentiasa memikirkan jalan, antaranya, mengambil pendekatan menjalinkan hubungan rapat dengan syarikat korporat,” kata pemuda itu.

    Selain itu, Alfian turut bekerjasama menaja pakaian untuk selebriti.

    Antara yang pernah memakai jenama Alfian De Suits ialah Ajak Shiro, Haqiem Rusli, Tajul, Ara Johari dan Ismail Izzani.

    Ujarnya, usahasama dengan artis merupakan salah satu strategi pemasaran yang baik.

    BERSAMA rakan artis Ajak Shiro dan Azrel yang pernah mengayakan suit rekaan Alfian

    BERSAMA rakan artis Ajak Shiro dan Azrel yang pernah mengayakan suit rekaan Alfian

    “Apabila seorang artis percaya dan memuat naik hasil kerja kita melalui laman sosial, ia akan membuka peluang yang lebih besar,” katanya.

    Kepada Oh! Lelaki, beliau berkata, dirinya akan mempertimbangkan dahulu sebelum mereka pakaian untuk mana-mana selebriti.

    Semoga jenama Alfian & De Suits dikenali seluruh dunia sejajar dengan jenama antarabangsa yang lain!

    ANEKDOT

    NAMA: Hafeez Alfian Rahmat/Alfian

    JENAMA DIMILIKI: Alfian & De Suits

    UMUR: 25

    ANAK KELAHIRAN: Johor Bharu

    PENDIDIKAN:

    1. Segi College, Seri Kembangan, Selangor (Rekaan Fesyen)

    2. Manipal International University, Nilai, Negeri Sembilan (Pengajian Perniagaan)

    3. SML Fashion Academy, Bukit Bintang, Kuala Lumpur (Fesyen Lelaki)

    HOBI: Bergaya/berfesyen

    MISI HIDUP: Ingin jenama Alfian & De Suits dikenali seluruh dunia

    IDOLA: Pereka fesyen Amerika Syarikat, Thom Browne.

    PERTANDINGAN DISERTAI:

    1. Malaysia Footwear Design Competition (MFDC) – 2015

    2. Malaysia Fashion Week – 2016

    3. Singapore Fashion Week dan Kedah Fashion Week – 2018



    Sumber

  • Benarkah tidur pada siang hari Ramadan dikira sebagai ibadah?

    Benarkah tidur pada siang hari Ramadan dikira sebagai ibadah?

    BAGI segelintir masyarakat, ada yang menganggap tidur pada waktu siang bulan Ramadan dikira sebagai ibadah bersandarkan sebuah hadis.

    Namun, benarkah tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan itu dikira sebagai ibadah?

    Sebelum menjawab soalan itu, perlu difahami bahawa kategori ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum.

    Ibadah khusus ialah ibadah yang dikhususkan dengan dalil dan kaifiatnya yang tertentu seperti solat, puasa, haji dan selainnya.

    Sementara ibadah umum pula, ia tidak dikhususkan pensyariatannya dan tiada kaifiat khusus seperti bekerja, tidur dan selainnya.

    Tidur mengikut keperluan adalah sunah dan berpahala seperti dinyatakan di dalam sahih Muslim, Nabi Muhammad SAW melarang sahabat melakukan qiamullail sehingga tidak tidur kerana badan ada hak perlu ditunaikan.

    Adapun, tidur yang berlebihan, maka ia tidak digalakkan.

    Hadis yang berkaitan tidur dalam bulan puasa sebagai ibadah adalah berstatus lemah seperti dinyatakan oleh Imam al-Iraqi.

    Dalam sanadnya, terdapat seorang perawi bernama Sulaiman bin Amar yang terlalu lemah periwayatannya.

    Maka, tidur dalam bulan puasa dianggap seperti hari-hari lain yang mana ia mengikut keperluan.

    Jika niat ibadah kerana ALLAH SWT, maka mendapat pahala.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • CB250R & CRF250 Rally

    CB250R & CRF250 Rally

    Boon Siew Honda perkenal versi naik taraf motosikal dengan warna baharu lebih menawan

    BOON SIEW HONDA baru-baru ini memperkenalkan versi naik taraf kemas kini penawaran dua buah model di dalam kelas suku liter iaitu Honda CB250R dan CRF250 RALLY.

    Kedua-dua motosikal itu pastinya merancakkan lagi pasaran jentera bersesaran 250 liter tempatan.

    Berikut Sinar Turbo perincikan butiran mengenai dua model berkenaan.

    Honda CB250R

    Sebagai sebuah model terkecil dalam kategori Neo Sports Cafe, Honda CB250R yang telah dilancarkan pada tahun lalu kini menerima sambutan yang hangat di pasaran. CB250R baharu hadir dengan penampilan lebih sporty.

    Lampu hadapan CB250R.

    Lampu hadapan CB250R.

    Lampu utama berbentuk bulat dipadankan bersama fork berwarna tembaga. Varian berwarna merah didatangkan dengan kemasan rim berwarna tembaga yang membuatkannya semakin menyerlah. Motosikal itu dikuasakan oleh enjin empat lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair. Mampu menjana kuasa sehingga 20.3kW dan tork 23.3Nm, ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

    Candy Chromsphere Red

    Candy Chromsphere Red

    Kelengkapan standard yang ada pada model itu ialah sistem brek ABS, lampu LED depan dan belakang, panel instrumen LCD digital sepenuhnya, suspensi belakang boleh laras dan tangki bahan api berkapasiti 10.1 liter. Honda CB250R ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan perak. Harganya ialah RM23,499 (motosikal berwarna merah) dan RM22,999 (hitam/perak metalik).

    Mat Cypton Silver Metallic.

    Mat Cypton Silver Metallic.

    WARNA Graphite Black.

    WARNA Graphite Black.

    Honda CRF250 RALLY

    CRF250 RALLY ialah sebuah jentera yang dibina untuk mereka yang gemar meneroka laluan off-road pada hujung minggu. Namun, masih selesa dan praktikal juga untuk kegunaan harian. Ia sangat sesuai buat anda yang gemarkan sebuah motosikal yang ringan dan mudah dikendalikan.

    Lampu hadapan CRF250 Rally.

    Lampu hadapan CRF250 Rally.

    Sama seperti CB250R, CRF250 Rally dikuasakan oleh enjin DOHC silinder tunggal berkapasiti 249cc yang menghasilkan 24.4 hp pada 8,500 rpm dan 22.6 Nm tork pada 6,750 rpm. Cuma output kuasanya yang sedikit rendah iaitu 18.2kW dan tork 22.6Nm disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan.

    Motosikal dual-sport itu kini menampilkan rekaan jalur baharu yang diinspirasikan oleh jentera CRF450 Rally Dakar. Terdapat dua warna untuk dipilih iaitu Extreme Red dan hitam.

    CRF250 RALLY dipasang dengan beberapa ciri menarik seperti lampu LED Asymmetric, meter LCD digital sepenuhnya, cermin utama, ford USD SHOWA 43mm dan tangki minyak berkapasiti 10.1 liter. Anda boleh memiliki sebuah CRF250 Rally pada hara RM26,999 seunit.


    Sumber

  • Kegemukan terlampau Ayra

    Kegemukan terlampau Ayra

    KISAH kanak-kanak paling berat yang tercatat dalam sejarah Indonesia, Ayra Permana memang menjadi perbualan hangat. Obesitinya sangat menakutkan apabila sudah tidak mampu duduk di atas kerusi.

    Bukan sahaja media tempatan malah antarabangsa hadir membuat liputan kerana kegemukan terlampaunya.

    Berdasarkan penulisan Tribun News, ketika Ayra berusia 10 tahun, beliau telah dinobatkan sebagai kanak-kanak paling gemuk di dunia apabila mempunyai berat badan 192 kilogram (kg).

    AYRA lebih banyak berbaring ketika memiliki berat badan 192kg.

    AYRA lebih banyak berbaring ketika memiliki berat badan 192kg.

    Katakan apa sahaja, ejekan, kata-kata memerli dan dipulaukan rakan sebaya sudah tidak mampu dielakkan kanak-kanak dari Jawa Barat itu.

    Namun, itu cerita dahulu, beliau yang kini berusia 13 tahun berjaya menurunkan berat badannya kepada 92kg.

    Satu keajaiban, bukan? Apakah cerita di sebalik masalah obesiti yang dihadapi oleh kanak-kanak itu? Apa motivasi yang menyuntik dirinya untuk kurus?.

    Dalam satu temu bual, ibu Ayra, Rokayah Soemantri berkata, anaknya semasa kecil tidak mempunyai masalah berat badan langsung.

    Kanak-kanak itu juga dilahirkan secara normal dengan berat sekitar 3.8kg sahaja.

    Pun demikian, pada usia lima tahun, Ayra mula menunjukkan perubahan apabila selera makannya semakin bertambah.

    Suami Rokayah, Ade Soemantri Kusumah berkata, ketika berusia lapan hingga 10 tahun, berat anak mereka telah meningkat kepada 72kg.

    “Ayra akan makan sebanyak empat kali sehari. Dia mampu menghabiskan makanan yang disediakan untuk dua orang lelaki dewasa. Saya terpaksa gantikan nasi dengan mee segera dan beras perang untuk memenuhi selera Ayra,” luah Ade Soemantri kepada Tribun News.

    Lantaran memiliki fizikal tubuh yang cukup besar, Ayra sukar untuk tidur.

    Selama tempoh berjaga iaitu dalam masa 24 jam, Ayra mampu menghabiskan 20 gelas air oren!

    Berhenti sekolah

    Disebabkan masalah obesiti, Ayra terpaksa berhenti sekolah.

    Mana mungkin untuknya pergi ke sekolah ekoran pergerakan fizikalnya yang amat terhad. Ayra juga cepat letih, sering berasa lapar dan sukar untuk bernafas.

    Dunia kanak-kanak Ayra bagaikan dirampas. Berat badannya itu membuatkan beliau hanya boleh berjalan sejauh 30 meter sahaja. Beliau juga mengalami kesukaran berdiri, berjalan dan berpakaian.

    Melihat kesulitan anaknya itu, Ade Soemantri mengambil keputusan untuk membawa Ayra mendapatkan rawatan di Hospital Omni pada bulan Jun 2017.

    Kes Ayra kemudiannya dirujuk di Hospital Hasan Sadikin (RSHS), Kota Bandung.

    Pihak hospital telah menggerakkan satu pasukan perubatan yang terdiri daripada 13 doktor dalam bidang berlainan bagi merawat Ayra.

    Setelah dikenal pasti puncanya, Ketua Pasukan Doktor RSHS, Dr Julistyo menyatakan punca Ayra gemuk disebabkan oleh sistem lapar dan kenyangnya yang tidak seimbang.

    MAKIN KURUS. Ayra kini aktif bermain bola.

    MAKIN KURUS. Ayra kini aktif bermain bola.

    Ia berlaku sama ada gangguan genetik, tingkah laku atau disebabkan oleh sindrom Prader-Willi iaitu sindrom tidak boleh berhenti makan.

    Pihak hospital telah memberikan rawatan pembedahan pintasan usus perut bagi memendekkan usus Ayra.

    Dengan bantuan Pakar Nutrisi, Ade Rai, berat badan Ayra jatuh mendadak daripada 192kg kepada 97kg tiga bulan selepas pembedahan dijalankan.

    Penurunan berat itu juga dibantu oleh diet yang ketat yang diamalkan oleh Ayra.

    Kanak-kanak itu juga tidak dibenarkan mengambil makanan berminyak dan manis. Ayra juga perlu aktif bersukan.

    Beliau tidak lagi meminta minuman manis dan hanya buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Akhirnya, seperti yang diimpikan, Ayra kembali bersekolah dan dikatakan aktif dengan sukan bola sepak.

    Siapa sangka amalan gaya hidup sihat yang dijalani membuatkan anak muda itu bercita-cita ingin menjadi pemain bola sepak seperti penyerang dunia dari Brazil, Roberto Firmino.

    Kisah Lelaki yang berjaya kurangkan berat badan

    KES 1

    Ambil mas 90 hari untuk turun berat badan

    BAGI pemilik nama Zaini Amar, 35, beliau pernah memiliki berat badan sebanyak 119 kilogram pada tahun 2012.

    ZAINI diet pemakanan mengikut jenis darah.

    ZAINI diet pemakanan mengikut jenis darah.

    **

    Zaini berkata, ketika itu beliau tertekan dengan kehilangan adik kandung meninggal dunia kerana kemalangan.

    “Bagi melupakan peristiwa itu saya makan dengan banyak tanpa saya menyedari berhadapan dengan obesiti dan masalah kesihatan yang teruk.

    Saya juga tertekan dengan masalah bau badan dan mulut yang teruk. Bukan itu sahaja, untuk membeli pakaian baharu juga menjadi bebanan.”kata Zaini yang kini mampu mengekalkan berat badan sebanyak 88 kilogram.

    Ujar lelaki itu, diet pemakanannya mengikut jenis darah. “Dengan mengetahui jenis darah seseorang itu akan tahu makanan yang patut diambil secara banyak, sederhana dan sedikit.”katanya.

    KES 2

    ‘Saya mula amalkan diet dengan berpuasa’

    BERAT badan Zaidi Mohamad, 38, mula meningkat ketika berumur 13 tahun dan pernah mencapai 109 kilogram (kg).

    ZAIDI diet dengan berpuasa

    ZAIDI diet dengan berpuasa

    Dahulu, beliau tidak kisah akan perubahan fizikalnya itu. Namun, setelah bekerja, Zaidi mula mencari jalan untuk menurunkan berat badan.

    “Saya suka bergaya dan ingin memakai baju cantik. Sejak itu, saya mula amalkan diet dengan berpuasa.

    “Contohnya, dari pukul 1 tengah hari hingga pukul 8 pagi keesokannya, saya akan berpuasa. Saya akan buka puasa pada pukul 8 pagi hingga pukul 1 tengah hari,” kata Zaidi.

    Amalan itu sangat kena dengan dirinya kerana akhirnya lelaki itu berjaya kurus. Kini, berat badannya hanya 78kg.

    KES 3

    Turunkan berat badan kerana ‘penyakit berpakej’

    BERLAINAN pula dengan kisah Mohd Redzuan Azmi, 36. Beliau terpaksa menurunkan berat badan kerana faktor kesihatan.

    Beratnya naik secara mendadak setelah mendirikan rumah tangga sebanyak 110 kilogram.

    MOHD REDZUAN aktif bersenam di gimnasium

    MOHD REDZUAN aktif bersenam di gimnasium

    Pada mulanya, Mohd Redzuan tidak kisah, namun, setelah diuji dengan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, gout dan masalah jantung, beliau mula mencari alternatif.

    “Saya tidak mahu bergantung kepada ubat untuk mengubati penyakit. Rakan-rakan menasihati saya supaya bersenam dan turunkan berat badan,” jelasnya yang memilih untuk pergi bersenam di gimnasium.

    Setelah beberapa tahun, berat badan lelaki itu turun sebanyak 85 kilogram.



    Sumber