Category: ATTRACTION

  • Maksud tersirat di sebalik genggaman tangan lelaki

    Maksud tersirat di sebalik genggaman tangan lelaki

    SUKAR untuk melihat lelaki memegang tangan pasangannya setelah berkahwin. Malu, segan atau tangan isteri tidak pernah bebas memimpin tangan anak-anak?

    Sesekali bila suami memegang tangan isterinya, mungkin ketika itu perasaan damai dan gembira sedang menyeliputi hati sang lelaki ini.

    Namun tahukah anda di sebalik genggaman tangan lelaki ada maksud yang ingin disampaikan. Apa itu? Jom baca.

    1. Tangan lelaki di atas tangan wanita

    Cara pegangan ini yang paling umum dilakukan lelaki terhadap pasangannya. Biasanya dilakukan saat berjalan atau duduk berdua. Lelaki ingin berkongsi perasaan nyaman dan hangat dengan wanita kesayangannya. Ia juga menunjukkan perasaan romantik lelaki.

    2. Saling melingkari jari telunjuk

    Jika lelaki menggenggam tangan pasangan dengan melingkari jari telunjuknya bermaksud si lelaki mahu menggambarkan mereka seorang yang setia dan ingin menzahirkan betapa eratnya hubungan mereka.

    3. Saling melingkarkan jari kelengkeng

    Saling melingkarkan jari kelengkeng simbol termeterainya janji yang dibuat. Lelaki tidak peduli apa kata orang sekeliling terhadap mereka asalkan janji yang dibuat ditepati dan dilunaskan bersama.

    4 Mencengkam pergelangan tangan isteri

    Walau terkadang pegangan tangan seperti ini terasa kurang selesa bagi isteri tetapi pegangan tangan seperti ini menunjukkan bahawa lelaki ingin isterinya merasa aman di sisinya. Sebabnya dia mahu merasakan denyut nadi pergelangan tangan isterinya dan dapat meneka perasaan isterinya ketika itu.

    5 Memegang jari kelengkeng dan manis isteri

    Ketika lelaki memegang tangan pasangannya dengan cara seperti ini, bererti lelaki itu ingin mencari kedamaian hati dan mahu bersendirian. Pasangan harus memberi ruang kepada lelaki yang inginkan kebebasan untuk menenangkan perasaan. Suami amat menghargai jika isteri berbuat begitu kerana mereka akan kembali ke pangkuan anda setelah masalah diri selesai.

    6. Menggunakan kedua belah tangan isteri

    Tangan kanan lelaki memegang bahagian atas tangan isterinya, ketika itu tangan isteri sedang menengadah. Manakala tangan kiri lelaki akan memegang bagian bawahnya, itu menandakan lelaki mahu dapatkan kepastian daripada isterinya. Mungkin persoalan adakah isterinya benar-benar cintakan dia. Jika isteri menyukainya mudah untuk dia menggenggam tangan kanan isterinya dengan erat.

    7. Tangan berada di belakang tangan isteri

    Cara memegang tangan seperti ini mengambarkan lelaki selalu ada untuk isterinya baik ketika senang mahupun susah. Lelaki mahu menyatakan sokongannya walau apa pun rintangan yang dihadapi oleh isterinya. Mungkin ketika itu isteri amat memerlukan sokongan seseorang.



    Sumber

  • Promosi Aidilfitri Ford Ranger

    Promosi Aidilfitri Ford Ranger

    SIME Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal Ford di Malaysia mengumumkan jualan promosi sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    Bermula dari 1 Mei sehingga 30 Jun 2019, pelanggan boleh memiliki Ford Ranger dengan bayaran ansuran serendah RM436 sebulan dengan penjimatan sehingga RM11,000. Kadar pinjaman serendah sifar peratus juga turut ditawarkan kepada yang layak.

    Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, sepanjang dua bulan tempoh promosi tersebut, 30 pelanggan berpeluang untuk memenangi barangan elektrik bernilai sehingga RM2,000 setiap satu terdiri daripada TV pintar, peti sejuk, mesin basuh dan tablet.

    “Kami mahu memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik bagi meringankan beban tanggungan pada hari raya ini. “Promosi kami membenarkan bayaran ansuran bulanan yang rendah dengan kadar pinjaman serendah sifar peratus, disertakan dengan rebat tunai dan hadiah-hadiah menarik,” katanya.

    Diiktiraf sebagai Built Ford Tough dengan perincian dalaman seumpama sebuah kereta, Ranger dilengkapi dengan rangkaian teknologi pintar yang kebanyakannya adalah yang pertama dan tunggal dalam segmen tersebut.

    Gabungan semua ciri itu membolehkan Ranger memenuhi keperluan dan gaya hidup untuk setiap segmen dalam pasaran. Ranger juga didatangkan dengan pengalaman pemilikan yang hebat dan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau sehingga 100,000 km, yang mana dahulu.

    Ranger yang telah memenangi pelbagai anugerah boleh didapati dalam sembilan varian merangkumi Ranger Raptor yang direka khusus untuk kelajuan tinggi dan pemanduan lasak, Ranger Wildtrak dari siri premium, juga XLT Plus, XLT dan XL yang versatil.



    Sumber

  • Obses luar biasa sanggup menginspirasikan sebagai tema perkahwinan

    Obses luar biasa sanggup menginspirasikan sebagai tema perkahwinan

    TERCETUSNYA minat atau kesukaan terhadap sesuatu benda atau perkara ada kalanya atas faktor orang tersayang.

    Situasi itu berlaku kepada Saiful Nizam Hassan, 35. Lelaki ini sangat obses terhadap karakter kartun popular Doraemon dan Hello Kitty.

    Kepada Oh! Lelaki, Saiful berkata, beliau cenderung dengan karakter itu bermula apabila beliau menerima hadiah daripada arwah ibunya, Siti Zawyah Abdullah.

    Saiful dan Nur Sakeena gembira kehendak mereka inginkan konsep Doraemon dan Hello Kitty tercapai

    Saiful dan Nur Sakeena gembira kehendak mereka inginkan konsep Doraemon dan Hello Kitty tercapai

    “Ketika tadika, saya dihadiahkan sebentuk kunci bahagian kepalanya ada Doraemon. Sejak itu, saya obses kepada watak ini. Saya akan simpan duit belanja sekolah untuk membeli barangan Doraemon,” kata penjaga stor itu.

    Tema perkahwinan

    Tetamu yang hadir tidak sabar untuk bergambar dengan pelamin

    Tetamu yang hadir tidak sabar untuk bergambar dengan pelamin

    Saiful tidak malu untuk berkongsi apa yang digilainya sejak kecil bersama orang sekeliling.

    Perkara terbesar yang dilakukannya ialah menjadikan karakter Doraemon dan Hello Kitty sebagai tema perkahwinannya.

    Hari bahagia bersama pasangannya, Nur Sakeena Kamarol Zaman, 24, yang berlangsung pada 14 Januari tahun lalu di Meru Klang, Selangor menjadi tular.Lebih melucukan, bukan diri mereka yang menjadi objek perhatian tetamu tetapi pelamin mereka!

    “Idea untuk menggunakan konsep Doraemon dan Hello Kitty kami putuskan sebulan sebelum majlis perkahwinan. Tiba-tiba kami fikir mahu mengadakan majlis yang berbeza. Kami mahu sesuatu yang dapat menceritakan minat kami. Jadi, saya upah perancang perkahwinan yang bernama Seriheza untuk mewujudkan fantasi Doraemon dan Hello Kitty.

    “Hasilnya kami sendiri tidak percaya. Malah tetamu yang datang juga tidak sabar untuk bergambar. Sebaik kami turun dari pelamin, ramai yang serbu hendak bergambar. Ingatkan hendak bergambar dengan kami, rupanya dengan pelamin,” kata Saiful sambil ketawa berdekah-dekah.

    Pengaruhi isteri

    Tidak lengkap hobi mengumpul Doraemon (kucing jantan) tanpa pasangannya, Hello kitty (kucing betina). Di Jepun, Doraemon dan Hello Kitty dikenali sebagai kucing jantan dan kucing betina.

    Tahukah anda, Saiful orang yang bertanggungjawab membuatkan isterinya berminat dengan hobi suka mengumpul barangan Hello Kitty. Beliau menyuntik semangat itu dengan memberikan hadiah karakter Hello Kitty pada awal perkenalan mereka.

    “Saya tahu dia minat warna merah jambu. Jadi, saya hadiahkan dia Hello Kitty. Semenjak itu dia mula meminati Hello Kitty ini.

    “Setelah kami berkahwin, lebih mudah saya mengumpul kedua-dua koleksi ini,” katanya.

    Koleksi

    Koleksi Hello Kitty milik Saiful

    Koleksi Hello Kitty milik Saiful

    Beritahu Saiful, koleksi Hello Kitty lebih banyak dikeluarkan di pasaran berbanding Doraemon.

    Pada setiap tahun, Hello Kitty mempunyai koleksi terhad yang dikeluarkan oleh McDonalds, Guardian, Giant dan di panggung-panggung wayang.

    Berbeza dengan Doraemon, lelaki ini akan membelinya secara online melalui laman web, My Japan.

    Kadang-kadang beliau akan membeli secara bidaan.

    “Harga yang dibida itu tidak akan melebihi RM1,000,” katanya.

    Saiful berterus-terang yang beliau telah membelanjakan sebanyak RM10,000 semenjak mengumpul koleksi Doraemon dan Hello Kitty sejak kecil lagi.

    Setakat ini, beliau mempunyai 3,000 jenis koleksi barangan Doraemon. Antaranya seperti cawan, pinggan-mangkuk, jaket, seluar, patung Doraemon dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea, Vietnam, Bangladesh, India, Thailand dan Singapura. Barangan Doraemon yang eksklusif seperti barangan kereta, basikal dan barangan dapur juga ada.

    Untuk barangan Hello Kitty dia mempunyai 7,000 jenis item seperti pensel, buku, kasut, barangan dapur, kereta dan barangan kemas.

    Saiful turut menjual koleksi Doraemon dan Hello Kitty di pasaran online dan kepada kawan-kawan yang berminat untuk membelinya.

    Berbaloikah dengan wang yang dikeluarkan untuk semua itu? Jawabnya: “Saya okay kerana karakter Doraemon mengingatkan saya kepada ibu dan Hello Kitty pula sebagai ingatan tulus dan kasihnya kepada isteri saya.”



    Sumber

  • Lailatulqadar malam teragung

    Lailatulqadar malam teragung

    DETIK waktu berlalu dengan sangat pantas. Sedar atau tidak, hanya berbaki 11 hari lagi Ramadan akan mengucapkan selamat tinggal. Sesungguhnya, berpisah dengan bulan yang penuh keinsafan dan kemaafan itu sangat memilukan.

    Jika panjang umur dan mendapat keizinan Yang Maha Esa, insya-ALLAH, kita akan dipertemukan dengan keindahan Ramadan sekali lagi.

    Sebelum masa itu berlalu, apa kata umat Islam seboleh-bolehnya menumpukan kepada 10 malam terakhir meningkatkan amal ibadah.

    Pada tempoh tersebut, terdapat satu malam yang dipanggil sebagai malam Lailatulqadar. Ia akan menjelma tanpa kita tahu tarikh dan masanya secara spesifik.

    Hal itu secara jelas dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam satu surah pendek iaitu Surah al-Qadr. Sesungguhnya, malam yang terpilih itu dipanggil sebagai malam penuh keberkatan dan ia dihadiahkan oleh Maha Pencipta kepada hamba-Nya yang beramal dengan khusyuk dan ikhlas berdoa.

    Malam tersebut juga sering disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan sebagaimana firman ALLAH SWT:

    “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)

    Mengapa ia terlalu istimewa sehingga sehingga disebutkan khusus dalam satu surah di dalam al-Quran?

    Malam penentuan

    Menjelaskan persoalan itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid bagi berkongsi ilmu.

    Jelas agamawan itu, Lailatulqadar secara umumnya bermaksud malam penentuan ataupun takdir.

    “Ada juga pendapat yang memberi maksud Lailatulqadar sebagai malam kekuasaan yang diambil daripada sifat ALLAH SWT Yang Maha Berkuasa,” ujar beliau.

    Ustaz Bakhtiar Fitri berkata, ayat satu hingga tiga dalam Surah al-Qadr, ALLAH menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun!

    “Ia membawa maksud sesiapa sahaja yang beribadah pada malam tersebut, mereka akan memiliki pahala beribadah selama 1,000 bulan atau 83 tahun. Bahkan, ia lebih baik lagi daripada 1,000 bulan.

    “Andaikan kita bertarawih pada 10 malam terakhir Ramadan dan malam tersebut adalah Lailatulqadar, ia seumpama kita berterawih selama 83 tahun tanpa henti.

    “Begitu juga jika kita membaca al-Quran, bertahajud atau berzikir, ia seumpama kita beribadah selama 83 tahun tanpa henti,” katanya sambil menjelaskan pada malam itu jugalah turunnya al-Quran, mukjizat terbesar buat Nabi Muhammad SAW.

    Tanda-tanda

    USTAZ BAKHTIAR FITRI

    USTAZ BAKHTIAR FITRI

    Bilakah malam Lailatulqadar akan muncul? Menurut Ustaz Bakhtiar Fitri yang juga Perunding Utama Nadi Ilmu Training Management, ada banyak riwayat dan pandangan ulama mengenainya.

    Bagaimanapun, hakikatnya, hanya ALLAH SWT Yang Maha Mengetahui bilakah tarikh dan waktunya yang sebenar.

    Namun demikian, Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir Ramadan daripada malam-malam yang ganjil.

    Sabda Rasulullah SAW: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Riwayat Ahmad)

    Ujar pendakwah itu lagi, tanda-tanda berlakunya Lailatulqadar juga ada disebut dalam hadis. Antaranya disebut bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air, suasana sangat tenang, nyaman dan tenteram, tidak panas dan tidak sejuk.

    “Pada keesokan harinya selepas berlaku Lailatulqadar, disebutkan bahawa matahari terbit dengan sinaran yang tidak terlalu silau atau terlalu panas terik,” katanya.

    Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis baginda SAW: “(Malam) Lailatulqadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Keesokan harinya cahaya sinar mataharinya seakan kemerah-merahan.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan al-Bazzar)

    Pun demikian, Ustaz Bakhtiar Fitri sekali lagi mengingatkan kepada semua umat Islam, hanya ALLAH SWT yang lebih mengetahui bilakah secara tepat berlakunya Lailatulqadar.

    “Ia disembunyikan daripada pengetahuan hamba-Nya dengan hikmah-hikmah tertentu iaitu supaya manusia lebih gigih dan bersungguh-sungguh beribadah setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan.

    “Apa yang pasti, sesiapa sahaja yang beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan, pasti akan bertemu dengan satu malam yang dinamakan Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

    “Bukan itu sahaja, hikmah disembunyikan bilakah malam Lailatulqadar agar manusia lebih menghargai pertemuan dengan malam itu. Sesuatu yang sukar dimiliki, sudah pasti lebih disayangi dan dihargai. Begitu juga dengan Lailatulqadar yang menjadi satu kenangan indah buat pemburunya,” ujarnya.

    Kepada pembaca Sinar Islam, Ustaz Bakhtiar Fitri berkongsi doa yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW untuk dibaca apabila beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

    Dalam sebuah hadis, Saidatina ‘Aisyah RA berkata: “Aku bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu bilakah malam Lailatulqadar terjadi, apa yang harus aku ucapkan?” Baginda SAW menjawab: “Ucapkanlah: “Ya ALLAH, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

    Amalan

    DR MOHD NOR

    DR MOHD NOR

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat turut melontarkan pandangannya untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan.

    Jelas beliau, hidupkanlah malam hari dengan iktikaf dan solat malam iaitu solat sunat tajahud, taubat, hajat dan sebagainya. Selain itu, perbanyakkan zikir kepada ALLAH SWT dalam jumlah yang kita mampu.

    Dr Mohd Nor turut memperincikan amalan yang disarankan dilakukan apabila seseorang individu terpilih oleh ALLAH SWT bertemu dengan bertemu malam Lailatulqadar.

    “Apabila Rasulullah SAW ditanya oleh ‘Aisyah RA apakah amalan yang patut dilakukan jika bertemu Lailatulqadar? Baginda SAW menyarankan supaya perbanyakkan doa mohon keampunan, dikurniakan syurga dan dijauhkan azab neraka.

    “Selain itu, digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah,” katanya.

    Beliau mengingatkan kepada masyarakat supaya tidak menyibukkan diri dengan membeli-belah di sana sini atau sibuk membuat kuih raya sehingga terabai ibadah-ibadah khusus malam yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

    Ujar Dr Mohd Nor, Rasulullah SAW sendiri begitu memfokuskan malam-malam terakhir Ramadan dengan melaksanakan ibadah.

    “Malah baginda SAW juga memohon izin isteri baginda untuk meninggalkan giliran tidur di rumah masing-masing dan beriktikaf di masjid dengan ibadah solat-solat malam,” katanya.

    Rasulullah SAW bersabda: “Carilah ia dalam sepuluh terakhir dan jika salah seorang dari kamu adalah terlalu lemah atau tidak dapat beribadat, maka hendaklah dia tidak membenarkan dirinya daripada terlepas tujuh malam terakhir. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Pensyarah itu menambah, malam Lailatulqadar sememangnya kurniaan yang terhebat bermakna.

    “Begitu istimewanya malam Lailatulqadar itu adalah apabila para malaikat turun untuk merayakan keberkatan dan rahmat ALLAH yang sangat banyak.

    “Sebahagian mentafsirkan para malaikat rahmat turun memenuhi bumi membawa bersama rahmat serta mendoakan untuk semua hamba yang beribadah dengan penuh keimanan.

    “Kata Imam Al-Qurtubi, mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar,” ujar beliau sambil menjelaskan ia digambarkan ALLAH SWT menerusi firman-Nya di dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5.

    Apa yang pasti, kedatangan Lailatulqadar adalah suatu yang pasti dalam bulan Ramadan.

    “Kita hanya perlu istiqamah melaksanakan amalan yang dianjurkan setiap malam. Pastinya salah satu malam adalah Lailatulqadar dan semestinya milik kita,” jelas beliau.



    Sumber

  • Proton bertukar dokumen untuk dua perjanjian di Beijing

    Proton bertukar dokumen untuk dua perjanjian di Beijing

    PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) bertukar dokumen perjanjian di Beijing bersama dua rakan kongsi dari Pakistan dan China untuk membantu merancakkan pelan pengembangan masa depan syarikat itu.

    Pertukaran dokumen yang pertama ialah Perjanjian Perlesenan dan Bantuan Teknikal dengan ALHAJ Automobile (ALHAJ) bagi membina sebuah kilang pembuatan kereta Proton di Karachi untuk pasaran Pakistan.

    Manakala pertukaran yang kedua merupakan kemudahan perbankan yang ditawarkan oleh China Construction Bank (CCB) yang bernilai RM1.88 bilion.

    Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sempat meluangkan sedikit masa daripada jadual padatnya untuk menyaksikan pertukaran dokumen antara pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad dan rakan kongsinya dari Pakistan dan China.

    Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, syarikat itu berharap dapat mengembangkan operasi antarabangsanya dan Pakistan dengan kadar penggunaan kereta yang masih rendah akan menjadi pasaran yang baik.

    “Pertukaran dokumen antara Proton dan rakan niaga kami, ALHAJ dan CCB adalah langkah penting dalam usaha syarikat untuk mencapai matlamat jangka panjangnya. “Kilang pemasangan pertama Proton di Pakistan itu akan terletak di Islamabad yang akan memasang kereta Proton unit terurai untuk dipasang (CKD) bagi pasaran negara tersebut,” katanya.

    Proton mengumumkan hasratnya untuk membuka kilang pemasangan di Pakistan semasa lawatan Perdana Menteri ke negara Asia selatan itu pada Mac lalu, yang juga menyaksikan upacara pecah tanah kilang tersebut bersama rakan sejawatannya dari Pakistan, Imran Khan.



    Sumber

  • Dua pemuzik berbakat dalam pembikinan

    Dua pemuzik berbakat dalam pembikinan

    DUA sahabat baik ini mudah untuk memberi kerjasama. Sebaik penulis menghubungi Mohd Najib Mohd. Nor, 39, atau mahu disapa Najib, beliau terus mengajak penulis ke studio muzik, Sarang Suara di Seri Kembangan, Selangor.

    Sarang Suara umpama rumah kedua lelaki ini bersama teman yang juga rakan seperjuangannya, Ahmad Nuredzuan Zaizi atau Wan.

    “Di sini tempat kami mencurahkan idea muzik kami. Muzik ibarat perumpamaan isi dan kuku, memang kami tak boleh berpisah dengan muzik,” kata Najib penuh kesungguhan.

    Bicara kami pada petang itu terus rancak. Rupa-rupanya ada banyak kisah yang dileraikan oleh kedua-dua personaliti pada minggu ini.

    Penulis memulakan kisah Najib terlebih dulu. Menariknya tentang lelaki graduan jurusan Fotografi dari Universiti Teknologi MARA ini, beliau langsung tiada asas dalam bidang muzik. Ironinya, minat telah mengatasi segala-galanya.

    NAJIB

    NAJIB

    “Saya memang tidak belajar tentang not muzik ataupun sebarang peralatan dari mana-mana institusi awam atau swasta di negara. Namun, kecintaan saya terhadap gema muzik lahir sejak kecil.

    “Pada zaman remaja, saya suka main muzik dan sering menyertai kugiran band. Ketika itu, saya dan kawan-kawan seperti Wan dan Faris Aydeen telah tubuhkan band kami sendiri. Sejak dulu, kami bertiga memang ada pasang impian untuk membuka sebuah studio,” ujar Najib sambil Wan mengiakan pernyataan daripada sahabatnya itu.

    Pun demikian, manusia hanya merancang, ALLAH yang menentukan. Seperti yang disuratkan, Faris meninggal dunia pada tahun 2009.

    Enggan menoleh ke belakang, Najib dan Wan tetap meneruskan hasrat itu dan niat membuka studio muzik itu berjaya direalisasikan pada tahun 2017.

    Bagaimana pula dengan cerita Wan? Wan sedikit berbeza kerana ilmu tentang muzik penuh di dadanya.

    WAN

    WAN

    Lelaki berusia 39 tahun ini yang pernah mengikuti program Komposisi Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

    Kolaborasi kebolehan Najib dan Wan barangkali berupaya menyuntik suasana yang lebih segar dan luar biasa dalam dunia seni tanah air.

    SARANG SUARA

    Studio milik Najib dinamakan Sarang Suara. Kenapa memilih nama berkenaan?

    Menjawab pertanyaan itu, Najib memberitahu, beliau mahu menjadikan studio itu sebagai payung yang menyatukan vokalis, peminat muzik termasuk sesiapa sahaja yang mahu bermain alat muzik atau istilah lebih mudah, jamming.

    Sarang Suara juga menyediakan servis seperti lagu terbitan iklan, mempakej lagu baharu, klip video termasuk menerbitkan lagu untuk individu dan kumpulan.

    Studio berkenaan juga lengkap dengan segala peralatan muzik. Antaranya gitar, dram, piano, set lengkap rakaman lagu, pembesar suara, Digital Audio Workstation dan banyak lagi. Keluasan bilik studio juga memuaskan dengan kedap bunyi.

    Kedua-dua berkebolehan bermain kesemua instrumen muzik kecuali jenis tiupan.

    “Sarang Suara dibuka hingga lewat malam kerana kami memahami rata-rata penggemar muzik suka jamming pada waktu begini,” kata Wan.

    Kepada anda yang berkebolehan membuat lagu tanpa reti bermain instrumen, Najib dan Wan sedia membantu.

    “Ada di antara klien kami, dalam kepala mereka dah ada melodi lagu termasuk lirik tetapi tak pandai bermain (muzik), kami telah menolong dengan menterjemahkan idea mereka ke dalam susunan muzik yang menarik. Jadi, mereka yang mempunyai hasrat untuk buat lagu sendiri, jom ke Sarang Suara,” katanya.

    STUDIO Sarang Suara memiliki hampir semua instrumen muzik.

    STUDIO Sarang Suara memiliki hampir semua instrumen muzik.

    Nampaknya, Sarang Suara berpotensi untuk maju ke hadapan.

    Masakan tidak, setakat artikel ini ditulis, kedua-dua lelaki ini telah mengeluarkan 50 buah lagu atas permintaan klien mereka.

    BANTU ARTIS

    Najib dan Wan memberitahu Oh! Lelaki, Sarang Suara sebenarnya telah berjaya menghasilkan mini album untuk lima artis malar segar iaitu Mac Rahayu, Azie atau Roeziah Mustapha, Haslinda, Norlie Tamam dan Adilla yang bakal membuat comeback tidak lama lagi.

    “Kami memainkan peranan sebagai penyusun muzik dan rakaman sepenuhnya dibuat Sarang Suara.

    “Jadi kepada semua artis tidak kira baharu atau lama, mari bertandang ke studio kami. Kami bersedia membantu menghasilkan lagu, melodi, lirik dan sebagainya. Studio kami juga boleh membuat live recording.

    “Sudah semestinya juga harga kami amat berpatutan berbanding yang ditawarkan oleh syarikat muzik yang lain,” kata Najib.

    KEPADA artis yang ingin merakam lagu atau mempunyai idea membuat lagu, Najib dan Wan boleh membantu menterjemahkan idea anda!

    KEPADA artis yang ingin merakam lagu atau mempunyai idea membuat lagu, Najib dan Wan boleh membantu menterjemahkan idea anda!

    Selain itu, menariknya tentang dua pemuzik ini, selain orang perseorangan, mereka berdua juga telah mencipta lagu untuk beberapa syarikat pengiklanan, organisasi kementerian yang mahukan sebuah lagu mengikut keperluan masing-masing.

    “Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki daripada ALLAH SWT. Kami harap dapat menyumbang sesuatu yang bermanfaat dalam industri muzik negara,” kata mereka senada.

    Semoga Najib dan Wan akan terus berjaya. Mana tahu suatu hari nanti mereka memiliki artis di bawah label Sarang Suara!



    Sumber

  • ‘Panjatkan doa agar dipertemukan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan’

    ‘Panjatkan doa agar dipertemukan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan’

    MENDAMBAKAN malam Lailatulqadar, namun tidak pernah berdoa memohon kepada ALLAH SWT agar dipertemukan dengan malam istimewa.

    Itu teguran terbuka pendakwah Ustaz Mohd Jaafarudin Md Ali terhadap sikap segelintir umat Islam yang memandang ringan malam yang cukup istimewa pada bulan Ramadan itu.

    “Kita tak minta dengan ALLAH untuk jumpa dengan Lailatulqadar. Ia ibarat kita cari barang yang hilang tanpa meminta petunjuk dengan ALLAH. Bagaimana hendak jumpa?

    “Justeru, mulai sekarang, berdoalah kepada ALLAH ‘Ya ALLAH, pertemukanlah aku dengan Lailatulqadar dan jadikanlah aku ada kekuatan untuk menghidupkan malamnya’. Maka, panjatkan doa agar kita dipertemukan dengan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan itu,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

    Pada masa sama, beliau menitipkan pesan agar umat Islam bijak memilih sama ada mahu merebut ‘promosi’ ALLAH SWT pada malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan atau tawaran hebat di kedai dan pasar raya yang menjual persiapan Aidilfitri.

    “Ya, kita tidak boleh lari daripada fitrah. ALLAH berikan kita ‘promosi’ pada 10 malam terakhir Ramadan dan pada masa sama kita juga bergelut dengan ‘promosi’ jualan di sekeliling kita.

    “ALLAH kurniakan kita akal untuk berfikir, pilihlah yang mana satu kita hendak. Promosi ALLAH atau promosi manusia?” soalnya.

    Kepada satu soalan, Ustaz Mohd Jaafarudin berkata: “Kenal pasti kekuatan ibadah masing-masing. Contohnya, ada orang tak rajin solat sunat tetapi rajin mengaji. Jadi tingkatkanlah ibadah itu pada 10 malam terakhir Ramadan.”

    DAI HAMIDAH

    DAI HAMIDAH

    Sementara itu, seorang lagi pendakwah Ustazah Hamidah Ab Razak yang dikenali sebagai Dai Hamidah berkata, wanita yang datang bulan dan tidak boleh berpuasa masih berpeluang untuk mengumpul pahala dengan ibadah-ibadah lain.

    Menurut beliau, antara yang boleh dilakukan adalah menyediakan makanan bagi orang yang bersahur dan membantu mengejutkan orang lain bersahur. “Ia termasuk dalam amalan yang sangat besar pahalanya bagi wanita haid dalam bulan Ramadan.

    “Kebaikan walau sekecil apapun akan jadi bernilai kerana dilipat gandakan segala amalan dalam bulan Ramadan,” katanya.

    Ia sebagaimana di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, dia mendapatkan pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Riwayat at-Tirmizi)

    Bukan itu sahaja, ujar Dai Hamidah, golongan itu juga dituntut memperbanyakkan zikir yang dapat melahirkan rasa cinta kepada ALLAH, mendengar bacaan al-Quran dan berdoa, selain menginfakkan harta.

    “Jangan disangka hanya solat dan puasa sahaja sebagai ibadah. Ketidaksedaran ini membuatkan wanita yang datang bulan mati akal dalam mengisi masa yang berharga di dalam bulan Ramadan. Ingatlah bahawa ALLAH Maha Pemurah. Banyak peluang lain yang ALLAH sediakan buat hamba-hamba-Nya,” ujar beliau.



    Sumber

  • BMW i3s

    BMW i3s

    PENGENALAN BMW i3s menjadi penambahan terbaharu dalam portfolio kenderaan Mobiliti Bervisi BMW Group Malaysia dan ia memperkukuhkan kedudukan BMW Group Malaysia sebagai pembekal e-mobiliti terkemuka di

    Sumber

  • Sebelum orang menjauhi kita baik cepat-cepat atasi bau badan

    Sebelum orang menjauhi kita baik cepat-cepat atasi bau badan

    BAU badan biasanya si empunya diri adakalanya tidak menyedari mereka berhadapan dengan masalah ini. Ia sesuatu yang subjektif dan sensitif untuk diperkatakan. Sudah semestinya mereka yang sedar diri mereka ada masalah ini akan berasa malu, rendah diri kecewa, bimbang serta kemurungan. Oleh itu, isu ini perlu ditangani, jika tidak ia akan menimbulkan keadaan yang kurang menyenangkan.

    Masalah ini dipengaruhi oleh peluh. Peluh pada badan kita tidak berbau, sebaliknya bakteria yang terdapat pada permukaan kulit menyebabkan peluh jadi kurang menyenangkan. Cara terbaik dengan kerap mandi dan membersihkan tubuh sebaiknya setiap hari.

    **

    Punca;

    Toksin

    Bahan buangan yang terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna

    Toksin ini akan disingkirkan sekiranya ginjal, hati, dan saluran usus berfungsi dengan baik.

    Akibat sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan baik, maka toksin akan terkumpul di dalam badan.

    Mereka yang gemar makan daging, telur, ikan dan kekacang khususnya akan mempunyai badan berbau.

    Ini kerana makanan ini mengandungi banyak Choline.

    Bakteria

    Bau badan adalah gabungan peluh dan bakteria. Bakteria memecahkan peluh kepada ‘aromatic fatty acids’ yang menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

    Bau badan turut dipengaruhi oleh perasaan, diet, sembelit dan ubat-ubatan tertentu.

    Kesan sampingan daripada ubat-ubatan tersebut boleh menyebabkan peluh berlebihan.

    Genetik

    Bau badan juga boleh disebabkan faktor genetik dan kelenjar yang sangat aktif.

    Kafien dan rempah

    Pengambilan kafein dan bahan berempah seperti bawang putih juga akan menyebabkan bau badan yang keterlaluan.

    Kurangkan makanan tinggi Choline bagi mengelakkan tubuh diselebungi bau.

    Tip elak bau badan

    1. Elak makanan tinggi Choline

    2. Amalkn pemakaian deodoran yang mengandungi bahan antiseptik

    3. Mandi dengan kerap sekurangnya tiga kali sehari

    4. Cukur rambut halus pada bahagian sulit secara berkala

    5. Pilih pakaian daripada fabrik kapas dan longgar bagi meminimumkan rembesan peluh.

    6. Amalkan penggunaan cecair pencuci mengandungi tiga peratus hidrogen peroksida, pewangi dan anti peluh.

    7. Jika serius, pembedahan membuang kelenjar Apocrine pada tempat bermasalah boleh dilakukan.



    Sumber

  • Menjejaki penduduk Long Busang

    Menjejaki penduduk Long Busang

    BARU-BARU ini penulis berpeluang ke perkampungan Long Busang yang terletak di daerah Belaga, Sarawak. Jika diikutkan radius perjalanan darat, jarak antara perkampungan itu dengan Kuching lebih 720 kilometer.

    Nama Long Busang memang wujud dalam carian Google Maps, namun, untuk ke sana, tiada penunjuk arah yang spesifik. Paling terdekat untuk memastikan seseorang tidak tersesat ialah berdasarkan petunjuk Sungai Balui dan Sungai Llang.

    Bayangkan bagaimana perjalanan penulis bersama rombongan Yayasan Ikhlas yang ke sana demi menjayakan Projek Baik Pulih Masjid Darul-Rahmah, Long Busang, Sarawak dan Sumbangan Bakul Kasih Ramadan.

    Turut menyertai program tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli; Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Kamaruddin Kassim dan dua lagi sukarelawan. Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

    Untuk ke kampung itu, ia mengambil masa lebih setengah hari dengan menggunakan jalan laut dan darat.

    Minoriti Islam

    Menelusuri historiografi kampung berkeluasan tiga hektar itu, memang unik. Kampung Long Busang telah diasaskan oleh orang Islam meskipun 70 peratus penduduknya beragama Kristian.

    Kepada Sinar Islam, Ketua Kampung Long Busang, Yusuf Zawawi berkata, sekitar tahun 1975 perkampungan itu sudah wujud dan diasaskan oleh arwah bapanya, Zawawi Bilong.

    “Penduduk kampung terdiri daripada suku Kenyah Badeng yang berasal daripada Baram dan Miri.

    “Ketika zaman pemerintahan British, ramai yang kurang senang (tinggal di situ) kerana takut diserang. Kami berpindah-randah lebih kurang 20 tahun sebelum menemui kawasan ini,” katanya sambil menjelaskan bapanya dan penduduk kampung lain menjumpai penempatan itu sekitar tahun 1972.

    Bermula dengan 30 buah keluarga, kini, penduduk di situ berkembang melebihi 1,000 orang melibatkan 121 buah keluarga.

    Berdasarkan statistik, terdapat 350 penduduk beragama Islam manakala lebih 900 orang lagi beragama Kristian di Kampung Long Busang.

    Menurut Yusuf, arwah bapanya yang telah meninggal dunia tujuh tahun lalu, bukanlah beragama Islam sejak dilahirkan. Zawawi mula memeluk Islam pada tahun 1973.

    “Sayangnya, entah di mana silapnya, ada juga orang Islam yang murtad. Walaupun komuniti Islam di sini sedikit tetapi ia semakin bertambah melalui perkahwinan,” kata Yusuf.

    Rata-rata penduduk di Kampung Long Busang bekerja dalam bidang pertanian seperti mengusahakan tanaman padi bukit dan berkebun. Ada sesetengah mereka yang menangkap ikan dan berburu.

    Meskipun tinggal di kawasan pedalaman, penduduk di sini mempunyai kemudahan sekolah kebangsaan dan klinik.

    Terima jalur lebar

    Ketika kunjungan rombongan Yayasan Ikhlas ke kampung itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melancarkan kemudahan jalur lebar untuk penduduk. Ia merupakan projek perintis Kerajaan Negeri Sarawak sebagai percubaan untuk menghubungkan kemudahan itu di kawasan pedalaman di Sarawak. Ia hanya melibatkan dua kawasan iaitu Long Busang dan Long San.

    Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan baharu masjid berkenaan. Ia akan diuruskan JAIS menerusi Pejabat Agama Islam Bahagian Kapit.

    Sebelum berita gembira itu diterima, Yayasan Ikhlas berkesempatan membantu proses membaik pulih Masjid Darul-Rahmah di Kampung Long Busang yang dijangka siap sebelum bulan Ramadan. Menurut Yusuf, itu merupakan kali pertama masjid itu dibaik pulih sejak lebih tiga dekad.

    “Masjid Darul-Rahmah dibina pada tahun 1986. Sebelum wujudnya masjid ini, kami ada surau tetapi bukan di tapak ini,” ujar beliau yang berbangga apabila alatan beduk masih kekal tersimpan di rumah ALLAH itu.

    “Beduk itu memainkan peranan penting ketika waktu berbuka puasa. Bila kedengaran ketukan beduk bertalu-talu, semua orang akan tahu bahawa sudah masuk waktu berbuka,” katanya.

    Sumbangan

    Sementara itu, Kamaruddin berkata, kehadiran Yayasan Ikhlas di perkampungan itu dengan visi besar dalam menyemarakkan sinar Islam di sana.

    “Kami hadir dengan membantu membaik pulih sistem pendawaian elektrik di masjid dan rumah tamu yang terletak bersebelahan.

    “Kami juga mengecat masjid dan rumah tamu. Selain itu, Yayasan Ikhlas turut membaik pulih kotak kawalan elektrik daripada panel solar. Di sini, penduduk mendapat bekalan elektrik melalui janakuasa menggunakan diesel. Selain kami, terdapat beberapa badan lain yang terlibat dalam baik pulih masjid itu,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan Bakul Kasih Ramadan kepada 85 keluarga di kampung itu baru-baru ini.

    Selain di Belaga, kata Kamaruddin, pihaknya menyasarkan agihan sumbangan kepada 5,000 penerima di 14 kawasan di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Ini merupakan tahun keempat pihaknya melaksanakan program itu.

    Pada masa akan datang, Yayasan Ikhlas katanya, merancang untuk membuka sebuah pusat dialisis di Kuching.



    Sumber