Category: ATTRACTION

  • Demi Malaysia Russel tinggalkan Australia

    Demi Malaysia Russel tinggalkan Australia

    KETIKA diberi tugasan untuk mewawancara atlet sukan olahraga yang dibesarkan di Australia, Russel Alexander Nasir Tain, pelbagai andaian bermain di minda penulis mengenai kemampuannya.

    Namun, sebaik melihat ketangkasannya di padang balapan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Kejohanan Malaysia Open Grand Prix baru-baru ini meleraikan segala tanda tanya.

    Misi Russel memberi kemenangan buat Malaysia

    Misi Russel memberi kemenangan buat Malaysia

    Kelibat pelari berkulit putih dengan rambut perang itu berjaya menamatkan pusingan kedua acara 200 meter dengan catatan masa 21.24 saat telah menunjukkan sisi hebatnya.

    Menyorot peribadinya, Russel yang berusia 21 tahun dilahirkan di Kuala Lumpur. Ketika berusia tiga tahun, Russel dan keluarganya telah berpindah ke Horbart, Tasmania, Australia.

    Sejak awal lagi, Russel memang memilih untuk terlibat dalam acara larian. Bakat beliau sebenarnya dicungkil oleh gurunya ketika melihat bakat remaja kacak itu yang boleh berlari dengan pantas.

    “Ketika itu, umur saya 11 tahun. Sejak itu, saya telah diberi latihan khusus oleh jurulatih bertauliah,” kata lelaki kacukan itu dalam satu wawancara khas bersama Oh! Lelaki di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini.

    Russel berhasrat ingin mengharumkan nama Malaysia

    Russel berhasrat ingin mengharumkan nama Malaysia

    Setahun selepas itu, bintangnya bersinar apabila anak muda ini menerima Anugerah Junior National U14 dalam acara 100 meter di Australia.

    Tidak berhentik setakat di situ, Russel kemudian menggondol gelaran juara pada Junior Australia sebanyak lapan kali dengan memenangi U18 pada Kejohanan Kebangsaan Junior Australia.

    “Banyak lagi sebenarnya,” kata pelajar University of the Sunshine Coast dalam jurusan Ijazah Psikologi Sukan ini sambil tertawa kecil.

    Bagaimana permulaan Russel terpilih menjadi atlet Malaysia?

    Ini semua bermula apabila dirinya berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 200 meter pada Kejohanan Trek Klasik Queensland di Brisbane, Australia.

    Russel ingin mencipta nama sebagai atlet sukan berjaya

    Russel ingin mencipta nama sebagai atlet sukan berjaya

    Russel menduduki tangga kedua dengan catatan 20.77 saat sekali gus memadam rekod terdahulu 20.90 saat yang dilakukan oleh raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.

    Kejayaan itu menjadi titik tolak kepadanya apabila beliau diberi kepercayaan untuk bertanding di tanah air sebagai atlet Malaysia.

    “Saya memang ingin mencurahkan bakat saya dengan negara kelahiran saya iaitu Malaysia.

    “Saya gembira telah menyarung jersi Malaysia. Saya rasa sudah tiba masanya saya mewakili negara. Sudah menjadi hasrat saya untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa,” kata Russel yang senang diajak berbicara walaupun sisa kepenatan masih terserlah pada wajahnya.

    Walaupun gagal menyumbangkan pingat emas pada Kejohanan Malaysia Open Grand Prix, Russel berkata berpuas hati berada di tempat kedua.

    Beliau mencatat masa 21.12 saat, tewas kepada atlet Taiwan, Tai Shenf Wei dalam pusingan ketiga.

    Ujar Russel, beliau enggan menoleh ke belakang.

    “Biasalah, tak mengapa. Saya gembira dengan keputusan baharu ini. Selepas ini, saya akan memberi tumpuan sepenuhnya pada Kejohanan Olahraga Asia di Doha tidak lama lagi.

    “Saya juga akan melihat semula apa kelemahan yang boleh saya perbaiki sebelum berdepan aksi di Doha nanti,” kata Russel bersungguh.

    Bahasa Melayu

    Anak bongsu daripada tiga beradik ini kelihatan memahami apabila diajukan soalan dalam bahasa Melayu walaupun tidak mampu menjawabnya dengan baik.

    “Saya masih belajar bercakap dalam bahasa Melayu. Walaupun ayah saya berasal dari Perak dan ibu berketurunan British, kami selesa berkomunikasi guna dalam bahasa Inggeris,” beritahu Russel.

    Di sebalik ‘kekurangan’ itu, Russel bagaimanapun amat menyukai masakan Melayu terutama nasi goreng, roti canai dan nasi lemak. Beliau juga amat bertuah apabila ibunya sememangnya amat pandai memasak dan tiada masalah untuk menyediakan masakan Melayu.

    “Alhamdulillah dengan nikmat ini. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya dalam bidang olahraga,” ujarnya mengakhiri perbualan.

    Russel (dua dari kiri) ketika beraksi dalam satu pertandingan yang disertai beberapa tahun lalu

    Russel (dua dari kiri) ketika beraksi dalam satu pertandingan yang disertai beberapa tahun lalu

    PENCAPAIAN DALAM SUKAN

    Pingat Perak acara 4×100 meter lelaki Sukan Sukma 2018 Pingat Gangsa acara 200 meter Sukan Sukma 2018

    Pingat gangsa acara 4×100 meter, Sukan Sukma 2016 Tempat ke-5 larian 100 meter, Belia Sukan Komanwel di Samoa tahun 201

    Pingat gangsa di U/400 meter 1st Asian Youth Games, tahun 2015

    NAMA: Russel Alexander Nasir Taib

    UMUR: 21

    ASAL: Kuala Lumpur

    ADIK BERADIK: Anak pertama daripada tiga beradik

    LAMAN WEBSITE SUKAN:http://www.russeltaib.com

    MISI DALAM SUKAN: Terpilih dalam Sukan Asia

    SEBAB PILIH SUKAN LARIAN: Suka berlari dan tidak suka sukan secara berpasukan.

    “Bagi saya larian hanya perlukan fokus dan kekuatan stamina, itu sebab saya pilih acara larian,” katanya



    Sumber

  • Bukan sekadar penyampai

    Bukan sekadar penyampai

    UNTUK memecah tembok kebosanan ketika memandu, radio menjadi peneman setia penulis. Lazimnya, penulis akan memilih stesen radio yang memutarkan lagu-lagu yang segar dan terkini.

    Pada satu hari, secara kebetulan, stesen radio yang biasa didengar dirasakan kurang menyengat. Lantas, penulis memutar tombol hingga berhenti pada frekuensi 91.5 FM. Jika di Lembah Klang, ia merupakan radio IKIM FM iaitu radio milik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

    Tatkala mendengar butiran percakapan beberapa penyampai, hati penulis tertanya: “Mereka memang ustaz dan ustazah atau lulusan bidang agama ke?”

    Masakan tidak, susunan kata mereka begitu teratur. Mereka juga menyampaikan dakwah dengan cara paling sopan. Inti percakapan mereka penuh berilmu bukan semberono. Paling menarik, cara pendekatan mereka bersifat santai.

    Daripada hanya mendengar suara mereka di corong radio, akhirnya penulis bersua muka dengan tiga penyampai di konti IKIM FM di Kuala Lumpur baru-baru ini. Mereka ialah Norhayati Paradi, Mohammad Suffian Amrin dan Khairi Hazwan Muhammad Asri.

    Cabaran

    NORHAYATI

    NORHAYATI

    Kepada Sinar Islam, Norhayati menjelaskan, bukan semua penyampai di stesen radio itu merupakan lulusan bidang agama. Ada yang mengambil jurusan komunikasi, cuma sebahagiannya merupakan graduan dalam jurusan syariah.

    “Saya sendiri merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    “Memang saya akui, cabaran saya lebih besar lantaran radio IKIM memang mengutamakan kandungan Islamik sedangkan saya tiada latar belakang Islamik yang begitu kukuh,” ujar beliau yang mula bergelar penyampai radio IKIM sejak tahun 2007.

    Namun, Norhayati, 38, yang turut menggalas tugas sebagai penerbit rancangan tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan.

    “Kita kena berterusan belajar dan belajar. Dari situ, ALLAH berikan hidayah dan hadiahkan kita buah fikiran. Dalam masa sama, kita sendiri boleh belajar (mendalami ilmu agama). Lama-kelamaan ia akan berkembang.

    “Saya tak nafikan, kawan-kawan di sekeliling juga banyak membantu. Contohnya, mereka mencadangkan ustaz atau ustazah mana yang sesuai bercakap tentang sesuatu topik. Segala idea untuk pengisian rancangan dibincangkan bersama untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” ujarnya yang mengendalikan slot Aspirasi bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

    Norhayati meneruskan naratif ceritanya. Kali ini, beliau galak bersembang tentang pengisian IKIM pada bulan Ramadan.

    “Sebenarnya, sejak bulan Syaaban lagi sebelum masuknya bulan Ramadan, kami telah mengetengahkan sunah Rasulullah SAW. Ada masyarakat kita lakukan apa yang pernah dilakukan Nabi Muhammad SAW tetapi dengan cara yang salah. Itulah yang kami betulkan sebelum masuknya bulan Ramadan,” jelasnya yang tidak berdepan masalah ketika bersiaran pada bulan puasa.

    Digelar ustaz

    MOHAMMAD SUFFIAN

    MOHAMMAD SUFFIAN

    Seorang lagi penyampai, Mohammad Suffian merupakan bekas pelajar undang-undang. Namun, penyanyi kumpulan nasyid Saujana itu melahirkan rasa syukur kerana dapat mengembangkan cabang dakwahnya di corong radio pula.

    Suaranya boleh didengari pada segmen Warna Pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

    Meskipun sekian lama berada di landasan dakwah, Mohammad Suffian, 38, berkata, pendekatannya diolah mengikut kesesuaian.

    “Dalam menyampaikan lagu nasyid, kita perlu jaga pitching. Namun di radio, kita perlu fokuskan kepada kandungan rancangan, program dan segmen setiap hari. Segalanya mesti memberi manfaat kepada pendengar agar ia bersesuaian dengan slogan IKIM FM iaitu Inspirasi Inforia Islami.

    “Satu lagi, kita kena sampaikan dengan penuh adab walaupun mungkin ada terselit sedikit hiburan. Apa yang disampaikan bukan sekadar info semata-mata, sebaliknya kami juga sampaikan ilmu supaya pendengar dapat mendapat faedah daripadanya,” jelasnya yang sudah sembilan tahun berkhidmat di IKIM.

    Menjawab satu soalan, Mohammad Suffian berkata, IKIM FM sedaya upaya meringankan penyampaian dakwah dengan membawa isu-isu kemasyarakatan, sosial dan tular.

    “Cuma cabarannya, bagaimana kita hendak menyampaikannya dalam bentuk yang diterima ramai? Ia mesti tidaklah terlalu lawak, (seolah-olah nampak seperti) main-main atau tidak terlalu berat. Yang penting santai tetapi sampai (mesejnya),” katanya.

    Dek kerana kerjayanya yang lebih kepada dakwah itu, Mohammad Suffian pernah dipanggil ustaz oleh masyarakat.

    “Saya kurang selesa dipanggil ustaz. Saya tak kisah orang hendak panggil saya Wak Pyan sebab saya (berketurunan) Jawa, atau panggil abang atau cikgu pun okay. Saya rasa berat dengan panggilan ustaz sebab ada ramai lagi ustaz-ustaz lain yang lebih banyak mendalami bidang syariah, akidah, usuluddin dan usul fiqh,” ujarnya.

    Sebelum mengakhiri bicara, Mohammad Suffian berkata, penting baginya menelaah topik yang akan dikendalikannya bersama rakan penyampai.

    “Kita perlu temubual tetamu yang hebat dan pakar dalam bidang masing-masing, jadi saya wajib ulangkaji sesuatu topik,” ujar beliau.

    Perubahan kerjaya

    KHAIRI HAZWAN

    KHAIRI HAZWAN

    Dalam kalangan tiga penyampai IKIM FM yang penulis temubual, Khairi Hazwan, 33, adalah yang paling muda. Beliau baru berkhidmat di IKIM FM sejak lima bulan lalu.

    Sebelum itu, beliau bekerja di sebuah stesen radio terkemuka sebagai pembaca berita serta laporan trafik.

    Menceritakan permulaan kerjayanya di radio IKIM FM, Khairi Hazwan yang mesra disapa Hazwan berkata, ia bermula secara sambilan pada tahun 2017 lagi.

    “Pada Julai 2018 pula, saya menggantikan penyampai yang bercuti pada hari Sabtu dan Ahad untuk slot 6 pagi hingga 10 pagi.

    “Pada awal tahun ini, alhamdulillah, saya diterima bekerja sebagai penyampai sepenuh masa untuk segman Warna Pagi di IKIM FM bergandingan bersama Mohammad Suffian,” ujarnya.

    Mengakui terpaksa melalui perubahan bekerja di stesen baharu dengan konsep lebih Islamik, namun Hazwan tenang menghadapinya.

    “Sejak zaman sekolah menengah lagi, saya sudah mendengar IKIM FM dan tahu bagaimana konsep radio ini. Alhamdulillah, saya sendiri pun suka dengar ceramah-ceramah agama,” jelasnya yang mengamalkan kurma dan sedikit manisan daripada buah-buahan sepanjang berpuasa supaya kekal bertenaga ketika di konti.

    Pun begitu, Hazwan tidak lari daripada dihambat rasa bimbang setiap kali hendak menyelitkan unsur-unsur Islamik di dalam penyampaiannya lebih-lebih lagi ayat al-Quran dan hadis.

    “Bukannya apa, cuma saya risau hadis itu sahih atau tidak. Kadangkala, kita juga kena buat rujukan contohnya menyemaknya di portal rasmi mufti untuk mendapatkan kepastian.

    “Semua ini jauh berbeza dengan apa yang dilalui saya ketika di tempat kerja lama saya. Namun, apabila ke udara dengan ustaz dan ilmuan, saya turut menimba ilmu,” ujar beliau.

    Kepada satu soalan, Hazwan berkata: “Saya kekalkan cara saya. Saya tak nak kerana saya masuk IKIM, saya akan terus menjadi ‘baik’. Cuma, saya hendak orang pandang IKIM tidak terlalu ‘jumud’ dan apa juga pandangan.

    “Dulu, sebelum saya menyertai keluarga IKIM, itulah yang saya fikir kerana destinasi ini ibarat tempat untuk berwacana. Saya jadi takut. Bila saya di sini, saya cuba hendak jadikan ia sebagai santai supaya generasi-generasi seperti saya berfikiran terbuka untuk menerima perkara itu.”



    Sumber

  • Radio medium memudahkan penyebaran dakwah

    Radio medium memudahkan penyebaran dakwah

    DAKWAH tidak semestinya dengan kata-kata atau tulisan, sebaliknya ia adalah apa sahaja yang menyebabkan seseorang itu kembali kepada jalan Tuhan.

    Pandangan itu dilontarkan pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz tentang pengertian dakwah.

    Di dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik.

    Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui siapa yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125) Berdasarkan ayat itu, PU Faiz berkata, jelas bahawa dakwah bermaksud menyeru atau mengajak.

    “Walaupun seseorang tak bercakap tetapi hanya dengan perbuatan, perbuatan itu sebenarnya lebih nyata dan jelas.

    “Seseorang yang berdakwah atau dipanggil dai’ mestilah berdakwah seperti mana dilakukan ketua pendakwah kita iaitu Rasulullah SAW sebagaimana disebutkan di dalam Surah al-Ahzab, ayat 46,” katanya kepada Sinar Islam.

    USTAZ HANAFI

    USTAZ HANAFI

    Sementara itu, seorang lagi tokoh agama Ustaz Hanafiah Abd Malek atau Ustaz Hanafi berkata, dakwah melalui corong radio merupakan satu medium yang memudahkan dunia dakwah.

    “Radio boleh didengari di dalam kereta, kenderaan, telefon dan sebagainya. Ya, lebih memudahkan. Namun, terpulang kepada kebijaksanaan stesen radio itu untuk selangi (penyampaian) dengan lagu-lagu ataupun kaedah-kaedah tertentu. Kalau boleh, biarlah kaedah itu tidak menyalahi atau bercanggah dengan Islam,” ujar beliau.



    Sumber

  • Tip betul memilih tali leher

    Tip betul memilih tali leher

    PEMAKAIAN tali leher membuatkan lelaki lebih segak, berkarisma terutama ketika menghadiri temu duga, sesi pembentangan kerja, bertemu klien dan sebagainya. Bagi mencapai maksud itu, anda harus tahu cara memilih tali leher yang sesuai dipakai.

    Berikut ialah tip memilih tali leher dengan tepat:

    1. Kenali saiz tali leher

    Terdapat tiga jenis saiz tali leher yang ada di pasaran iaitu jenis standard (saiz 3.75 – 4 inci), narrow (saiz 2.75 – 3 inci) dan skinny (saiz 1.75 – 2 inci). Lelaki berbadan plus saiz sesuai memakai tali leher standard. Sementara bagi lelaki berbadan sederhana lebih segak mengenakan tali leher jenis narrow dan berbadan kurus sesuai dengan jenis skinny.

    2. Pilih ikut baju

    Warna, corak dan kemeja merupakan panduan asas yang anda harus tahu untuk memilih tali leher yang sesuai. Jika memakai baju berwarna neutral atau lembut, pilih tali leher warna terang. Sekiranya, memakai baju bercorak dan berbelang, tali leher plain lebih sepadan.

    3. Kedudukan tali leher

    Paras atau kedudukan tali leher seeloknya mencecah kepala tali pinggang. Tali leher terlalu pendek menampakkan sisi diri tidak matang. Tali leher yang dipakai terlalu panjang pula akan membuatkan anda kelihatan selekeh.

    4. Perlu ada dimple

    Apa yang dimasukkan dengan dimple? Dimple adalah lekukan di pangkal ikatan. Pemakaian tali leher yang baik apabila terdapat dimple. Terdapat dua cara untuk menghasilkan dimple. Pertama, anda harus menarik tali leher ke atas untuk dikemaskan pada leher. Kemudian letak jari telunjuk di atas tali leher dan tarik perlahan-lahan. Jari telunjuk akan memastikan alur dimple terbentuk. Cara kedua, menarik tali leher ke atas, lipatkan tali leher dan tarik perlahan-lahan.

    5.Cuba dahulu sebelum membeli

    Sebelum membeli tali leher, pastikan anda mencubanya terlebih dahulu. Perhatikan sama ada tali leher itu menarik atau sepadan dengan anda.

    6.Tali leher dipotong elok

    Pastikan tali leher yang dibeli itu dipotong elok. Bagi mengetahui tali leher itu berada dalam kondisi yang baik atau tidak, caranya dengan memegang hujung tali leher yang paling tirus dan biarkan ia jatuh ke bawah. Jika tali leher tidak berpintal, itu bermakna ia telah dipotong dengan baik.



    Sumber

  • Iftar bersama bukan Islam

    Iftar bersama bukan Islam

    KETIKA Ramadan tahun lalu, saya menjalani ibadah puasa di daerah Mie, Jepun. Sebulan lamanya saya bersama masyarakat di sana mengimarahkan Ramadan. Kami bertadarus al-Quran, tazkirah, iftar, solat tarawih dan sahur. Banyak pengalaman menarik dan baharu yang saya lalui.

    Salah satu yang menarik ialah iftar. Seperti kebanyakan masjid dan surau di Malaysia, Masjid Mie turut menyediakan juadah iftar percuma setiap hari. Komuniti umat Islam di situ akan bergilir-gilir memasak.

    Menjelang waktu Maghrib, masjid berkenaan akan dipenuhi dengan masyarakat Muslim setempat yang hadir untuk berbuka bersama. Namun, apa yang berbeza ialah majlis iftar itu akan disertai oleh masyarakat bukan Islam. Suasana itu berlaku hampir setiap hari.

    Mereka yang datang ada terdiri dalam kalangan guru-guru sekolah berdekatan, ada sesetengahnya yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat tertentu serta tidak kurang juga yang hadir secara individu.

    Pihak pengurusan masjid pula menyambut dan meraikan mereka dengan layanan yang baik dan mesra. Begitu juga dengan komuniti Islam yang ada di situ. Mereka saling bertegur sapa dan menerangkan sedikit sebanyak tentang amalan berpuasa yang Islam tetapkan.

    Mungkin ada yang tertanya, bolehkah orang bukan Islam turut serta iftar bersama? Jadi, mari kita lihat bagaimana Islam mengajar kita bentuk berinteraksi dengan orang bukan Islam. Prinsip asasnya seperti di dalam ayat berikut:

    Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9)

    Berdasarkan ayat itu, Islam tidak melarang kita untuk berbuat baik kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi kita.

    Sifat baik

    Mengajak berbuka bersama adalah salah satu sifat baik yang boleh ditonjolkan sempena Ramadan ini. Apatah lagi, orang bukan Islam tersebut ialah jiran-jiran kita, rakan satu pejabat, komuniti yang berdekatan masjid dan sebagainya.

    Bahkan, menjemput mereka untuk turut bersama menyertai majlis iftar merupakan salah satu cara kita menzahirkan sikap Islam yang sentiasa mengangkat nilai harmoni dalam meraikan perbezaan agama.

    Ia juga merupakan peluang dakwah yang boleh dimanfaatkan untuk kita kongsikan dengan mereka khususnya tentang ibadah puasa.

    Cuma untuk meraikan kehadiran mereka, janganlah sampai kita pula menyediakan makanan atau minuman yang dilarang oleh Islam. Tidak perlu sampai ke tahap itu.

    Begitu juga solat. Jangan sampai kita melengahkan atau mengabaikan solat dengan alasan mahu meraikan mereka. Tunjukkan bagaimana Islam mengajar kita menjadi muslim yang komited dengan ajaran agama.

    Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan kerahmatan. Maka, mari kita zahirkan rahmat tersebut dalam bentuk hubungan baik kita dengan masyarakat bukan Islam.

    Islam itu indah, maka keindahan tersebut perlu diserlahkan dengan sikap kita sebagai Muslim. Tunjukkanlah keindahan itu kepada mereka yang bukan Islam.

    ***Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.



    Sumber

  • Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dicintai ALLAH SWT

    Berbuat baik kepada ibu bapa amalan dicintai ALLAH SWT

    ALLAH SWT memerintahkan hamba-Nya agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mentaati mereka selagi mana perkara yang diperintahkan tidak bercanggah dengan syarak.

    Ini kerana ibu bapa telah mencurahkan jasa bakti yang amat besar kepada anak-anak sehingga mereka berkorban nyawa, tenaga dan harta.

    Kedudukan ibu bapa di sisi ALLAH amatlah tinggi sehinggakan ALLAH meletakkan perintah berbuat baik kepada ibu bapa selepas atau bersebelahan dengan perintah tidak menyembah selain daripada ALLAH dan mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun.

    Perintah yang dimaksudkan sebagaimana firman-Nya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

    Malah, berbuat baik kepada ibu bapa merupakan antara amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA yang mana beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW apakah amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT? Lalu baginda menjawab: “Mengerjakan solat pada waktunya”. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: “Berbuat baik kepada ibu bapa.” Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: “Jihad di jalan ALLAH.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)Bagi sesiapa yang sudah kehilangan kedua ibu bapanya, ia sama sekali tidak menghalang seseorang itu berbakti dan berbuat baik kepada orang tuanya. Antaranya sentiasa mendoakan pengampunan dan kesejahteraan mereka di alam barzakh. Amalan itu disebut jelas di dalam hadis baginda SAW: “Tiga amalan seseorang yang tidak akan terputus meskipun sudah meninggal dunia iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.” (Riwayat Muslim)

    Selain itu, anak-anak disarankan menyedekahkan pahala amalan-amalan soleh kepada arwah orang tua seperti bacaan al-Quran, sedekah, umrah dan sebagainya.

    Ia berdasarkan pendapat majoriti dalam kalangan ulama termasuk sebahagian ulama Mazhab Syafie yang berpendapat bahawa sampai pahala bacaan al-Quran dan seumpamanya kepada si mati.

    Ada beberapa perkara yang kurang diambil cakna oleh masyarakat tentang cara berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah tiada iaitu menunaikan wasiat dan hajat mereka yang belum tercapai, menyambung silaturahim saudara-mara ibu bapa dan berbuat baik dengan orang ada hubungan baik dan rapat kepada kedua ibu bapa.

    Mengapa perlu anak-anak menjalinkan hubungan silaturahim dan ukhuwah seperti itu? Antaranya kerana amalan mulia tersebut menjaga nama ibu bapa agar sentiasa baik dan diingati oleh sanak-saudara dan sahabat-handai arwah ibu bapa atas kebaikan yang ditunjukkan oleh anak-anak mereka.

    Secara tidak langsung, ia juga akan menyebabkan mereka mengingati kedua-duanya yang telah pergi dan mendoakan pengampunan dan kesejahteraan untuk mereka di alam barzakh. Justeru, berbaktilah kepada ibu bapa kerana ganjarannya tidak ternilai.

    ***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • Proton catat jualan kedua paling laris

    Proton catat jualan kedua paling laris

    PERUSAHAAN Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) sekali lagi kembali menjadi antara dua jenama automotif yang mencatatkan jualan paling laris pada April 2019 apabila angkanya melonjak 75 peratus tahun ke tahun atau 14.1 peratus bulan ke bulan kepada 7,011 unit.

    Syarikat pembuat kereta nasional itu berada di kedudukan kedua bagi jualan bulanan buat kali pertama sejak Februari 2016.

    Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Proton berkata, prestasi jualan yang kukuh dicatatkan model Saga dan X70 adalah pemacu utama bagi pencapaian tersebut, selain memperoleh dorongan jualan susulan pelancaran rasmi model Iriz dan Persona 2019 pada 23 April.

    “Prestasi itu dapat dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) mengalami penurunan apabila susut 6.2 peratus bulan ke bulan sekali gus menjadikan Proton sebagai satu-satunya jenama automotif yang berada pada kedudukan lima teratas merekodkan pertumbuhan positif,” menurut syarikat itu.

    Malah Saga, menurutnya, telah menggantikan kedudukan X70 sebagai model Proton paling laris selepas 3,047 unit terjual pada April 2019 dan buat kali pertama melepasi jumlah 3,000 unit sejak Ogos 2018 semasa tempoh sifar cukai barang dan perkhidmatan selama tiga bulan.

    “Peningkatan jualan itu menunjukkan penambahbaikan kualiti yang akan terus dilakukan ke atas kereta itu, di samping kualiti perkhidmatan pelanggan dan jualan lebih baik di 79 pusat 3S/4S, paling banyak menggunakan produk mana-mana pengeluar peralatan tulen di Malaysia dalam rangkaian jualan Proton,” katanya.

    Mengenai X70, Proton berkata, ia kekal sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di Malaysia tahun ini menguasai 24 peratus daripada keseluruhan segmen.

    “Berdasarkan 11,133 unit telah diserahkan setakat ini pada 2019, Proton X70 merupakan juara dalam kategori SUV premium (segmen C) dan pendahulu bagi kategori SUV eksekutif (harga di bawah RM100,000),” menurut kenyataan itu lagi.



    Sumber

  • Lelaki pendek umur?

    Lelaki pendek umur?

    BARU-BARU ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan satu kajian perihal jangka hayat lelaki. Sebenarnya, ia hanya sekadar penemuan. Terpulang kepada kita untuk menilainya.

    Antara Intisari kajian bertajuk Kesihatan Dunia 2019 itu ialah:

    Kaum lelaki mati lebih awal daripada wanita

    Jika lelaki dan wanita mendapat penyakit sama, lelaki kurang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan.

    75 peratus kadar kematian bunuh diri global adalah dalam kalangan lelaki.

    Kepada lelaki yang tinggal di negara berpendapatan rendah, mereka juga kurang peduli mendapatkan khidmat kesihatan.

    WHO dalam kajiannya juga mengatakan, wanita boleh hidup lebih lama di mana-mana negara di dunia

    Hasil penyelidikan itu memang perit untuk ditelan. Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, penulis mendapatkan pandangan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Dr Zarina Mat Saad mengenai dapatan kajian berkenaan.

    Dr Zarina Mat Saad

    Dr Zarina Mat Saad

    Kepada Oh! Lelaki, Dr Zarina berkata, beliau bersetuju kerana senario itu berlaku di Malaysia sendiri. Ia diukur berdasarkan kepada jangka hayat penduduk.

    Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan kematian dicatatkan lebih tinggi bagi kaum lelaki iaitu 16 peratus berbanding wanita (10.5 peratus) bagi tahun 2017.

    Kaum lelaki mendominasi carta sebagai pesakit jantung tertinggi.

    Kaum lelaki mendominasi carta sebagai pesakit jantung tertinggi.

    Antara puncanya ialah akibat penyakit jantung, pneumonia dan kemalangan jalan raya.

    Kaum India mempunyai peratusan tertinggi yang menghidap penyakit jantung (19.5 peratus) berbanding Bumiputera (13.3 peratus) dan Cina (13.2 peratus).

    Dr Zarina berkata, jangka hayat bayi perempuan yang lahir pada 2018 dijangka hidup sehingga 77.6 tahun, manakala bagi bayi lelaki adalah sehingga 72.7 tahun. Dengan kata lain, wanita akan hidup lebih lama berbanding lelaki.

    “Dari segi etnik pula, kaum Cina dijangka hidup sehingga umur 77.3 tahun, Bumiputera (73.8 tahun) sementara India (72.5 tahun).

    “Disebabkan jangka hayat semakin meningkat, Malaysia bakal mempunyai penduduk berumur 65 tahun dan ke atas. Ia meningkat dengan ketara iaitu dari lima peratus pada tahun 2010 kepada 14.5 peratus pada tahun 2040,” katanya.

    Dr Zarina terus memperkuatkan hujahnya. Beliau berkata, wanita mempunyai kelebihan dari segi biologi, tingkah laku dan persekitaran yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih lama.

    Wanita yang dimaksudkan bukan sahaja merujuk kepada yang tinggal di Malaysia tetapi negara-negara lain seperti Indonesia, Pakistan dan China.

    Sejauhmana benarnya lelaki kurang mengambil berat soal kesihatan diri sendiri seperti yang dilaporkan dalam kajian WHO?

    Jawab Dr Zarina, pada dasarnya, peratusan penyakit fizikal yang tinggi lebih terarah kepada wanita. Pun demikian, wanita lebih kerap merujuk kepada doktor dan lebih lama tinggal di hospital.

    “Wanita juga akan lebih tabah dan berusaha mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Dengan adanya rawatan pencegahan dan teknologi perubatan yang amat baik di Malaysia menyebabkan kaum Hawa mengambil peluang itu dengan mendapatkan rawatan dan akhirnya mampu hidup lebih lama,” katanya.

    Dr Zarina juga menyentuh mengenai gaya hidup dan rutin seorang lelaki.

    Ujarnya, data kajian secara jelas menunjukkan bahawa lelaki lebih ramai merokok.

    “Kemungkinan ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kaum lelaki menghidap pelbagai penyakit.

    Begitu juga dengan faktor pemakanan, taraf pendidikan dan keturunan si lelaki termasuk status ekonomi yang mempengaruhi jangka hayatnya,” katanya.

    Lelaki kurang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan punca mati awal

    Lelaki kurang mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan punca mati awal

    Tidak setuju

    Bagaimanapun, pandangan Dr Zarina tidak selari dengan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Tengku Aizan Hamid.

    Prof Datuk Dr Tengku Aizan Hamid

    Prof Datuk Dr Tengku Aizan Hamid

    Tengku Aizan dengan nada tegas berkata, beliau tidak bersetuju dengan fakta lelaki lebih cepat meninggal dunia berbanding wanita.

    “Soal mati itu ditentukan oleh Allah SWT. Dalam hal ini, pelbagai faktor yang menyumbang kepada jangka hayat. Antaranya faktor genetik, gaya hidup, termasuk pemakanan, merokok, tidur dan pekerjaan.

    “Jika pesakit itu dapat mengatasinya, mereka akan menikmati umur yang panjang. Namun, jika mengamalkan gaya hidup tidak sihat, maka umur kita mungkin pendek,” kata Tengku Aizan yang merujuk kepada kedua-dua jantina.

    Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penyakit tidak berjangkit (NCD) dikesan antara menjadi penyebab utama purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun sahaja.

    Beliau berkata, hal ini kerana kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap NCD serta komplikasinya dilihat masih rendah berbanding rakyat negara lain yang sentiasa berusaha memanjangkan jangka hayat mereka.

    Mengambil contoh darah tinggi serta diabetes daripada kelompok penyakit NCD, Dr Dzulkefly memberitahu, 50 peratus daripada pesakit yang dirawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyedari yang mereka menghidapi penyakit berkenaan dan perkara itu dilihat amat membimbangkan.

    “Hari ini, (jangka hayat) rakyat kita sudah ‘tersekat’ untuk satu dekad berbanding negara lain iaitu pada purata umur 75 tahun yang mana individu lelaki biasanya mencapai usia sehingga 73 tahun manakala wanita 78 tahun.

    “Sebab utama ini berlaku akibat NCD terutama penyakit darah tinggi yang membawa komplikasi serangan jantung, diabetes akan berakhir dengan kegagalan buah pinggang, penyakit berkaitan kolestrol dan pelbagai lagi. Punca kedua (yang memendekkan jangka hayat) baru kanser,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Memberi contoh Singapura, Dr Dzulkefly berkata, negara berkenaan amat serius dalam menangani penyakit NCD sehingga melancarkan ‘perang’ ke atas diabetes yang mana setiap rakyatnya diwajibkan menjalani ujian saringan kesihatan.

    Walaupun Malaysia belum sampai ke tahap itu, beliau berkata, KKM sentiasa memberi khidmat terbaik.

    “KKM boleh anjurkan pelbagai program tetapi jika rakyat tetap tak mahu terlibat malah tak mahu juga mengikuti rawatan susulan di fasiliti kita.

    “Saya mahu mengingatkan (kepada semua rakyat), kita mungkin lihat penyakit diabetes sebagai biasa tapi komplikasinya seperti perlu melalui proses dialisis, strok mahupun amputasi anggota badan, ia pasti akan mengganggu kualiti hidup,” katanya.

    Kajian Universiti Harvard & Institut Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mengenai jangka hayat rakyat Malaysia

    -Hayat kaum lelaki Malaysia adalah 73 tahun manakala kaum wanita 79 tahun berbanding rakyat di beberapa negara jiran.

    -Penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, kolesterol tinggi dalam darah, darah tinggi, diabetes menjadi salah satu pembunuh kepada rakyat di negara ini.

    -Purata umur rakyat Malaysia berpotensi menghidap penyakit jantung adalah pada usia 58 tahun berbanding 68 tahun bagi rakyat Thailand, Singapura (61 tahun), China (63 tahun), Amerika Asyarikat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun).

    Mengikut kajian Institut Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015, sebanyak 47.7 peratus bersamaan 9.6 juta rakyat Malaysia mempunyai penyakit tidak berjangkit NCDs.

    -Lebih membimbangkan, 38.6 peratus bersamaan 7.8 juta penduduk yang menghidap penyakit NCD hanya mengetahui tahap kesihatan mereka selepas menjalankan diagnosis kesihatan.

    -Ia sekali gus membuktikan, kesedaran rakyat dalam menjaga pemakanan serta cara hidup yang lebih sihat bagi mengelak menghidap penyakit NCDs amat kurang.

    Sumber: Teks ucapan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 27 Mac 2019

    Sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan

    Sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan

    Tip lelaki boleh menikmati hidup lebih lama

    1. Mengamalkan gaya hidup sihat seperti menjaga pemakanan dan menjauhi gaya hidup berisiko seperti merokok dan mengambil minuman alkohol.

    2. Bersenam.

    3. Mempunyai pemikiran yang positif.

    4. Membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Apabila menghidap sebarang penyakit, perlu mendapat rawatan yang sepatutnya daripada doktor perubatan.

    5. Bijak mengurus tekanan, dapatkan sokongan daripada profesional, ahli keluarga atau rakan yang boleh dipercayai.

    6. Berekreasi. Melakukan sesuatu perkara yang disukai atau mempunyai hobi. Contoh, melancong, berkebun, membela binatang ternakan dan sebagainya.

    7. Berdoa.



    Sumber

  • Jangan berlebihan berhias pada Hari Raya

    Jangan berlebihan berhias pada Hari Raya

    TATKALA tibanya Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti ramai yang akan menggayakan baju baharu dan cantik.

    Di sisi agama, apakah hukumnya jika kita berhias diri pada Hari Raya? Adakah ia dituntut Islam untuk berpakaian cantik dan sempurna?

    Dalam hal itu, terdapat hadis sahih riwayat Saidina Ibnu Umar bahawa ayahnya Saidina Umar al-Khattab, pernah menghadiahkan pakaian jubah sutera kepada Nabi Muhammad SAW pada hari raya. Namun, Nabi Muhammad SAW menolaknya kerana lelaki tidak dibenarkan memakai sutera.

    Apapun, menghadiahkan pakaian cantik itu pernah berlaku pada zaman baginda.

    Telah disabitkan bahawa Saidina Ibn Umar memakai pakai yang paling baik pada hari raya. Maka, berhias dengan mandi, memakai pakaian yang cantik, menghias diri merupakan sunah yang dituntut pada Aidilfitri.

    Namun, janganlah sehingga membazir, berhutang dan berhabisan duit untuk mendapatkannya. Kita dituntut memakai pakaian yang baik, bukan pakaian yang baharu setiap kali menjelang raya.

    Di samping itu, para wanita juga diingatkan memakai pakaian yang menutup aurat dan tidak berlebihan dalam berhias.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • HR-V RS tampil versi ruang kabin serba hitam

    HR-V RS tampil versi ruang kabin serba hitam

    HONDA Malaysia memperkenalkan versi ruang dalaman kabin hitam untuk varian SUV popularnya, HR-V RS yang kini tampil lebih sporty. Model kabin serba hitam itu diperkenalkan selepas mendapat maklum balas pelanggan yang mahukan sentuhan lebih elehan bagi menggantikan warna kabin Ivory (putih kekuningan) sebelumnya.

    Perubahan kemasan hitam dapat dilihat pada konsol tengah dan panel depan termasuk kerusi depan dan belakang serta pelapik panel pintu.

    Lebih 12,200 tempahan diterima dengan 7,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan sejak dilancarkan secara rasmi pada Januari lalu.

    Angka itu mewakili hampir 60 peratus sasaran jualan tahunan Honda Malaysia dalam tempoh empat bulan sahaja.

    HR-V RS dikuasakan enjin 1.8L SOHC i-VTEC dengan transmisi variabel berterusan (CVT) Earth Dreams Technology untuk keseimbangan prestasi dan lebih penjimatan bahan api selain dilengkapkan ciri baharu iaitu sistem stereng Nisbah Gear Variabel untuk pemanduan lebih bergaya.

    Penampilan versi RS diserlahkan lagi menerusi rim aloi dual tona 18-inci dengan gril depan manakala bampar depan dan belakang diberikan semburan cat hitam. Aspek keselamatan yang komprehensif pula masih kekal dengan enam beg udara, Emergency Stop Signal (ESS), Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) ISOFIX dan banyak lagi.



    Sumber