Category: ATTRACTION

  • Proton lancar pusat 3S baharu di Seremban

    Proton lancar pusat 3S baharu di Seremban

    SETIA Auto Drive Sdn Bhd, cawangan pengedar 3S (jualan, servis dan alat ganti) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) dibuka secara rasmi di Taman Perindustrian Galla baru-baru ini.

    Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

    Pengerusi Setia Auto Drive Sdn Bhd, Datuk Yap Kat Boon berkata, perkembangan Proton begitu memberi dorongan dan mengujakan apabila pengguna kini telah mengubah persepsi mereka terhadap jenama tersebut.

    “Sebelum ini, jenama syarikat bukan pilihan utama pelanggan tetapi kini pendapat mereka telah berubah dan saya amat berpuas hati untuk menjadi sebahagian daripada jenama ini. “Selain ia adalah kereta nasional, saya berbangga kerana model baharu Proton dapat memberi manfaat dan menambah baik kehidupan pelanggan melalui ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan serta teknologi terkini yang boleh didapati dalam setiap kereta Proton hari ini,” katanya.

    Cawangan Setia Auto Drive dibina dengan kos pelaburan hampir RM3 juta termasuk kos pengubahsuaian bangunan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Wi-Fi percuma, ruang untuk mengecas komputer riba dan menunggu yang selesa.

    Cawangan tersebut turut dilengkapi dengan enam petak penyelenggaraan, enam servis pengangkat, sembilan kakitangan jualan dan lapan kakitangan servis.

    Sehingga kini, Proton mempunyai 79 cawangan 3S/4S di seluruh negara untuk memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman jualan dan servis yang optimum.



    Sumber

  • Pakai kaca mata ikut bentuk wajah

    Pakai kaca mata ikut bentuk wajah

    Pelbagai pilihan jenama kaca mata gelap mahupun optik tampil dengan rekaan yang begitu menarik. Usah takut untuk memilih kaca mata yang dikehendaki, yang penting anda harus gayakan ikut bentuk wajah.

    Kaji gaya anda yang mana satu:

    1) Wajah bersegi/berpetak

    Anda disarankan memakai kaca mata berbentuk bulat, bujur klasik atau mata kucing. Elak memakai kanta mata hitam aviator kerana menampakkan dagu dan pipi lebih lebar.

    Sesuai untuk mereka memiliki wajah bersegi/berpetak

    Sesuai untuk mereka memiliki wajah bersegi/berpetak

    2) Wajah segi tiga

    Pilih kaca mata sama seperti bentuk wajah bersegi atau berpetak. Anda juga boleh memilih kaca mata yang berbentuk bulat. Lebih bulat lebih baik.

    3) Wajah bujur

    Boleh gayakan kaca mata pelbagai bentuk unik. Namun, elak memakai kaca mata terlalu bujur kerana akan menampakkan bentuk wajah tidak seimbang.

    Sesuai untuk mereka memiliki wajah bujur

    Sesuai untuk mereka memiliki wajah bujur

    4) Wajah bulat

    Pilihan kaca mata bersegi amat sesuai untuk wajah sebegini. Namun harus berwaspada daripada memilih bingkai yang berbentuk bulat kerana ia akan membuatkan muka anda kelihatan bulat.

    5) Wajah bentuk seperti hati

    Gayakan cermin mata yang lebih simple dan tidak serabut kerana bahagian dahi anda sudah cukup luas. Cermin mata tanpa bingkai atau bentuk kucing paling sesuai untuk anda.

    Sesuai untuk mereka memiliki wajah bentuk seperti hati

    Sesuai untuk mereka memiliki wajah bentuk seperti hati



    Sumber

  • Tradisi malam tujuh likur menurut perspektif Islam

    Tradisi malam tujuh likur menurut perspektif Islam

    MENJELANG penghujung Ramadan, menjadi tradisi masyarakat Melayu akan memasang lampu pelita.

    Kebiasaannya pelita dipasang semasa 10 malam terakhir Ramadan yang dipanggil sebagai malam tujuh likur oleh kebanyakan mereka, lebih-lebih lagi pada 27 Ramadan.

    Apakah amalan ini bercanggah dengan apa yang dianjurkan dalam Islam?

    Sebenarnya, Nabi Muhammad SAW sangat menganjurkan umatnya untuk menambahkan lagi ibadah pada 10 malam terakhir bulan Ramadan.

    Ia kerana pada salah satu malam ganjilnya ada Lailatulqadar yang mana pahala bagi sesiapa melakukan ibadah padanya lebih baik daripada 1,000 bulan.

    Baginda SAW bersabda dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari: “Carilah Lailatulqadar di malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.”

    Imam al-Tabari dan Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan Surah al-Qadr, mereka menyatakan, ibadah lailatul al-Qadr lebih baik daripada 1,000 bulan.

    Adapun, memasang pelita pada 10 terakhir Ramadan dengan tujuan sekadar memeriahkan rumah dan menambahkan keceriaan adalah diharuskan.

    Namun, jika dipasang dengan iktikad tertentu seperti memudahkan malaikat masuk ke rumah atau memudahkan roh si mati pulang ke rumah, maka ia tidak diharuskan.

    Masyarakat perlulah memfokuskan ibadah dan amal pada 10 terakhir Ramadan agar memperoleh lailatul al-Qadr.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



    Sumber

  • Grab dan Ninja Malaysia tawar perkhidmatan GrabExpress

    Grab dan Ninja Malaysia tawar perkhidmatan GrabExpress

    SYARIKAT e-hailing atau Grab bekerjasama dengan Ninja Van bagi mengintegrasikan perkhidmatan logistik Ninja Van ke aplikasi mudah alih melalui GrabExpress.

    Menurut Grab, perkhidmatan logistik Ninja Van akan tersedia di aplikasi Grab melalui GrabExpress pada suku kedua tahun ini.

    Dengan menyatukan dua penyedia penyelesaian logistik terkemuka di Asia Tenggara menerusi aplikasi Grab, kerjasama itu akan dapat memenuhi keperluan perniagaan kecil dan sederhana, penjual perdagangan sosial serta pengguna. Perkhidmatan yang akan dilancarkan secara berperingkat di seluruh rantau itu akan diperluaskan dengan memasukkan lebih banyak pilihan seperti penghantaran berjadual di seluruh negara serta penghantaran antara bandar.

    Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van, Lai Chang Wen berkata, pihaknya teruja dengan perkongsian itu dan berharap ia akan mengubah perniagaan yang lebih kecil dan komuniti jualan sosial di Asia Tenggara.

    “Malah, ia membolehkan pengguna menghantar bungkusan dari semasa ke semasa dengan menggunakan pangkalan pengguna yang luas. “Kami menawarkan pengguna cara yang paling mudah untuk mengakses perkhidmatan logistik lengkap kami dan menyediakan perkhidmatan penyampaian percuma yang boleh dipercayai,” katanya.

    Sementara itu, Ketua GrabExpress, Adelene Foo berkata, oleh kerana e-dagang dan perdagangan sosial semakin berkembang di Asia Tenggara, Grab komited untuk membolehkan jutaan usahawan mikro e-dagang menilai perniagaan mereka di rantau ini melalui GrabExpress.

    “Jalinan kerjasama dengan Ninja Van ini membolehkan kami menawarkan pelbagai pilihan penghantaran di Asia Tenggara daripada aplikasi Grab dan memudahkan para penjual, pembeli dan pedagang untuk menghantar dan menerima bungkusan,” kata Foo.



    Sumber

  • Telur rebus kicap di Jogja, nasi minyak di KL

    Telur rebus kicap di Jogja, nasi minyak di KL

    Aura Rumah ALLAH pada bulan Ramadan sangat luar biasa. Suara alunan al-Quran bergema tidak berhenti. Daripada budak kecil, anak muda, warga tua, mualaf hingga kepada warga asing bersatu dengan satu misi penting.

    Masing-masing seboleh-bolehnya mahu menggenggam infiniti pahala. Bahasa tubuh setiap jemaah memberi refleksi bahawa mereka ialah pemburu syurga.

    Di Rumah ALLAH, sarat dengan pelbagai cerita dan suasana. Kelazimannya, saya terhibur mendengar suara riuh kanak-kanak memecah keheningan masjid. Ada yang menempelak. Bising. Alah, usahlah dimarahi budak-budak itu. Lama-kelamaan, mereka akan mengerti masjid itu untuk apa.

    Sekali-sekala saya mendengar pelajar tahfiz yang sedang mengaji melabuhkan kehibaan mereka dengan tangisan kecil. Barangkali, maksud di sebalik kalimah al-Quran begitu menusuk kalbu. Dataran hati saya bergetar melihat perlakuan indah itu.

    Di Rumah ALLAH juga, darjat seseorang tidak dinilai. ‘Filosofi’ itu nampaknya difahami. Saya melihat beberapa tokoh terkenal hadir tanpa protokol. Seperti kelaziman, pada bulan Ramadan, masjid bertalu arus menerima tajaan makanan daripada para dermawan dan syarikat korporat.

    Menunya memang lazat seperti kari ayam, ikan masak lemak, nasi tomato dan nasi minyak. Pakej dilengkapkan lagi dengan kuih-muih dan air. Ketika berada di sebuah masjid di Kuala Lumpur, saya bersembang dengan seorang wanita dari Cheras.

    Katanya, beliau dan tiga anaknya akan menaiki LRT setiap hari untuk berbuka puasa di masjid. Wanita itu sambil memegang sebungkus nasi tomato berkata, pada bulan Ramadanlah mereka anak-beranak boleh makan sedap. Tangkai tas yang hampir putus dan selipar bersaiz besar daripada kaki yang dipakai dua anaknya membuatkan saya mengerti mengapa kata-kata itu lahir daripada mulutnya.

    Melihat hidangan hebat-hebat disajikan itu, memori saya terimbau yang kenangan berpuasa di Jogjakarta, Indonesia. Saya memberitahu rakan baik saya (anak jati Jogja) hasrat mahu bertarawih di beberapa masjid di sana.Impian itu ditunaikan dengan membawa saya ke sebuah masjid yang sudah berusia lebih 100 tahun.

    Sebelum itu, saya dibawa ke satu lorong (seperti bazar Ramadan) untuk membeli juadah. Saya pelik, rakan saya tidak membeli apa-pun. Tidaklah saya bertanya kenapa? Saya? Berjenis-jenis kuih dibeli. Alunan Pada jam 5 petang, masjid itu sudah dipenuhi ramai jemaah.

    Saya tidak mendengar suara hingar-bingar orang atau kanak-kanak bercakap. Sebaliknya, hanyalah alunan kalam suci kedengaran melalui pembesar suara. Ramai juga khusyuk membaca al-Quran. Petugas-petugas masjid pula bertungkus-lumus memasak lauk dan nasi.

    Setengah jam sebelum azan bergema, semua beratur mendapatkan makanan. Tiada ‘adegan’ meminta ekstra lauk atau nasi. Disebabkan itulah kali pertama saya berbuka puasa di bumi asing, saya teruja. Namun, sebaik saya membuka kotak makanan, isinya cuma nasi putih dan telur rebus masak kicap.

    Semua orang bersungguh-sungguh menikmatinya kecuali saya yang terpinga-pinga. Tidak mahu dianggap memilih, saya ‘gagahkan’ diri untuk makan. Tekak saya tidak boleh menerimanya lalu saya capai makanan yang dibeli tadi. Sebelum itu, saya menoleh ke kiri dan ke kanan.

    Nampaknya, seperti tiada seorang pun yang membawa makanan lain kecuali saya. Seperti ada yang tidak kena, saya ikat kembali plastik kuih dan terus menghabiskan makanan masjid. Selepas bertarawih, rakan saya membawa saya ke sebuah kedai kopi hipster.

    Mazlina Abdul Majid

    Mazlina Abdul Majid

    Saya sudah tidak lalu makan. Di benak saya terlalu banyak soalan yang mahu diajukan kepadanya. Tidak sempat saya membuka mulut, rakan saya yang kini ibu kepada dua zuriat berkata: “Lynn, yang pertama, masjid itu sebuah masjid sederhana. Biaya kewangan hasil keikhlasan hati manusia. Berapa yang diperoleh, itulah yang diberi (makan) kepada jemaah.

    “Kalau kamu tertanya kenapa aku tidak membeli makanan di lorong itu kerana aku akan membawa kamu ke masjid. Di masjid itu, kami makan apa sahaja yang dihidangkan. Kalau kami bawa makanan lain, jemaah lain yang fakir akan memandang. Jadi, untuk tidak mengecilkan hati mereka, kita makan sama-sama apa yang tersedia.

    Oh, garisan pemikiran saya tidak memikirkan sampai ke tahap itu. Saya terdiam. Perasaan saya dijajah dengan emosi hiba yang berlebihan. Saya kembali ke Kuala Lumpur dengan satu renungan perspektif yang berbeza. Saya kembali beriftar di masjid di Kuala Lumpur.

    Ternyata, limpahan rezeki di mana-mana masjid di Malaysia cukup murah. Kebetulan, pihak masjid mengagihkan telur rebus. Namun, telur rebus itu dimakan bersama nasi minyak dan kurma paha ayam. Peristiwa kecil di sebuah masjid di Jogja itu memberi definisi yang sangat mendalam.

    Di Malaysia cukup bertuah. Justeru, kita wajib belajar bersyukur dan berterima kasih kepada ALLAH SWT di atas limpah dan kurnia-Nya. Saya tidak perlukan pengalaman lain kerana setiap kali Ramadan, kenangan di sana menyedarkan bahawa hidup ini perlukan kesederhanaan.

    Semoga pada bulan mulia, kita sama-sama menyebarkan kebaikan, bukan propaganda. Cuci hati daripada terus berprasangka buruk. Semoga ALLAH SWT terus menyayangi kita. Amin.

    Mazlina Abdul Majid ialah Pengarang Rencana Sinar Harian



    Sumber

  • Warna baharu untuk Jazz, City dan CR-VRed PearlPassion

    HONDA Malaysia Sdn Bhd (HMSB) mengumumkan Passion Red Pearl sebagai warna baharu mereka yang akan ditawarkan untuk tiga model pemasangan tempatan (CKD) iaitu City, Jazz dan CR-V.

    Warna baharu tersebut juga akan menggantikan Carnival Red untuk Jazz, Dark Ruby Red (City) dan Obsidian Blue Pearl (CR-V).

    Menurut pihak Honda, Passion Red Pearl pertama kali diperkenalkan menerusi model HR-V baharu pada Januari lalu. Sejak itu, ia menjadi pilihan utama bagi kebanyakan pelanggan Honda, iaitu 30 peratus daripada jualan HR-V baharu adalah bagi warna tersebut.

    Pengarah Urusan dan CEO HMSB, Toichi Ishiyama berkata, dengan pengenalan warna baharu tersebut, Jazz akan tampil lebih muda, sementara City pula nampak lebih bersemangat dan CR-V ternyata lebih bergaya.

    “Kami percaya, ketiga-tiga model ini cukup serasi dengan pilihan warna baharu ini, menepati gaya hidup yang lebih versatil bagi pemiliknya. “Berkenaan dengan prestasi jualan, Jazz, City dan CR-V menyumbang 62 peratus untuk jualan keseluruhan Honda Malaysia antara Januari dan April 2019. City merekodkan jualan tertinggi dengan 34 peratus keseluruhan, manakala Jazz menyumbang 12 peratus. CR-V pula 15 peratus untuk jumlah jualan keseluruhan di negara ini,” katanya.

    Enjin 1.5L i-VTEC yang sama diguna pakai Jazz dan City.

    Enjin 1.5L i-VTEC yang sama diguna pakai Jazz dan City.

    Bagi tempoh empat bulan pertama 2019, HMSB mencatatkan jualan sebanyak lebih 28,000 unit, bersamaan 15 peratus bagi perkongsian pasaran. Jumlah jualan berkenaan membolehkan Honda Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia dalam Jumlah Jualan Kenderaan (TIV) di negara ini.

    City generasi keempat menawarkan empat varian iaitu 1.5 Hybrid, 1.5 S, 1.5 E dan 1.5 V, ditawarkan pada harga antara RM74k hingga RM84k. Ia dijanakan oleh enjin 1.5L i-VTEC dengan kombinasi CVT ciptaan Honda Earth Dreams Techology. Peneraju sedan sederhana bagi segmen-B ini turut menawarkan ruang penyimpanan barang di belakang paling luas iaitu mencecah 536 liter, terbaik bagi kelasnya.

    Manakala Jazz yang turut menawarkan varian yang sama seperti City pula ditawarkan dengan harga bermula RM74k hingga RM87k. Jazz dijanakan enjin yang sama seperti City iaitu 1.5L i-VTEC dengan kombinasi CVT ciptaan Honda Earth Dreams Techology.

    Bagi CR-V pula, dibarisi varian 1.5TC Premium, 1.5TC 2WD, 1.5TC 4WD dan 2.0 2WD dengan harga antara RM138k hingga RM163k. Antara kelebihan bagi varian tertinggi CR-V ini ialah ia dilengkapi dengan aspek keselamatan Honda Sensing yang merangkumi tujuh ciri Adaptive Cruise Control (ACC), Low-Speed Follow (LSF), Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), dan Lane Departure Warning (LDW).

    Untuk maklumat lanjut pelanggan boleh menghubungi talian Bebas Tol Honda di 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.



    Sumber

  • Gimnasium Musclemax taruhan Eddy

    Gimnasium Musclemax taruhan Eddy

    KETIKA melangkah masuk ke Gimnasium Musclemax yang terletak di Seksyen 7, Bangi, Selangor, penulis terpegun melihat banyak sekali peralatan senaman.

    Setiap mesin disusun kemas. Meskipun baru dibuka pada jam 1 petang, sudah kelihatan kelibat beberapa pelanggan sedang memanaskan badan.

    Gimnasium tersebut yang dibuka pada tahun 2016 diasaskan oleh Md Muhidi Md Moid, 33. Beliau yang mesra dipanggil Eddy, seorang yang sangat obses terhadap senaman di gim.

    Kepada Oh! Lelaki, Eddy berkata, belliau memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk bersenam.

    “Jika saya meninggalkan aktiviti terlalu lama, badan saya akan sakit-sakit. Seperti ada sesuatu yang tidak kena,” katanya seraya gelak kecil.

    Dorongan

    Menyelak cerita bagaimana beliau mula terjebak dengan aktiviti gimnasium, Eddy memberitahu, ia berlaku ketika usianya 18 tahun.

    “Saya memohon jawatan sebagai pegawai penjara tetapi gagal kerana berat badan saya hanya 40kg. “Pegawai yang menemuduga minta saya datang pada sesi lain. Dia suruh mantapkan fizikal dahulu untuk dapatkan kerja tersebut.

    “Sejak itu, saya mula ke gimnasium untuk mantapkan otot. Bila sudah bersedia fizikal dan mental, saya cuba sekali lagi temu duga, namun masih juga tak berjaya,” imbau Eddy. Melihat sisi positif daripada kegagalan itu, lelaki ini berkata, beliau tidak mampu untuk meninggalkan aktiviti senaman.

    Sejak itu, beliau menjadi semakin obses untuk menyihatkan diri.

    Kanser tulang lutut

    Bagaimanapun, kesungguhan bersenam diragut dengan perkhabaran sedih apabila beliau disahkan menghidap kanser pada tahun 2008. Kanser itu menyerang anggota lutut bahagian kanan.

    Disebabkan tidak mampu berbuat apa-apa, Eddy terpaksa terima hakikat hilang pekerjaan. Dua tahun terlantar di katil, sehinggalah doktor menyarankannya menjalani pembedahan pada tahun 2010.

    Tulang lututnya diganti dengan besi dan perlu menjalani fisioterapi. Merasakan dirinya perlu bangkit cepat, Eddy membuat rawatan fisioterapi sendiri dengan kembali ke gimnasium.

    Atas restu Maha Esa dan berkat usahanya, akhirnya beliau mampu berjalan dengan hanya mengambil masa empat bulan.

    “Doktor sendiri tidak percaya sebab saya sepatutnya mengambil masa paling kurang enam bulan hingga setahun untuk kembali boleh berjalan,” katanya yang bersyukur sudah mempunyai

    kemahiran bersenam sebelum disahkan menghidap kanser.

    Buka gimnasium

    Di sebalik ‘keajaiban’ itu, Eddy mula terfikir akan masa depannya. Lalu tercetuslah idea membuka Gimnasium Musclemax. Bukan mudah baginya yang sudah dua tahun tidak bekerja untuk mendapatkan modal. Namun, usaha tangga kejayaan.

    “Saya bekerja di kilang dan membuat kerja sampingan dengan menjual produk kesihatan. Kegigihan itu membolehkan saya mengumpul RM43,000 dalam masa tiga tahun, Alhamdulillah,” ujarnya.

    Dengan bantuan seorang rakan dan ilmu yang dicedok daripada mengunjungi pelbagai jenis pusat senaman, Eddy akhirnya merealisasikan pembukaan sebuah gimnasium.

    Memanfaatkan modal tersebut, Eddy membeli hampir kebanyakan peralatan dari China kerana lebih murah.

    Selebihnya dia membeli peralatan sedikit demi sedikit bagi melengkapkan keperluan gimnasiumnya. Kini, Eddy mempunyai lebih daripada 40 jenis peralatan, dibantu oleh seorang pekerja dan ada lebih kurang 400 pelanggan tetap.

    Tarikan

    Musclemax mengenakan yuran yang rendah sebanyak RM60 sebulan dan caj RM5 untuk satu hari tanpa had.

    Banyak sebab premisnya dikunjungi ramai. Ada yang datang demi menjaga kesihatan tubuh badan. Tidak kurang juga yang hadir untuk mendapatkan tubuh idaman dan ada juga atas faktor penyakit.

    “Keselamatan lebih terjamin apabila kita melakukan senaman di gimnasium berbanding membuat aktiviti luar. “Setakat ini pun saya tak pernah lihat pelanggan cedera ketika melakukan senaman. Tapi jika terseliuh anggota badan itu perkara biasa. Ia berlaku apabila pelanggan menggunakan mesin lebih daripada keupayaan mereka,” kata lelaki ini.

    Nasihat Eddy jangan serik untuk berkunjung ke gimnasium apabila anda berasa tidak selesa anggota badan pada peringkat permulaan. Ia perkara biasa bagi membolehkan anggota badan membiasakan diri dengan senaman yang dibuat. “Apa yang perlu meneruskan senaman dan jangan berhenti,” katanya mengakhiri perbualan hari itu.

    PORTFOLIO

    NAMA: Md. Muhidi Md Moid/Eddy

    UMUR: 33

    ASAL: Sungai Ramal, Kajang

    STATUS: Berkahwin

    PERALATAN MESIN DI GYMANSIUAM: Smith machine, Lat Pull- Down Machine, Seated Row Machine, Leg Press Machine, Preacher Curl Machine and Cable Crossover Machine.



    Sumber

  • Apakah peranan kita sesama muslim?

    Apakah peranan kita sesama muslim?

    SEMUA orang mempunyai peranan dan kewajipan tersendiri yang perlu ditunaikan.

    Tidak kiralah kewajipan sebagai hamba kepada Sang Pencipta, pekerja, suami, isteri, anak mahupun kakak atau abang.

    Namun, dari konteks kewajipan sesama muslim, apa yang perlu kita lakukan?

    Rasulullah SAW bersabda: “Kewajipan seorang muslim ke atas muslim yang lain ialah lima perkara iaitu menjawab salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Apabila sudah dikatakan sebagai kewajipan, maka sekiranya ada orang memberi salam, wajib untuk kita atau yang mendengarnya menjawab salam tersebut. Jika tidak, berdosalah kita.

    Begitu juga apabila kita menerima perkhabaran orang sakit sama ada di rumah atau hospital. Wajib si penerima khabar itu menziarahi orang sakit.

    Sesungguhnya besar ganjaran pahala yang diberikan ALLAH SWT kepada mereka yang menziarahi orang sakit, seolah-olah individu itu sedang mengumpulkan hasil kebun syurga selama mana dia menziarahi orang sakit.

    Lagi satu, saat kita mendengar berita tentang kematian seseorang, jangan lupa untuk menzirahi keluarga si mati dan doakanlah supaya jenazah mendapat keampunan ALLAH SWT.

    Bagi yang menerima undangan daripada seseorang sama ada jiran, saudara-mara, kenalan jauh atau sesiapa sahaja yang mengadakan sesuatu majlis, kita wajib memenuhinya jika berkelapangan.

    Seperkara lagi, jangan lupa mendoakan orang yang bersin.

    Meskipun kelihatan remeh tetapi ia sebenarnya satu kewajipan buat kita.

    Tujuan kita berdoa selepas bersin adalah untuk meminta perlindungan kepada ALLAH SWT daripada syaitan.

    Sama-samalah kita tunaikan kewajipan tersebut.

    Semoga kita peroleh ganjaran daripada ALLAH SWT.

    (Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



    Sumber

  • BMW Malaysia perkenal varian baharu 5 Series

    BMW Malaysia perkenal varian baharu 5 Series

    BMW Malaysia, pengeluar kenderaan premium mengembangkan portfolio segmen sedannya dengan memperkenalkan dua lagi penawaran terbaharu bagi model 5 Series G30 untuk pasaran tempatan melalui BMW 530e M Sport dan BMW 520i Luxury terbaharu.

    Pelancaran kedua-dua model ini secara langsung memperluaskan portfolio BMW sebagai jenama kenderaan premium paling berjaya di Malaysia.

    Gril ‘kidney’ bersalut krom menghiasi bampar hadapan.

    Gril ‘kidney’ bersalut krom menghiasi bampar hadapan.

    Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, BMW 5 Series memiliki kisah kejayaan yang dilakar sejak berdekat yang lalu.

    “Ia merupakan sedan bisnes yang paling cemerlang di dunia tampil serba lincah, elegan dan berorientasikan masa hadapan. “Varian baharu bagi BMW 5 Series ini sekali lagi akan menetapkan tanda aras baharu dari segi estetika keatletikan dan inovasi teknologi serta terus memacu kejayaan kami ke hadapan untuk tahun yang akan datang,” katanya.

    Setakat ini lebih daripada 600,000 unit telah pun diserahkan kepada pemilik baharu bagi suku pertama 2019 di peringkat global. Kejayaan itu turut dicatat di Malaysia apabila lebih daripada 3,100 unit BMW, MINI dan BMW Motorrad diserahkan.

    BMW 530e M Sport dilengkapi dengan enjin 2.0L BMW Twin Turbo yang dibantu oleh motor elektrik.

    BMW 530e M Sport dilengkapi dengan enjin 2.0L BMW Twin Turbo yang dibantu oleh motor elektrik.

    BMW 530e M Sport

    Bagi BMW 530e M Sport, ia merupakan sedan plug-in hybrid dengan teknologi eDrive serta hadir bersama kelengkapan dan penawaran yang tersendiri dalam kelasnya.

    Jentera ini dilengkapi dengan enjin 2.0L BMW Twin Turbo yang dibantu oleh motor elektrik. Output keseluruhan sistem ialah sebanyak 252 hp dan 420 Nm tork. Ini membolehkan jentera ini memecut 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.2 saat, serta kelajuan maksimum pada 235 km/j.

    BMW 530e M Sport.

    BMW 530e M Sport.

    Dari segi kadar penggunaan bahan api BMW 530e M Sport mampu mencapai sekitar 2.3l bagi setiap 100 km dengan kadar pembebasan sisa pembakaran serendah 53 g/km.

    Antara ciri-ciri keselamatannya, jentera ini dilengkapi dengan Dynamic Stability Control (DSC), Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) dan Antilock Braking System (ABS) dengan Brake Assist (BA). Selain itu, bantuan untuk pemandu juga disediakan, diwakili oleh ciri-ciri seperti Lane Departure and Change Warning, Forward Collision Warning, Parking Assistant serta Cruise Control.

    




BMW 530e M Sport.

    BMW 530e M Sport.

    Bahagian dalamannya pula dilengkapi antaranya dengan sistem BMW Connected Drive yang boleh dikendalikan melalui skrin paparan digital 12.3-inci pada kluster instrumen pemandu. Sedan bisnes ini juga disertakan dengan Navigation System Professional iaitu sistem tunjuk aras profesional yang terletak pada skrin bersaiz 10.25-inci di bahagian tengah.

    




Gear konsol BMW 530e M Sport.

    Gear konsol BMW 530e M Sport.

    BMW 530e M Sport baharu ini juga menampilkan stereng berkulit ‘M’ yang eksklusif, kemasan ambang pintu beriluminasi ‘M’ dan pedal spesifik ‘M’ dengan tempat duduk sport yang bergaya bagi pemandu serta penumpang menyuntik elemen keterujaan yang sinonim kepada varian sport jentera ini.

    Untuk kemudahan tambahan, BMW 530e M Sport terbaharu menawarkan Akses Keselesaan (Comfort Access) yang membolehkan operasi tanpa sentuhan dibuat untuk mengakses pintu masuk dan ruang but. BMW 530e M Sport dijual pada harga RM338,800 dengan pilihan tawaran warna Black Sapphire, Sophisto Grey, Blue Stone dan Alpine White.

    BMW 5-Series 520i Luxury

    Sementara itu, BMW 520i Luxury yang baharu menampilkan ekspresi mewah dan progresif yang menawarkan keselesaan dan teknologi tercanggih. Dirumus untuk melangkaui batasan sebagai ikon kemewahan, BMW 520i Luxury terbaharu melambangkan dimensi baharu dalam pemanduan serba mewah yang dilengkapi dengan stereng sport, tempat duduk kulit berciri sport, papan pemuka sensatec, kemasan ambang pintu aluminium beriluminasi dan bantuan pencahayaan suram enam warna pilihan.

    BMW 520i Luxury menampilkan rekaan 'kidney grille' yang sinonim dengan BMW.

    BMW 520i Luxury menampilkan rekaan ‘kidney grille’ yang sinonim dengan BMW.

    BMW 520i Luxury ini juga turut dilengkapi dengan sistem BMW ConnectedDrive, Navigation System Professional 10.25 inci dan instrumen bersaiz 12.3 inci. Reka bentuknya yang rapi diserlahkan lagi melalui gril ‘kidney’ bersalut krom serta unsur krom terpilih yang menghiasi bampar hadapan.

    Di bahagian belakang pula BMW 520i Luxury baharu tampil dengan Lampu LED Adaptif, Lampu kabus LED dan kemasan tip ekzos krom. Sedan bisnes terunggul ini turut mengenakan roda 18 inci V-spoke beraloi ringan yang baharu melalui penggayaan 684 dengan tayar ‘run-flat’, lengkap dengan indikator tayar pancit.

    Ruang kokpik serba hitam.

    Ruang kokpik serba hitam.

    BMW 520i Luxury menggunakan enjin 2.0L TwinTurbo empat-silinder sebaris dan mampu menghasilkan sebanyak 184 hp serta 290 Nm tork. Jentera ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat dengan kelajuan maksimum pada 235 km/j. Kadar penggunaan bahan apinya pula ialah 6.2 l/100 km dengan pembebasan sisa pembakaran Co2 sebanyak 141 g/km.

    Bagi ciri keselamatan dan kelengkapan lainnya, ia menawarkan senarai yang sama seperti pada BMW 530e M Sport. BMW 520i Luxury dijual pada harga RM328,800 dengan pilihan tawaran warna Black Sapphire, Glacier Silver, Imperial Blue, Alpine White.

    Kedua-dua sedan ini juga ditawarkan dengan pakej pemilikan premium BMW Malaysia, yang merangkumi antaranya jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta program servis berjadual percuma, program jaminan tayar selama dua tahun, bantuan tepi jalan BMW serta aplikasi pintar BMW Group Loyalty+ dan BMW White Card.

    2

    2


    Sumber

  • Cara mudah ‘menghasut’ isteri rajin memasak

    Cara mudah ‘menghasut’ isteri rajin memasak

    SANG suami pastinya begitu teringin menikmati masakan air tangan isteri. Lebih-lebih lagi kalau isteri sudah lama tidak ke dapur.

    Namun, kadangkala ada wanita ada sahaja alasan yang diberikan untuk mengelak daripada memasak. Suami makan hati dan memujuk diri. Mungkin ketika itu, isteri mengalami tekanan perasaan di tempat kerja.

    Berhadapan dengan situasi sebegitu, suami harus membuat sesuatu. Cari pendekatan agak isteri rajin memasak.

    Laksanakan tip ini agak isteri rajin memasak:

    1. Mula dengan menu mudah

    Sebagai permulaan, pujuk isteri untuk memasak hidangan yang mudah disediakan. Contohnya, sardin, telur dadar dan sebagainya. Tunjuk betapa anda menghargai apa yang disediakan. Jika makanan yang tidak dimasak tidak sedap, lebih baik diam. Bimbang isteri merajuk kembali untuk memasak.

    2. Tonton rancangan memasak

    Ambil masa menonton rancangan masakan bersama isteri. Ia bagi membangkitkan semangat isteri untuk memasak sendiri menu yang dilihat. Anda harus ringan tulang membantu isteri di dapur dengan menyediakan bahan-bahan yang diperlukan. Melihat kesungguhan anda isteri pasti akan berasa serba salah jika tidak memasak.

    3. Sediakan menu

    Isteri yang bekerjaya tidak mempunyai masa untuk memasak. Jadi bagi memastikan isteri memasak, suami perlu membantu isteri di dapur. Fikirkan menu yang hendak dimasak. Tidak dinafikan isteri adakalanya buntu mahu menyediakan hidangan untuk keluarga. Ketika isteri sedang memasak hidupkan suasana ceria dan bergurau senda di dapur. Dengan ini isteri tidak merasa bosan memasak.

    4. Beri komen positif

    Beri kata-kata pujian dan komen positif supaya isteri dapat memperbaiki lagi kemahiran memasak. Beri sokongan kepada isteri yang menunjukkan minat untuk belajar memasak. Meskipun, dia hanya menggoreng telur kicap, pastikan anda tetap beri pujian dan berterima kasih kepadanya.

    5. Belikan buku resepi

    Hadiahkan buku resepi pada isteri. Terdapat banyak judul yang boleh membantu isteri anda mempelbagaikan lagi kemahiran memasaknya. Bagi isteri yang masih dalam proses belajar memasak, apa kata anda cuba amalkan cara ini. Kumpul seberapa banyak resepi dan cara-cara memasak. Pilih cara memasak paling mudah dan ringkas. Menu itu dipilih mengikut selera kegemaran anda dan isteri. Lebih mudah jika jadikan ia sebagai buku resepi keluarga anda.



    Sumber